Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kajian Hayat Yohanes Mesej 20: Keperluan Orang Yang Tidak Terdaya- Dihidupkan Hayat
Mesej 19: Keperluan Orang Yang Hampir Mati- Disembuhkan Hayat
Mesej 21: Keperluan Orang yang Lapar- Diberi Makan oleh Hayat
Mesej 20: Keperluan Orang Yang Tidak Terdaya- Dihidupkan Hayat
2022-03-01 | 0 Komen
A- A+ Simpan

KEPERLUAN ORANG YANG TIDAK TERDAYA—DIHIDUPKAN HAYAT

Ayat-ayat Bible: Yoh. 5:1-47 

Kajian-hayat: Mesej 14

Petikan Bacaan:  

Dalam mesej ini, kita akan meninjau kes keempat—keperluan orang yang tidak terdaya (Yoh. 5:1-47). Kes ini mendedahkan kehampaan agama. 

KEKURANGAN DALAM PEMATUHAN HUKUM AGAMA DAN KECUKUPAN DALAM PEMBERIAN HAYAT DARIPADA ANAK

    Tuhan tidak pernah berhasrat untuk memperoleh agama. Hasrat-Nya ialah memberi Sabda Kudus-Nya kepada umat-Nya untuk mewahikan kepada mereka bahawa Yang akan datang itu, yakni Anak Tuhan, akan menjadi penyelamatan dan hayat mereka demi menggenapi tujuan Tuhan. Yang akan datang itu akan menjadi segala-galanya kepada mereka—keadilbenaran, kekudusan, penebusan, dan kemuliaan. Orang Yahudi tidak mempunyai kesedaran ini. Sebaliknya, mereka memetik sebahagian daripada perintah dalam Sabda Kudus Tuhan dan menggunakannya untuk membentuk ritual dan peraturan. Mereka mengumpul perintah, ritual, dan peraturan ini lalu membentuk satu agama. Apakah itu agama? Definisi terbaik bagi agama tidak terdapat dalam kamus Webster. Agama bererti menyembah Tuhan dan berkelakuan baik untuk diperkenan Tuhan, dan menjadi seorang yang sempurna—semuanya tanpa Kristus. Meskipun semua perkara ini baik—kamu menyembah Tuhan menurut peraturan dan kamu berkelakuan baik—namun semuanya tanpa Kristus. 

    Apabila Tuan Yesus datang, Dia datang sebagai Yang dinubuatkan dalam Wasiat Lama. Dia datang untuk menjadi penyelamatan, hayat, keadilbenaran, kekudusan, penebusan, kemuliaan, dan segala-galanya kepada umat Tuhan. Akan tetapi, ketika Dia datang, umat Tuhan, iaitu orang Yahudi, diduduki sepenuhnya oleh agama mereka. Dalam hati mereka tidak ada ruang untuk Yang akan datang ini. Jika kamu membaca empat Injil, kamu akan melihat bahawa ke mana sahaja Tuan pergi dan di mana sahaja Dia berada, Dia ditentang oleh agama tipikal itu, yakni agama yang dibentuk menurut Sabda Kudus Tuhan. Ahli-ahli agama menentang Tuan yang hidup ini menurut agama mereka. 

    Penentangan ini tidak diwahikan dalam Yohanes 3 atau 4; kita menemuinya dalam Yohanes 5. Dalam kes orang yang tidak terdaya itu, penentangan daripada agama didedahkan sepenuhnya. Bab ini menyingkapkan kekurangan dalam agama yang tipikal dan penentangannya terhadap Kristus. Puji Tuan, dari aspek positif, bab ini menunjukkan kepada kita kecukupan Kristus, Anak Tuhan, sebagai hayat untuk menghidupkan orang. 

Kekurangan Pematuhan Hukum Agama

Benda-benda baik dalam Agama yang Tipikal

    Kolam di Yerusalem melambangkan bahawa dalam agama yang tipikal ini terdapat cara penyembuhan. Akan tetapi, ada satu syarat—kamu perlu mempunyai daya untuk berjalan dan bertindak. Apabila peluang diberi kepada kamu untuk menerima manfaat daripada agama ini, kamu perlu mempunyai daya untuk menjadi orang yang pertama dan mempunyai keupayaan untuk berjalan. 

Tidak Mungkin Dapat Mematuhi Hukum

    Orang yang tidak terdaya ini sudah sakit selama tiga puluh lapan tahun. Dia tidak berupaya untuk bergerak. Dia penuh dengan harapan ketika dia melihat air dikocakkan, namun dia tidak mungkin sempat melangkah masuk ke situ. Hukum adalah baik, kudus, dan rohani. Tidak ada masalah pada hukum; masalahnya ada pada kita. 

    Manusia bukan sahaja sakit, tetapi juga mati. Bagaimanakah orang mati dapat berjalan? Jika dia hendak berjalan, dia terlebih dahulu perlu dihidupkan semula. Galatia 3:21 mengatakan bahawa hukum tidak dapat memberi hayat. Hukum hanya membuat tuntutan ke atas manusia, namun tidak pernah membekali mereka hayat. Disebabkan kekurangan hayat, manusia sama sekali tidak mampu mematuhi hukum. Jika kamu masih kuat beragama, masih cuba mematuhi hukum, maka biar saya menanya kamu satu soalan. Adakah kamu ini mati atau hidup? Kamu harus mengaku bahawa kamu adalah mati. Memandangkan kamu seorang yang mati, bagaimanakah kamu dapat mematuhi hukum? Orang mati tidak dapat berbuat apa-apa. 

