Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kajian Hayat Roma Mesej 38: Hayat dan Maut dalam Roma Lima hingga Lapan
Mesej 37: Hukum Dalam Roma Tujuh Dan Lapan
Mesej 39: Tinggal dalam Kristus dengan Memikirkan Roh
Mesej 38: Hayat dan Maut dalam Roma Lima hingga Lapan
2021-07-23 | 0 Komen
A- A+ Simpan

HAYAT DAN MAUT DALAM ROMA LIMA HINGGA LAPAN

Ayat-ayat Bible: Roma 5-8

Kajian-hayat: Mesej 38

Bacaan Bible:

Roma 8:6 Kerana minda diletakkan pada tubuh daging ialah maut, tetapi minda diletakkan pada roh ialah hayat dan damai sejahtera.

Roma 8:10 Sebaliknya, jika Kristus berada dalam kamu, meskipun tubuh adalah mati akibat dosa, tetapi roh ialah hayat kerana keadilbenaran. 

Petikan Bacaan: 

        Pembaca sekalian, Roma 5 hingga 8 boleh digelar sebagai inti sari Bible. Terdapat dua kata kunci yang digunakan secara berulang: hayat dan maut.

        Dalam Kejadian 2, hayat diwakili oleh pohon hayat. Maut pula diwakili oleh pohon pengetahuan baik dan jahat. Hasil daripada pohon pengetahuan baik dan jahat yang licik ini sebenarnya ialah maut, bukan pengetahuan. Pada penhujung buku Wahi, kita melihat konsumasi benih-benih ini. Maut, yakni musuh terakhir, dicampakkan ke dalam tasik api. Hayat pula melimpah-ruah dalam Yerusalem Baru, sebuah kota hayat. Dua garis ini, iaitu garus hayat dan garis maut muncul dalam Roma 5 hingga 8.

GARIS HAYAT DAN GARIS MAUT

Dalam bab lima kita melihat pemerajaan maut (5:13, 14) dan juga pemerajaan hayat berserta kurnia (5:17, 21). Dosa telah membawa masuk maut, tetapi kurnia menerusi keadilbenaran membawa masuk hayat. Kemudian Roma 6:4 berkata, “Begitu juga kita dapat bergerak-hidup dalam kebaruan hayat.” Kita tidak harus kekal berada di bawah pemerajaan maut, sebaliknya kita harus bergerak-hidup dalam kebaruan hayat dan tinggal pada garis hayat. Malah, sebagaimana kita telah bertumbuh bersama dengan-Nya dalam rupa bentuk kematian-Nya, begitu juga kita akan bertumbuh bersama dengan-Nya dalam rupa bentuk kebangkitan-Nya, iaitu dalam kebaruan hayat. Apabila kita datang ke bab tujuh, kita menjumpai pembunuhan dan maut, dan bukan hayat. Sebagai orang yang telah dibunuh dengan cara ini, Paulus berseru dalam ayat 24, "Aku manusia yang sengsara! Siapakah yang akan menyelamatkan aku daripada tubuh kepunyaan maut ini?"

HAYAT EMPAT KALI GANDA

        Apabila kita bersambung dari bab tujuh ke bab lapan, kita mendapati bahawa dalam bab ini hayat ialah hal yang utama, bukannya maut. Roma 8:2 berkata, “Kerana hukum Roh hayat telah membebaskan aku dalam Kristus Yesus daripada hukum dosa dan maut." Haleluya untuk hukum Roh hayat! Ayat 10 bersambung, “Sebaliknya, jika Kristus berada dalam kamu, meskipun tubuh adalah mati akibat dosa, tetapi roh ialah hayat kerana keadilbenaran." Menurut ayat 6, jika minda kita diletakkan pada Roh, minda kita juga akan menjadi hayat. Selain itu, jika Roh beri-hayat huni dalam kita, iaitu berumah dalam kita, bahkan Dia akan menyalurkan hayat divin ke dalam tubuh kita yang akan mati (ay. 11). Oleh yang demikian, bukan sahaja roh dan minda kita ialah hayat, bahkan tubuh kita yang akan mati juga dapat dihidupkan. Menurut Roma 8, ketiga-tiga bahagian diri kita, yakni roh, sukma, dan tubuh kita, dapat menerima hayat. Puji Tuan atas hayat dalam Roma 8!

EKONOMI TUHAN-- MEMENTINGKAN HAYAT

        Dalam ekonomi-Nya, Tuhan terutamanya bukan mementingkan sama ada kita baik atau jahat, tunduk atau memberontak; Dia hanya mementingkan sama ada kita hidup atau mati. Semasa Paulus menulis bahagian Sabda ini, dia berada sepenuhnya dalam Roh Tuhan dan dalam ekonomi Tuhan, dia tidak mementingkan baik atau jahat, tetapi hanya mementingkan hayat dan maut. Baik dan jahat kepunyaan pohon pengetahuan, yakni pohon maut. Betul dan salah juga kepunyaan pohon ini. Oleh itu, kita tidak seharusnya memberi perhatian kepada betul dan salah, tetapi kepada hayat dan maut. Dalam ekonomi Tuhan, memang tidak memadai sekadar menjadi baik. Kita mungkin betul tetapi masih mati. Ekonomi Tuhan menuntut kita berada dalam hayat.

