Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kajian Hayat Yohanes Mesej 2: Prakata (2)
Mesej 1: Prakata (1)
Mesej 3: Pengenalan Kepada Hayat Dan Pembinaan (1)
Mesej 2: Prakata (2)
2021-12-17 | 0 Komen
A- A+ Simpan

PRAKATA(2)

Kajian-hayat: Mesej 1

Petikan Bacaan: 

II. KEDUDUKAN PENULISAN YOHANES DALAM KITAB

A. Ministri Yohanes, iaitu Ministri Penampalan dengan Hayat

Ministri Yohanes ialah ministri penampal. Ketika Petrus dipanggil Tuan, dia sedang menangkap ikan. Namun ketika Yohanes dipanggil, dia sedang menampal jala (Mat. 4:21). Petrus menangkap banyak ikan dan membawa masuk banyak orang. Namun, Yohanes pula menampal jala rohani, kerana ministri penampalannya adalah ministri yang menampal dengan hayat. Hanya hayat yang dapat menampal, menutup segala lubang yang ada pada jala rohani. Hal ini memang diperlukan hari ini! 

B. Penulisan Yohanes — Kata Penutup bagi Wahi Divin

Semua penulisan Yohanes adalah kata penutup bagi wahi divin dalam Kitab. Kata penutup selalunya adalah kata pemutus. Seseorang itu mungkin membicarakan banyak ayat, namun keputusan bergantung pada kata penutupnya. Injil Yohanes adalah yang terakhir antara empat injil, surat-suratnya adalah yang terakhir antara semua surat, dan wahinya adalah buku terakhir bagi Wasiat Baru dan seluruh Bible. Justeru, penulisannya adalah kata penutup bagi wahi divin. 

III. ISI KANDUNGAN INJIL YOHANES

B. Terdiri daripada Dua Bahagian 

1. Bahagian Pertama: Kedatangan Tuan

    Bahagian pertama Injil Yohanes yang meliputi tiga belas bab yang pertama, memperkatakan kedatangan Tuan Yesus untuk membawa Tuhan ke dalam manusia dan menyatakan Tuhan kepada manusia. Bahagian ini mengisahkan bagaimana Tuan adalah Sabda Tuhan, iaitu Tuhan sendiri, yang datang menerusi inkarnasi untuk membawa Tuhan ke dalam manusia dan menyatakan Tuhan kepada manusia. Sebelum inkarnasi-Nya, Dia terpisah daripada manusia. Tuhan ialah Tuhan, dan manusia ialah manusia. Namun begitu, menerusi inkarnasi-Nya, Dia membawa Tuhan ke dalam manusia. Tuhan bersatu dengan seorang insan yang bernama Yesus, insan yang merupakan Tuhan dan juga manusia. Walaupun tidak ada sesiapa pun yang pernah melihat Tuhan, namun melalui inkarnasi, Anak tunggal Tuhan menyatakan Tuhan kepada manusia menerusi hayat, cahaya, kurnia, dan realiti. 

2. Bahagian kedua: Tuan Pergi menerusi Kematian dan Datang Kembali menerusi Kebangkitan

Bahagian kedua yang meliputi lapan bab yang terakhir, adalah berkenaan Tuan pergi menerusi kematian dan datang kembali menerusi kebangkitan untuk membawa manusia ke dalam Tuhan dan Dia tinggal dalam manusia dan tinggal bersama dengan manusia demi pembinaan Tuhan. Dalam bahagian kedua pula, Dia melalui kematian dan kebangkitan untuk membawa manusia ke dalam Tuhan. Dengan itu, Dia dapat masuk ke dalam manusia, tinggal dalam manusia dan tinggal bersama manusia demi pembinaan Tuhan. 

Walaupun gaya bahasa dalam Injil Yohanes adalah mudah dan ringkas, namun buku ini adalah dalam dan sukar difahami. Gaya bahasa begitu mudah sehinggakan murid darjah satu dapat membaca kebanyakannya. “Pada mulanya ada Sabda”, “Akulah hayat” — kenyataan ini memang mudah dibaca tetapi maknanya amat dalam. Apakah maksud “Sabda itu”? Cuba berikan definisinya. Apakah yang dimaksudkan dengan “dalam Dia ada hayat, dan hayat itu cahaya manusia”? Siapakah yang dapat mengatakan apa itu hayat? Hayat memang dalam dan jauh melangkaui pemahaman kita. Justeru, injil ini, dengan gaya bahasanya yang ringkas dan mudah, banyak menggunakan kiasan dan lambang. 

Hampir semua bab dalam Injil Yohanes mengandungi lambang tertentu. Dalam bab satu, kita ada Sabda, cahaya, tabernakal, anak domba, batu, dan tangga syurgawi; dalam bab dua, enam tempayan batu, wain, bait, dan rumah Bapa; dalam bab tiga, ular di atas tiang; dalam bab empat, perigi Yakub dan air hidup; dalam bab enam, roti hidup; dalam bab tujuh, sungai air hidup; dalam bab sembilan, air ludah dan tanah liat; dalam bab sepuluh, pintu, kandang, kawanan, padang, dan gembala; dalam bab dua belas, biji gandum; dalam bab tiga belas, pembasuhan kaki; dalam bab lima belas, pohon anggur dan ranting-ranting; dalam bab enam belas, perempuan dan anaknya; dalam bab sembilan belas, tulang, darah, dan air; dalam bab dua puluh, hembusan nafas; dan dalam bab dua puluh satu, domba dan anak domba; kita tidak akan memahami injil ini dengan sewajarnya tanpa berkias menggunakan semua lambang ini.  

Disebabkan hal-hal berkenaan hayat adalah abstrak, dalam, dan sukar difahami, memang susah untuk kita menghuraikannya dan menyampaikannya dengan bahasa manusia yang biasa. Justeru, injil ini menggunakan pelbagai lambang untuk mewakili hal-hal rohani, iaitu hal-hal berkenaan hayat dan pembinaan yang amat sukar difahami.

Mesej 1: Prakata (1)
Mesej 3: Pengenalan Kepada Hayat Dan Pembinaan (1)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)