    Disebabkan kelemahan tubuh daging dan disebabkan kekurangan hayat, manusia tidak mungkin dapat mematuhi hukum. Walaupun terdapat malaikat, air, dan pengocakan air, namun kamu tidak dapat memenuhi tuntutan untuk turun ke air bagi mendapat penyembuhan. Ini adalah satu gambaran jelas yang menunjukkan kepada kita bahawa orang yang tidak terdaya dan mati tidak mungkin mematuhi hukum. Manusia tidak ada harapan langsung dalam hal berkenaan hukum. Dalam aspek hukum, keadaan kita memang tidak berupaya dan tidak ada harapan. 

Orang Sakit yang Berada di Bawah Perlindungan Pematuhan Hukum, iaitu dalam Kandang Domba Agama

    Orang yang sakit adalah tidak berupaya dan tidak ada harapan; mereka adalah mati di mata Tuan. Terdapat cara penyembuhan dalam agama pematuhan hukum, tetapi ini tidak memanfaatkan orang yang tidak terdaya itu kerana dia tidak bertenaga untuk memenuhi tuntutannya. Di mata Tuan, dia seorang yang mati yang bukan sahaja perlu disembuhkan tetapi juga perlu dihidupkan. Tanda ini bermakna bahawa apabila amalan pematuhan hukum dalam agama Yahudi menjadi sesuatu yang mustahil disebabkan keadaan manusia yang tidak terdaya, Anak Tuhan datang menghidupkan yang mati. 

Kecukupan dalam Pemberian Hayat oleh Anak 

    Kota kudus tidak dapat menolong orang yang tidak terdaya itu; begitu juga dengan bait kudus, Kitab Kudus, dan hari-hari kudus. Meskipun hari itu hari perayaan, namun dia tidak ada kegembiraan, dan meskipun hari itu hari Sabat, namun dia tidak ada rehat. Tidak ada apa-apa yang dapat menolongnya. Dia berada dalam keadaan yang tidak berupaya dan tidak ada harapan. Tiba-tiba, datanglah seorang yang kecil. Orang ini bukan ketua malaikat tetapi seorang yang kecil bernama Yesus. Dia tidak ada kecantikan atau tarikan, dan tidak ada sesiapa pun yang memberi perhatian kepada-Nya. Dia datang terus kepada orang yang sakit itu. Dia bertanya kepada orang itu, “Mahukah kamu sembuh?” Soalan itu bermaksud, “Mahukah kamu disembuhkan?” Orang yang tidak terdaya itu tidak tahu apa-apa selain kolam itu, air, dan malaikat yang mengocakkan air. Dia juga tahu bahawa dia tidak ada harapan atau keupayaan dalam dirinya. Justeru, dia menerangkan situasi itu kepada Tuan Yesus. Kemudian Tuan Yesus berkata, “Bangunlah, angkat tikarmu dan berjalan.” 

    Jika saya orang yang tidak terdaya itu, saya mungkin akan berkata, “Encik, saya tidak dapat melakukannya. Saya telah bersandar di atas tikar ini selama tiga puluh lapan tahun. Selama ini, tikar inilah yang membawa saya. Bagaimana pula kamu menyuruh saya mengangkatnya? Saya tidak dapat melakukan apa yang kamu katakan.” Jangan sekali-kali kita membantah kata-kata Tuan. Kita sepatutnya berkata, “Amen,” terhadap segala-gala yang dikatakan Tuan dan melakukan perkara itu dengan sewajarnya. Jangan membantah atau memberi alasan. Jika kamu membantah, kamu akan kehilangan berkat-Nya. Alangkah baiknya, orang yang tidak terdaya itu bukan sahaja bangun tetapi juga mengangkat tikarnya lalu berjalan. Dia bukan sahaja disembuhkan, malah dia dihidupkan. Dalam prinsip yang ditetapkan dalam bab dua, inilah penukaran maut menjadi hayat. 

    Kita tidak memerlukan kolam agama berserta airnya, dan kita juga tidak memerlukan malaikat. Berbanding dengan Yesus, kolam agama dan malaikat memang terlalu teruk. Apabila kita mempunyai Yesus, kita tidak memerlukan apa-apa yang lain lagi. Apa gunanya kota kudus, bait kudus, dan malaikat kudus? Baik perayaan mahupun hari Sabat, semuanya tidak membawa apa-apa makna kepada kita. Semua ini tidak membawa kebaikan kepada kita. Yesuslah yang menghidupkan kita. Kita semua perlu melihat butir ini. Inilah maksudnya penghidupan oleh hayat. Inilah butir utama dari aspek positif dalam kes ini. 

Mesej 19: Keperluan Orang Yang Hampir Mati- Disembuhkan Hayat
Mesej 21: Keperluan Orang yang Lapar- Diberi Makan oleh Hayat
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)