Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kajian Hayat Yohanes Mesej 3: Pengenalan Kepada Hayat Dan Pembinaan (1)
Mesej 2: Prakata (2)
Mesej 4: Pengenalan Kepada Hayat Dan Pembinaan (2)
Mesej 3: Pengenalan Kepada Hayat Dan Pembinaan (1)
2021-12-28 | 0 Komen
A- A+ Simpan

PENGENALAN KEPADA HAYAT DAN PEMBINAAN (1)

SABDA YANG MERUPAKAN TUHAN, DATANG SEBAGAI HAYAT DAN CAHAYA UNTUK MENGHASILKAN ANAK-ANAK TUHAN 

Kajian Hayat: Mesej 2


Ayat-ayat Bible: Yoh. 1:14-18


Bacaan Bible:

Yoh.

1:1 Pada mulanya ada Sabda, dan Sabda itu bersama-sama dengan Tuhan, dan Sabda itu ialah Tuhan.

1:3 Segala sesuatu wujud menerusi Dia, dan tanpa Dia tidak ada satu pun yang wijud daripada segala yang telah wujud itu.

1:4 Dalam Dia ada hayat, dan hayat itu ialah cahaya manusia


Pengenalan

Ministri Yohanes adalah ministri penampalan. Menampal bererti sesuatu yang sudah lama wujud itu rosak, rekah, atau tercarik, dan kini perlu ditampal. Penampalan selalunya memulihkan sesuatu kepada keadaan asalnya. Demikian juga, gereja wujud sejak hari Pentakosta. Namun begitu, tidak lama selepas gereja didirikan, gereja menjadi rosak dan terjejas. Jala rohani tercarik dan penuh dengan lubang besar disebabkan banyak doktrin, ajaran, buah fikiran, dan konsep yang menyusup masuk. Kita harus dibawa balik ke titik permulaan. Apakah yang ada pada mulanya? Pada mulanya hanya ada satu perkara —hayat. “Pada mulanya ada Sabda...dan Sabda ialah Tuhan...Dalam Dia ada hayat.” Cara untuk menampal lubang-lubang pada jala rohani ialah hayat. Kita tidak harus berbincang tentang doktrin; kita harus menikmati hayat. Dikbang yang dikasihi, mari kita menikmati Tuan. Asalkan Tuan Yesus menjadi kenikmatan kita, segala-galanya adalah baik. Ministri penampalan dilaksanakan melalui hayat, kerana hayat membawa kita kembali ke permulaan. Pada mulanya, tidak ada apa-apa pun kecuali hayat. 

Gaya bahasa Injil Yohanes adalah mudah dan ringkas. Namun dalam Bible, buku ini sebenarnya buku yang mengandungi makna yang amat dalam. Pertimbangkan klausa pertama buku ini: “Pada mulanya ada Sabda”. Apakah erti pada mulanya? Bilakah mulanya? Tambahan pula, apakah itu Sabda?

Pada Mulanya — Keabadian Lampau 

Bible bermula dengan “Pada mulanya”. Kejadian 1:1 berkata, “Pada mulanya, Tuhan mencipta langit dan bumi.” Walaupun kedua-dua buku ini, iaitu Kejadian dan Yohanes, bermula dengan frasa yang sama, masing-masing mempunyai makna yang sama sekali berbeza. Permulaan dalam Kejadian 1 merupakan permulaan masa, manakala permulaan dalam Yohanes adalah permulaan sebelum kewujudan masa, iaitu keabadian lampau yang tanpa permulaan. 

Sabda — Definisi, Penjelasan, dan Ekspresi Tuhan 

Sabda ialah definisi, penjelasan, dan ekspresi Tuhan; justeru, Sabda ialah Tuhan yang didefinisikan, dijelaskan, dan diekspresikan. Tuhan adalah penuh misteri. Walaupun Tuhan adalah suatu misteri, Kristus yang merupakan Sabda Tuhan mendefinisikan, menjelaskan, dan mengekspresikan-Nya. Sabda ini ialah Tuhan sendiri, bukan Tuhan yang tersembunyi, terselindung, atau penuh misteri, tetapi Tuhan yang didefinisikan, dijelaskan, dan diekspresikan. Pada mulanya, Sabda ini bersama-sama dengan Tuhan; Sabda tidak terpisah daripada Tuhan. Sebaliknya, Tuhan sentiasa ada dalam-Nya. 

Penciptaan Menerusi Sabda 

Ciptaan wujud menerusi Sabda. Saya suka cara ayat 3 diterjemahkan dalam buku Yohanes Versi Pemulihan. “Segala sesuatu wujud menerusi Dia, dan tanpa Dia, tidak ada satu pun yang wujud daripada segala yang telah wujud itu.” Apakah maksud segala sesuatu wujud menerusi Dia dan tanpa Dia, tidak ada satu pun yang wujud? Maksudnya ialah tanpa Dia, tidak ada apa-apa yang wujud. Dia hanya bersabda, “Jadilah,” dan segala-galanya wujud. 

