Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kajian Hayat Roma Mesej 57 (1): Keadilbenaran - Kudrat Injil (1)
Mesej 56: Pelantiktentuan Melalui Roh Pembauran
Mesej 57 (2): Keadilbenaran—Kudrat Injil (2)
Mesej 57 (1): Keadilbenaran - Kudrat Injil (1)
2021-09-30 | 0 Komen
A- A+ Simpan

KEADILBENARAN—KUDRAT INJIL (1)

Ayat-ayat Bible: Roma 1:16-17

Kajian-hayat: Mesej 57

Bacaan Bible: 

Roma 1:16-17 Kerana aku tidak berasa malu akan injil; sesungguhnya injil ini kudrat Tuhan untuk menyelamatkan setiap orang yang percaya, orang Yahudi dahulu, kemudian orang Yunani. Kerana keadilbenaran Tuhan dinyatakan dalam injil ini daripada iktikad kepada iktikad, sebagaimana yang tertulis, “Tetapi yang adilbenar akan beroleh hayat dan hidup melalui iktikad.”

Petikan Bacaan: 

Dalam mesej ini, kita akan melihat sebab keadilbenaran ialah kudrat injil dan sebab keadilbenaran diperlukan bagi Tuhan menghasilkan anak yang banyak menerusi injil.

TUNTUTAN KEADILBENARAN TUHAN DIGENAPI OLEH KEMATIAN KRISTUS DI ATAS SALIB

Dalam keabadian lampau, Tuhan mempratakdirkan kita menjadi para anak-Nya. Namun demikian, meskipun kita ialah orang yang dipratakdirkan, kita telah jatuh dan terjerumus ke dalam dosa. Jika kita tidak jatuh, kita tidak perlu khuatir tentang keadilbenaran. Akan tetapi, disebabkan kita jatuh, Tuhan mesti memperlakukan kita menurut keadilbenaran-Nya. Apakah yang sepatutnya dilakukan oleh Tuhan terhadap orang yang dipratakdirkan-Nya untuk menjadi para anak-Nya? Tuhan tidak berhasrat untuk menyerahkan kita atau mencampakkan kita ke dalam tasik api. Namun demikian, Dia tidak dapat mengampuni kita melainkan keadilbenaran-Nya telah dipenuhi. Jika Tuhan mengampuni kita secara sembarangan, Dia akan meletakkan diri-Nya dalam kedudukan yang tidak adilbenar. Sebagai Tuhan yang adilbenar dan Tuhan yang adil, Dia tidak boleh mengampuni orang yang berdosa sekiranya tuntutan keadilbenaran-Nya tidak dipenuhi.

Untuk membolehkan Tuhan mengampuni kita, Kristus, Anak Tuhan, telah menjadi tubuh daging. Demi keadilbenaran Tuhan, Tuan Yesus dihukum mati di atas salib. Di situ, di atas salib, Dia dijadikan dosa untuk kita, dan Tuhan mengutuk dosa dalam tubuh daging. Dengan mati bagi pihak kita, Tuan telah menyempurnakan penebusan dan memenuhi segala tuntutan adilbenar Tuhan. 

Yohanes 3:16 mengatakan bahawa disebabkan Tuhan mengasihi kita, Dia menyerahkan Anak tunggal-Nya supaya semua yang percaya ke dalam-Nya tidak binasa, tetapi beroleh hayat abadi. Ayat ini menunjukkan bahawa Tuhan menyelamatkan kita kerana Dia mengasihi kita. Selain itu, Efesus 2:5 dan 8 memberitahu kita bahawa kita diselamatkan melalui kurnia. Akan tetapi, buku Roma mewahikan bahawa kita diselamatkan bukan melalui kurnia atau kasih, tetapi melalui keadilbenaran. Baik kasih mahupun kurnia bukan merupakan hal yang sah dari segi hukum. Kamu tidak boleh menuntut bahawa menurut hukum, seseorang itu mesti mengasihi kamu atau menunjukkan kurnia kepada kamu. Hanya dalam hal-hal yang berkaitan dengan keadilbenaran, barulah kita mempunyai kedudukan untuk menuntut sesuatu secara sah dari hukum. 

