Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kajian Hayat Yohanes Mesej 43: Doa Hayat (3)
Mesej 42: Doa Hayat (2)
Mesej 44: Doa Hayat (4)
Mesej 43: Doa Hayat (3)
2022-06-18 | 0 Komen
A- A+ Simpan
DOA HAYAT (3)

Ayat-ayat Bible: Yoh. 17:14-24
Kajian-hayat: Mesej 40

Petikan Bacaan:    

Dalam Tuhan Tritunggal menerusi Pengudusan melalui Sabda Kudus
Dalam mesej ini, kita akan meninjau faktor kedua bagi kesatuan yang sejati. Faktor pertama ialah dalam nama Bapa melalui hayat abadi, dan faktor kedua ialah dalam Tuhan Tritunggal menerusi pengudusan melalui sabda kudus (ay. 14-21). Sabda kudus merupakan sabda yang menguduskan orang. 

Dunia
Satu Yohanes 5:19 mengatakan bahawa seluruh dunia terletak dalam dia yang iblisi. Setiap aspek berkenaan dunia, tidak kira aspek apa pun, adalah kepunyaan sistem kesyaitanan ini. 

Percayawan berserta Dunia
Percayawan bukan kepunyaan dunia (ay. 14, 16), dan mereka akan diasingkan daripada dunia (ay. 19). Mereka bukan dikeluarkan daripada dunia (ay. 15) tetapi diutus ke dunia demi amanat Tuan (ay. 18). Ayat 18 berkata, “Sebagaimana Engkau telah mengutus Aku ke dunia, Aku juga mengutus mereka ke dunia.” Bapa mengutus Anak ke dunia dengan diri-Nya menjadi hayat dan segala-gala kepada Anak. Dengan cara yang sama, Anak mengutus percayawan-Nya ke dunia dengan diri-Nya menjadi hayat dan segala-gala kepada mereka. 
 
Sabda ialah Kebenaran
Sabda Bapa membawa realiti Bapa bersama dengannya. Sabda, sebagai kebenaran, bekerja sebagai realiti dalam percayawan untuk menguduskan mereka. 
Sabda hidup Tuhan bekerja dalam percayawan untuk mengasingkan mereka daripada apa jua yang duniawi, iaitu mengasingkan mereka daripada dunia dan penguasaannya lalu membawa mereka kepada Tuhan dan tujuan-Nya; ini bukan sahaja pengudusan dari segi kedudukan (Mat. 23:17, 19) tetapi juga pengudusan dari segi perwatakan (Roma 6:19, 22). Pengudusan ini bukan sahaja mengubah kedudukan kita tetapi juga mentransform perwatakan kita, diri dalaman kita. Dalam Bible, pengudusan mempunyai dua aspek—aspek kedudukan dan aspek perwatakan. Dalam Matius 23:17, kita melihat bahawa emas dikuduskan dengan diletakkan di dalam bait. Apabila emas berada di pasar, emas itu umum, tidak kudus; tetapi apabila emas diletakkan di dalam bait, kedudukannya berubah dan emas itu dikuduskan dengan serta-merta menjadi emas kudus di dalam bait kudus. Namun, pengudusan jenis ini tidak meninggalkan kesan pada sifat atau unsur emas; pengudusan ini hanya mengubah kedudukan emas. Justeru, emas itu dikuduskan dari segi kedudukan. Satu Tesalonika 5:23 berkata, “Dan Tuhan damai sejahtera sendiri menguduskan kamu keseluruhannya dan semoga roh dan sukma dan tubuhmu terpelihara lengkap, tanpa tuduhan, pada kedatangan Tuan kita Yesus Kristus.” Hal ini bukan merujuk kepada pengudusan dari segi kedudukan, tetapi merujuk keapda pengudusan dari segi perwatakan. Pengudusan yang disebut dalam Yohanes 17 mengimplikasikan kedua-dua aspek ini, kerana untuk memelihara kesatuan yang wajar, kita perlu dikuduskan dari segi kedudukan dan juga dari segi perwatakan. 

