Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kajian Hayat Yohanes Mesej 38: Organisma Tuhan Tritunggal Dalam Pendispenan Divin (2)
Mesej 37: Organisma Tuhan Tritunggal Dalam Pendispenan Divin (1)
Mesej 39: Kerja Roh itu Berkonsumat dalam Pembauran Kedivinan dengan Keinsanan (1)
Mesej 38: Organisma Tuhan Tritunggal Dalam Pendispenan Divin (2)
2022-05-03 | 0 Komen
A- A+ Simpan

ORGANISMA TUHAN TRITUNGGAL DALAM PENDISPENAN DIVIN (2) 

Ayat-ayat Bible: Yoh. 15:4-11

Kajian-hayat: Mesej 34

Petikan Bacaan:    

Melihat Hakikat bahawa Kita ialah Ranting-ranting dalam Pohon Anggur

Sebagaimana yang telah kita tunjukkan dalam mesej yang lepas, jika kita ingin tinggal dalam pohon anggur, kita harus melihat bahawa kita ialah ranting-ranting dalam pohon anggur (ay. 5). Kita tinggal dalam Kristus bergantung pada satu visi yang jelas, iaitu kita ialah ranting-ranting dalam pohon anggur. Jika kita melihat bahawa kita sudah berada dalam-Nya, maka kita akan tinggal dalam-Nya; kita tidak mahu menjauhkan diri daripada-Nya. 

Kekal Tinggal dalam Anak

Sebaik sahaja kita melihat hakikat bahawa kita ialah ranting-ranting pada pohon anggur, kita perlu mengekalkan persekutuan antara kita dengan pohon anggur. Apa sahaja penebat akan memisahkan kita daripada bekalan pohon anggur yang kaya. Sedikit keingkaran, dosa, bahkan suatu fikiran yang berdosa akan menjadi penebat yang memisahkan kita daripada kekayaan pohon anggur. Jika kita tidak mengutuk hal-hal ini, sebaliknya berpegang padanya, maka hal-hal ini akan memisahkan kita daripada bekalan pohon anggur yang kaya. Pertama-tamanya, kita harus melihat bahawa kita ialah ranting-ranting. Kemudian, kita perlu mengekalkan persekutuan antara kita dengan Tuan. Tidak harus ada apa-apa di antara Dia dan kita. Daripada pengalaman, kita tahu bahawa bahkan benda yang kecil dapat memisahkan kita daripada bekalan pohon anggur yang kaya. 

Membenarkan Anak Tinggal dalam Kita

Apabila kita tinggal dalam Dia, Dia akan tinggal dalam kita. Namun begitu, sering kali kita tidak memberi Dia kedudukan, ruang, untuk tinggal dalam kita. Tuan berhasrat menyebarluaskan penghunian-Nya dalam kita. Namun demikian, kita pula suka membataskan penghunian-Nya. Kita mengehadkan-Nya. Antara Kristus yang menghuni kita, sentiasa berlakunya pergelutan yang lembut. Semasa penghunian Kristus semakin menyebar luas dalam kita, terdapat sesuatu dalam kita yang mengehadkan Kristus yang menghuni ini. Kristus yang menghuni ingin mendapat lebih banyak kedudukan secara beransur-ansur, malah inci demi inci. Akan tetapi, kadangkala pergelutan berlaku, bahkan apabila Dia ingin mendapat satu inci. Kristus ingin mendapat satu lagi inci, namun kita mengehadkan Dia daripada berbuat demikian. Akibatnya, kita tawar-menawar dengan-Nya. Jika kamu tidak tawar-menawar dengan Tuan, sudah pasti kamu seorang Kristian yang berada di syurga ketiga. Mungkin pada hari ini juga, banyak orang dari kalangan kita telah tawar-menawar dengan-Nya. Walaupun kita bersorak, “Kita telah dimusnahkan-Nya,” namun kita mungkin berkata dalam diri kita, “Tuan Yesus, aku hanya memberi Engkau ruang sebanyak ini. Aku tidak dapat memberi Engkau lebih banyak ruang lagi. Tuan, rahmatilah aku. Bersabarlah sehingga aku bersedia memberi Engkau setengah inci lagi. Sebelum hal ini berlaku, Tuan, tinggallah di tempat yang Engkau berada sekarang.” Walaupun kita tidak mengatakan hal ini dengan suara yang dapat didengar, namun banyak kali kita mempunyai fikiran ini jauh dalam diri dalaman kita. 