        Tuhan mematikan Kristus kerana dalam masa tiga jam yang terakhir di atas salib, Kristus menggantikan kita. Menerusi kematian Kristus, tuntutan adilbenar Tuhan dipenuhi. Dengan itu, Tuan dapat mengungkapkan kata-kata ini, “Sudah selesai” (Yoh. 19:30). Dengan mengungkapkan kata-kata ini, Tuan menunjukkan bahawa kerja penebusan telah disempurnakan. Sebagai bukti kepada hal ini, tirai bait terbelah dari atas ke bawah (Mat. 27:51). Tiga hari kemudian, sebagai bukti kepada kepuasan ini, Tuhan membangkitkan Kristus daripada yang mati. Oleh itu, kebangkitan Kristus ialah bukti yang menunjukkan bahawa Tuhan telah dipuaskan dengan kematian Kristus bagi pihak kita. 

Sebelum Kristus mati di atas salib, Tuhan masih boleh mengubah fikiran-Nya dalam hal mengampunkan dosa-dosa kita. Dia boleh meninggalkan kita secara adilbenar. Akan tetapi, setelah Kristus mati di atas salib di bawah penghakiman Tuhan, Tuhan tidak boleh berbuat demikian. 

MUSTAHIL BAGI TUHAN MENGUBAH FIKIRAN-NYA

Sekarang disebabkan Kristus telah mati dan dibangkitkan daripada yang mati, memang mustahil bagi Tuhan mengubah fikiran-Nya dalam hal mengampuni kita. Sebaliknya, kita mempunyai kedudukan untuk berkata kepada-Nya, “O Tuhan, sama ada Engkau mengasihi aku atau tidak, Engkau mesti mengampuni aku. O Tuhan, Engkau mesti mengampuni aku sekarang kerana Engkau tidak ada hak untuk berubah dalam hal ini. Engkau diikat oleh keadilbenaran-Mu.”   

ASAS PENYELAMATAN KITA

Mazmur 89:14 berkata, “Keadilbenaran dan keadilan ialah asas takhta-Mu.” Asas takhta Tuhan juga merupakan asas penyelamatan kita. Dapatkan asas takhta Tuhan bergoyah? Sudah pasti tidak. Begitu juga, asas penyelamatan kita tidak dapat bergoyah kerana asas ini bukan kasih atau kurnia, tetapi keadilbenaran. 

Bible tidak mengatakan bahawa kasih ialah kudrat injil; Bible juga tidak mengatakan bahawa kurnia ialah kudrat injil. Akan tetapi, Bible sememangnya mewahikan bahawa keadilbenaran Tuhan ialah kudrat injil. Jika kita mempertimbangkan diri kita, kita akan menyedari bahawa kita tidak mudah dikasihi atau layak menerima kurnia Tuhan. Kita tidak sepatutnya menerima apa-apa daripada Tuhan. Akan tetapi, Tuhan adalah adilbenar. Dia mematikan Kristus sebagai bayaran penuh untuk hutang kita. Di samping itu, Kristus yang bangkit dan duduk di sebelah kanan Tuhan merupakan resit bayaran. Memandangkan Tuhan telah mengeluarkan resit ini, bagaimanakah Dia boleh menuntut bayaran adilbenar sekali lagi daripada kita? Jika Dia berbuat demikian, kita boleh merujukkan-Nya kepada Kristus dan mengingatkan-Nya bahawa Dia harus menjaga kedudukan-Nya yang adilbenar, yakni asas takhta-Nya. Injil Kristus ialah kudrat Tuhan kerana keadilbenaran Tuhan dinyatakan dalamnya. 

Soalan Kajian: 

1. Huraikan tentang asas penyelamatan kita dan bagaimana Kristus memenuhi tuntutan adilbenar Tuhan. 

2. Memandangkan asas penyelamatan kita ialah keadilbenaran-Nya dan Kristus telah memenuhi tuntutan adilbenar Tuhan, apakah yang harus kita lakukan apabila kita berasa bahawa kita tidak layak menerima kurnia Tuhan?  


Mesej 56: Pelantiktentuan Melalui Roh Pembauran
Mesej 57 (2): Keadilbenaran—Kudrat Injil (2)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)