Anak Menguduskan Diri-Nya
Ayat 19 berkata, “Dan demi mereka, Aku menguduskan diri-Ku, agar mereka sendiri juga dapat dikuduskan dalam kebenaran.” Meskipun Anak adalah sama sekali kudus, namun Dia masih menguduskan diri-Nya dalam cara hidup-Nya semasa di bumi supaya Dia dapat menjadi teladan pengudusan kepada disipal-disipal-Nya. Pertimbangkanlah cara Dia menghubungi perempuan Samaria itu (4:5-7). Tuan bukan bertemu dengannya pada waktu malam di kediaman peribadi, tetapi pada waktu siang di tempat yang terbuka. Dengan berbuat demikian, Tuan menguduskan diri-Nya dan menjadi teladan kepada disipal-disipal-Nya untuk diikuti mereka. 
Menjadi Satu dalam Tuhan Tritunggal 
Semua percayawan adalah satu dalam Tuhan Tritunggal. Untuk menjadi satu dalam Tuhan Tritunggal, kita perlu dikuduskan melalui sabda kudus. Aspek kedua bagi kesatuan percayawan ialah kesatuan dalam Tuhan Tritunggal menerusi pengudusan melalui sabda kudus. Untuk memelihara kesatuan ini, kita terlebih dahulu perlu mengambil berat tentang realiti hayat divin, kemudian mengambil berat tentang pengudusan melalui sabda kudus. Untuk mempunyai kesatuan yang sejati, kita memerlukan hayat divin dan juga sabda kudus; kesatuan yang sejati ini menghasilkan pembinaan sebenar gereja. 

Dalam Kemuliaan Divin demi Ekspresi Tuhan Tritunggal
Sekarang, kita akan meninjau faktor ketiga kesatuan sejati: dalam kemuliaan divin demi ekspresi Tuhan Tritunggal (ay. 22-24). 

Kemuliaan 
Apakah itu kemuliaan yang diberi kepada Anak oleh Bapa? Kemuliaan ini ialah keanakan bersama-sama hayat dan sifat divin Bapa (5:26) untuk mengekspresikan Bapa dalam kepenuhan Bapa (1:18, 14:9; Kol. 2:9; Ibr. 1:3). Kemuliaan yang pertama-tama diberi kepada Anak kini telah diberi kepada keanakan yang korporat. Sebagai anak yang banyak, kita mempunyai keanakan divin bersama-sama hayat dan sifat divin untuk mengekspresikan Bapa dalam Anak bersama dengan segala kepenuhan-Nya. Betapa mulianya hal ini!
Banyak orang Kristian mempunyai konsep yang berupa khayalan yang sia-sia berkenaan kemuliaan: mereka menyangka bahawa kemuliaan hanyalah sejenis sinaran atau pancaran yang objektif di udara yang akan kita masuki suatu hari nanti. Ini adalah mimpi semata-mata. Apakah itu kemuliaan? Kemuliaan bererti keanakan bersama-sama hayat dan sifat divin demi ekspresi Bapa dalam segala kepenuhan-Nya. 

Disempurnakan Menjadi Satu 
Kesatuan sejati adalah melalui hayat-Nya, melalui sabda-Nya, dan dalam kemuliaan divin demi ekspresi Tuhan. Apabila kita sampai ke titik ini, maka kita berada di tahap kesatuan yang tertinggi setelah disempurnakan menjadi satu melalui kemuliaan divin yang diberi kepada percayawan, agar kita mengekspresikan Tuhan Tritunggal secara korporat. Apabila kita sampai ke titik ini, kita sanggup meninggalkan segala-galanya. Kita bukan sahaja melepaskan segala tarikan duniawi, tetapi juga melepaskan segala doktrin dan konsep. Kita akan meninggalkan segala-galanya dan hanya berfokus pada satu hal—ekspresi mulia Tuhan Tritunggal. Ekspresi ini merupakan miniatur Yerusalem Baru. 


Mesej 42: Doa Hayat (2)
Mesej 44: Doa Hayat (4)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)