Mengapakah banyak pekudus hampir tidak bertumbuh dalam hayat? Hal ini kerana mereka tidak membenarkan Tuan menyebar luas dalam mereka. Mungkin mereka tidak mempunyai penebat, tetapi mereka mempunyai terlalu banyak batasan. Soal tinggal ini merupakan sesuatu yang amat halus dan lembut. Sila ingat bahawa kita harus berjaga-jaga tentang dua perkara—jangan ada sebarang penebat dan jangan ada sebarang batasan. Menghapuskan penebat lebih mudah daripada menyingkirkan batasan. Saya khuatir bahawa bahkan semasa kamu membaca mesej ini, kamu belum bersiap sedia untuk menyingkirkan setiap batasan. Puji Tuan kerana Dia sabar dan bermurah hati. Dia tidak akan meninggalkan kamu. Dia sedang menunggu. Paling banyak, Dia memalingkan muka-Nya ke sebelah. Itu sahaja yang akan dilakukan-Nya. Namun, Dia terus menetap di sini. Semoga kita memandang pada rahmat dan kurnia-Nya supaya kita selalu memberi Dia kedudukan untuk berkembang dalam kita, membenarkan Dia menyebar luas ke dalam setiap penjuru dan laluan dalam diri dalaman kita. Inilah caranya untuk bertumbuh dalam hayat. 

Membenarkan Sabda Seketika Anak Tinggal dalam Kita 

Kita amat perlu membenarkan sabda seketika Tuan tinggal dalam kita. Apabila Dia tinggal dalam kita, Dia selalu berbicara. Pembicaraan ini ialah rhema, iaitu sabda seketika. Khususnya, Dia akan membicarakan satu perkataan kepada kita—tidak. Namun begitu, kadangkala pembicaraan-Nya berbentuk suatu tuntutan atau permintaan. Betapa perlunya kita mengasihi-Nya dan mematuhi sabda seketika-Nya! 

Mematuhi Perintah-perintah Anak dengan Mematuhi Sabda Seketika-Nya agar Kita dapat Tinggal dalam Kasih-Nya

Pertama-tamanya, kita tinggal dalam Dia dan Dia tinggal dalam kita. Kemudian, sabda-Nya akan tinggal dalam kita, dan kita akan tinggal dalam kasih-Nya. Kita tinggal dalam-Nya, kemudian kita tinggal dalam kasih-Nya.  

Mula-mulanya, Dia tinggal dalam kita, kemudian sabda-Nya tinggal dalam kita. Mula-mulanya, kita tinggal dalam Dia, kemudian kita tinggal dalam kasih-Nya. Kita mengambil dua orang kawan sebagai contoh. Dalam persahabatan ini, satu pihak harus mengambil berat terhadap kata-kata pihak yang satu lagi. Ini bukan sekadar soal mengambil berat terhadap kawan itu tetapi juga soal mengambil berat terhadap kata-katanya. Jika satu pihak tidak mengambil berat terhadap kata-kata pihak yang satu lagi, dia akan kehilangan persahabatannya. Akan tetapi, jika dia mengambil berat terhadap kata-kata kawannya, secara beransur-ansur dia akan mendapati dirinya berada dalam kasih kawannya. Ini akan memperdalam persahabatan, menjadikannya lebih intim dan kukuh. Sebaliknya, jika seseorang tidak mengambil berat terhadap kata-kata kawannya, dia tidak akan berada dalam kasih kawan dengan begitu intim, dan akhirnya persahabatan itu akan dirosakkan. 

Jika kamu membenarkan Dia tinggal dalam kamu, Dia akan berbicara kepada kamu secara berterusan. Apabila Dia berbicara, kamu harus berkata, “Amen, Tuan, aku mencintai-Mu.” Apabila kamu mengatakan amen dan mematuhi sabda-Nya, kamu masuk ke dalam kasih-Nya, mempunyai perasaan yang manis bahawa Dia begitu tersayang, mestika, dan cantik kepada kamu. Sampai peringkat ini, kamu bukan sahaja tinggal dalam-Nya tetapi juga tinggal dalam kasih-Nya. 

Hasil daripada penghunian yang intim dan kuat ini, gugusan buah akan terhasil kerana kita telah dipenuhi dengan segala kekayaan hayat Tuan. Kelimpahan hayat yang kaya ini akan menjadi begitu kuat sehinggakan membawa kepada penghasilan buah, dan Tuhan Bapa akan diekspresikan dan dimuliakan dalam Anak. 

Mesej 37: Organisma Tuhan Tritunggal Dalam Pendispenan Divin (1)
Mesej 39: Kerja Roh itu Berkonsumat dalam Pembauran Kedivinan dengan Keinsanan (1)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)