Ini seharusnya memperkuat dan mengukuhkan iktikad kita. Bila-bila masa kita menerima Sabda, sesuatu yang tidak wujud menjadi wujud. Hal ini sungguh ajaib. Jangan berkata bahawa kamu lemah. Semakin kamu mengatakan bahawa kamu lemah, semakin kamu menjadi lemah kerana kamu berkata bahawa kamu lemah. Sebaliknya, jika kamu menerima Sabda dan berkata, “Saya kuat,” kekuatan akan wujud. Jangan berkata, “Saya tidak ada kudrat.” Semakin kamu mengatakan bahawa kamu tidak ada kudrat, semakin kamu tidak berkudrat. Namun, jika kamu berkata, “Puji Tuan! Dengan adanya Sabda, saya mendapat kudrat,” kamu akan mendapat kudrat, iaitu kudrat mewujudkan benda yang tidak wujud menerusi Sabda. Kita tidak mempunyai apa-apa dalam diri kita. Akan tetapi, kita mempunyai segala-galanya menerusi Sabda. 

Hayat Ada dalam Sabda 

Sekarang kita datang kepada butir yang paling penting: hayat ada dalam Sabda. “Dalam Dia ada hayat” (1:4). “Dia” dalam 1:4 merujuk kepada Sabda yang merupakan Tuhan dan Sabda yang menjadi sarana kewujudan segala sesuatu. Dalam Dia ada hayat. Mengapakah Dia mencipta segala sesuatu sebelum Dia datang menjadi hayat? Sebabnya ialah Dia memerlukan suatu wadah, suatu alat penerima untuk menerima-Nya sebagai hayat. Katakan Dia tidak mencipta apa-apa, tetapi datang untuk menjadi hayat. Kepada siapakah Dia menjadi hayat? Walaupun Dia hayat, Dia tidak ada penerima untuk menerima-Nya sebagai hayat. Justeru, sebelum Dia datang menjadi hayat, Dia mencipta langit, bumi, dan manusia dengan mempunyai roh untuk menerima-Nya. Zakaria 12:1 mengatakan bahawa Tuan “membentangkan langit, dan meletakkan asas bumi, dan membentuk roh manusia dalamnya.” Justeru, langit adalah untuk bumi, bumi adalah untuk manusia, dan manusia dicipta dengan mempunyai roh untuk menerima Tuhan. Sekarang, Sabda dapat datang sebagai hayat untuk diterima oleh manusia yang dicipta-Nya. Penciptaan menghasilkan wadah untuk berisikan hayat ini. 

Apabila kita mendengar Sabda, kita akan sedar bahawa Tuhan diekspresikan dan dijelaskan; apabila kita menerima Sabda, kita menerima hayat yang merupakan isi kandungan Tuhan dan dengan demikian dilahirkan daripada Tuhan dan menjadi anak-anak Tuhan. 

Hayat ialah Cahaya Manusia 

Yohanes 1:4 berkata, “Dalam Dia ada hayat, dan hayat itu cahaya manusia.” Hayat ialah cahaya manusia. Hal ini memang benar. Apabila kita menyeru nama Tuan Yesus dan menerima-Nya ke dalam kita, hayat divin masuk ke dalam kita. Dengan serta-merta, kita terasa bahawa ada sesuatu yang bersinar dalam kita. Setelah kita dilahirkan daripada Tuhan dengan menerima Sabda-Nya, kita beroleh Tuhan sebagai hayat kita, dan hayat ini menjadi cahaya dalam kita yang bersinar sepanjang masa. 

Hayat juga menjadi kuasa untuk percayawan menjadi anak-anak Tuhan. “Tetapi sebanyak mana yang menerima-Nya, Dia memberi kuasa kepada mereka untuk menjadi anak-anak Tuhan, kepada mereka yang percaya ke dalam nama-Nya, yang diperanakkan bukan daripada darah, bukan daripada kehendak tubuh daging, dan bukan daripada kehendak manusia, tetapi daripada Tuhan” (1:12-13). Kelahiran yang dihuraikan dalam ayat-ayat ini bukan kelahiran semula jadi daripada ibu bapa kita; kelahiran ini adalah kelahiran kedua yang berlaku ketika kita percaya ke dalam nama Tuan Yesus. 

Kesimpulan

Pada mulanya ada Sabda dan dalam Dia ada hayat. Menerusi penciptaan, Dia menyediakan banyak penerima. Hari ini, penerima- penerima ini telah menjadi pelipatgandaan Tuhan, dan pelipatgandaan ini menjadi pertambahan dan ekspresi Tuhan yang korporat. Tuhan diekspresikan sepenuhnya menerusi anak-anak-Nya yang merupakan pertambahan dan ekspresi-Nya yang korporat. Ekspresi ini boleh dikatakan sebagai ekspresi korporat yang terdiri daripada Anak-Nya yang telah menjadi Anak sulung-Nya berserta dikbang-Nya yang banyak. Inilah salah satu butir utama dalam wahi buku ini.

Mesej 2: Prakata (2)
Mesej 4: Pengenalan Kepada Hayat Dan Pembinaan (2)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)