Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kajian Hayat Yohanes Mesej 33: Pendispenan Tuhan Tritunggal Untuk Menghasilkan Tempat Tinggal-Nya (1)
Mesej 32: Pembasuhan Yang Dilakukan Hayat dalam Kasih untuk Mengekalkan Persekutuan (2)
Mesej 34: Pendispenan Tuhan Tritunggal Untuk Menghasilkan Tempat Tinggal-Nya (2)
Mesej 33: Pendispenan Tuhan Tritunggal Untuk Menghasilkan Tempat Tinggal-Nya (1)
2022-04-15 | 0 Komen
A- A+ Simpan

PENDISPENAN TUHAN TRITUNGGAL UNTUK MENGHASILKAN TEMPAT TINGGALNYA (1)

Bacaan Bible: Yohanes 14:1-2

Kajian Hayat: Mesej 29

Petikan Bacaan:  

        Dalam tiga belas bab yang pertama kita melihat bahawa Tuan yang merupakan Sabda Tuhan dan Anak Tuhan telah datang menjadi hayat disipal-disipal-Nya agar mereka semua dapat beroleh hayat abadi dan menjadi sebahagian daripada gereja. Meskipun perkara ini amat jelas, tetapi bahagian itu tidak memberitahu kita cara Tuan menyalurkan diri-Nya ke dalam kita untuk menjadi hayat kita. Dalam tempoh tiga tahun setengah Tuan ada bersama dengan disipal-disipal-Nya, Dia memberitahu mereka bahawa Dia datang kepada manusia sejagat untuk menjadi hayat mereka supaya mereka dapat dilahirukan dengan hayat divin dan menjadi rumah Tuhan. Bagaimanakah perkara ini dilaksanakan? Walaupun Dia berbicara tentang Dia berada dalam mereka sebagai hayat, namun ketika itu Dia hanya ada bersama dengan mereka dan dalam kalangan mereka; Dia belum dapat masuk ke dalam mereka.

        Bahagian kedua terdiri daripada bab empat belas hingga bab dua puluh satu. Bahagian ini menunjukkan kepada kita bahawa Yesus yang disalibkan dan Kristus yang terbangkit itu pergi menyediakan jalan untuk membawa manusia ke dalam Tuhan; Dia menjadi Roh itu lalu datang untuk tinggal dan hidup dalam percayawan untuk menjadi hayat mereka demi pembinaan kediaman Tuhan. Di sini kita akan melihat Kristus pergi dan datang. Dalam penyaliban dan kebangkitan-Nya, Dia pergi menyediakan jalan agar manusia dapat dibawa ke dalam Tuhan. Kemudian sebagai Roh itu Dia datang untuk tinggal dan hidup dalam percayawan untuk menjadi hayat mereka demi pembinaan kediaman Tuhan. 

YESUS MELALUI KEMATIAN DAN KRISTUS DATANG DALAM KEBANGKITAN

UNTUK MEMBAWA PERCAYAWAN KE DALAM BAPA 

        Dalam 14:1-6 kita melihat Yesus melewati kematian dan Kristus datang dalam kebangkitan untuk membawa kita percayawan ke dalam Bapa. Tuan Yesus memberitahu disipal-disipal-Nya bahawa Dia akan pergi kepada Bapa (ay. 12, 28). Tidak ada sesiapa yang memahami apa yang sedang dikatakan-Nya. Menurut konsep manusia, Dia pergi kepada Bapa bermaksud Dia kembali ke syurga. Akan tetapi, Tuan Yesus tidak pernah mengatakan bahawa Dia akan pergi ke syurga. Dalam ayat 4, Dia mengatakan sesuatu yang penuh misteri: “Dan ke mana Aku pergi, kamu tahu jalan itu.” Sejurus selepas Tuan berkata demikian, Tomas menjawab, “Tuan, kami tidak tahu ke mana Engkau pergi; bagaimana kami mengetahui jalan itu?” (ay. 5).Kemudian Tuan berkata kepada Tomas, “Akulah jalan” (ay. 6). Tuan bukan hanya mengatakan bahawa Dia ialah jalan, malah Dia berkata, “Akulah jalan dan realiti dan hayat; tidak ada seorang pun yang datang kepada Bapa kecuali menerusi Aku.” Dalam ayat 10, Tuan berkata, “Tidakkah kamu percaya bahawa Aku berada dalam Bapa dan Bapa berada dalam Aku?” Bapa berada dalam-Nya. Tuan mengatakan bahawa Dia akan pergi kepada Bapa, namun Dia sudah berada dalam Bapa dan Bapa berada dalam-Nya. Ini sungguh mengelirukan! Tiada sesiapa yang dapat faham. 

        Apakah tempat yang dituju Tuan dalam pemergianNya? Kebanyakan orang Kristian menyangka bahawa tempat yang dituju-Nya ialah syurga. Namun demikian, selepas membaca bab ini dengan teliti, kamu akan mendapati bahawa tempat yang dituju Tuan bukanlah syurga. Tuan tidak bermaksud hendak membawa disipal-disipal-Nya dari satu tempat ke tempat yang lain. Ini bukan soal tempat, tetapi soal persona yang hidup, iaitu Bapa sendiri. Tuan akan pergi kepada Bapa dan Dia berhasrat untuk membawa disipal-disipal-Nya ke dalam persona divin Bapa. Bab tiga belas memberitahu kita bahawa Tuan datang daripada Bapa (ay. 3). Di sini, dalam bab empat belas kita melihat bahawa Dia akan pergi kepada Bapa. Tuan datang daripada Bapa melalui inkarnasi untuk membawa Tuhan ke dalam manusia. Sekarang Tuan pergi kepada Bapa untuk membawa manusia ke dalam Tuhan. Pemikiran dalam bab ini bukanlah berkenaan Tuan pergi ke syurga, tetapi berkenaan Dia pergi kepada Bapa untuk membawa semua yang percaya, yang menerima Dia sebagai hayat, ke dalam Bapa. 

        Dalam ayat 3 Tuan berkata, “Aku akan datang sekali lagi dan menyambut kamu kepada diri-Ku, supaya di mana Aku berada, kamu juga berada.” Di manakah Dia? Dia memberitahu kita jawapan bagi soalan ini dengan jelas dalam ayat 20: “Aku berada dalam Bapa-Ku.” Oleh itu, melalui pemergian-Nya, kita juga akan berada dalam Bapa kerana Dia membawa kita ke dalam Bapa. Justeru, di mana Dia berada, di situlah kita juga. Tujuan Dia pergi kepada Bapa ialah membawa kita ke dalam Bapa, sebagaimana tujuan Dia datang ialah membawa Tuhan ke dalam manusia. 

Mesej 32: Pembasuhan Yang Dilakukan Hayat dalam Kasih untuk Mengekalkan Persekutuan (2)
Mesej 34: Pendispenan Tuhan Tritunggal Untuk Menghasilkan Tempat Tinggal-Nya (2)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)