MEMUPUK TABIAT BARU

        Berpindah daripada maut kepada hayat atau daripada hayat kepada maut adalah mudah. Sebagai contoh, sebagaimana kita boleh membuka lampu dengan mudah sekali dengan menekan suis elektrik, begitu juga dengan menutup suis itu. Halnya sama juga dengan maut dan hayat. Kita boleh menekan suis pada roh dan berada dalam hayat, atau kita boleh menutup suis dan berada dalam maut. Syukur kepada Tuan kerana Roh divin sebagai kuasa elektrik syurgawi sudah dipasang dalam roh kita. Tidak kira bagaimana perasaan kita, Roh itu, yakni kuasa elektrik divin, dan suis ada dalam roh kita. Hayat ada dalam roh kita, dan maut ada dalam tubuh daging kita. 

        Roma 8:6 berkata, "Kerana minda diletakkan pada tubuh daging ialah maut, tetapi minda diletakkan pada roh ialah hayat dan damai sejahtera." Meletakkan minda kita pada tubuh daging bukan hanya bermaksud meletakkannya pada tubuh kita, tetapi bermaksud meletakkannya pada orang kita ini, diri kita. Contohnya, seseorang mungkin berasa bahawa dahulunya dia sangat jahat dan sekarang dia berusaha menjadi baik. Inilah maksudnya meletakkan minda pada tubuh daging, pada diri yang tidak ada harapan. Apabila kita tergoda untuk bertekad berbuat baik, kita perlu berdoa, "Tuan Yesus, rahmatilah aku. Aku tidak dapat berbuat apa-apa terpisah daripada-Mu." Dengan berdoa dengan cara ini, kita meletakkan minda pada roh, bukan pada diri kita yang kasihan.

        Puji Tuan kerana Tuhan hayat berada dalam roh kita! Meskipun kita mungkin mengetahui hal ini, namun kita masih perlu belajar bagaimana hidup melalui Roh beri-hayat yang huni secara dalaman. Hal yang penting bukan berapa banyak pengetahuan yang telah kita peroleh tetapi berapa banyak kita hidup melalui Kristus.

        Biar saya beritahu kamu suatu kisah yang membantu menggambarkan hal ini. Semasa saya muda, kebanyakan orang di kampung saya masih menggunakan pelita minyak; mereka tidak ada bekalan elektrik. Sebagai seorang kanak-kanak, saya sudah biasa membersihkan pelita, memenuhkan pelita dengan minyak, dan menyalakan pelita. Bahkan selepas kuasa elektrik telah dipasang di dalam rumah kami, saya masih mempunyai tabiat menggunakan pelita minyak. Kadangkala orang lain mentertawakan saya apabila saya mula menyalakan pelita minyak dan kemudian mengingatkan saya untuk menggunakan suis lampu. Meskipun sesuatu yang baru, kuasa elektrik, telah dipasang, namun saya masih belum mempunyai tabiat menggunakannya. Prinsip ini juga sama dalam kehidupan orang Kristian. Kita telah dibesarkan dan dilatih untuk hidup melalui diri kita. Inilah tabiat kita. Bahkan selepas Tuan Yesus telah dipasang dalam kita, kita masih meneruskan tabiat hidup melalui diri kita. Akan tetapi, kita perlu memupuk tabiat baru, yakni tabiat hidup melalui Kristus.

PERTEMPURAN UNIVERSAL

        Ekonomi Tuhan bukan soal baik atau jahat, betul atau salah. Selain itu, ekonomi Tuhan juga bukan hal etika. Menurut standard etika, kita sepatutnya berbuat baik dan tidak berbuat jahat. Namun demikian, ekonomi Tuhan sama sekali soal hayat atau maut. Berada dalam hayat bererti menghidup keluar Tuhan, manakala berada dalam maut bererti menghidup keluar Syaitan. Kita ialah medan pertempuran, dan suatu pertempuran universal yang sengit antara Tuhan dengan Syaitan sedang berlangsung dalam diri kita. Hasil daripada pertempuran ini ditentukan oleh perihal pada tempat mana kita meletakkan minda kita. Jika kita meletakkan minda kita pada diri dan dengan itu dikeratasingkan daripada roh, maka Syaitan memperoleh kedudukan. Akan tetapi, jika kita tinggal dalam roh dan meletakkan minda kita pada roh, Tuhan memperoleh kemenangan. Marilah kita berdoa berkeaan hal ini, mengamalkan hal ini, dan memupuk tabiat tinggal dalam roh. Semakin kita memupuk tabiat ini, semakin hidupnya kita dan semakin kita menjauhi maut!

Soalan Kajian: 

Jelaskan peranan kita dalam pertempuran universal ini.

Mesej 37: Hukum Dalam Roma Tujuh Dan Lapan
Mesej 39: Tinggal dalam Kristus dengan Memikirkan Roh
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)