Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kajian Hayat Yohanes Mesej 18: Keperluan Orang Yang Tidak Bermoral- Dipuaskan Hayat (2)
Mesej 17: Keperluan Orang yang Tidak Bermoral- Dipuaskan Hayat (1)
Mesej 19: Keperluan Orang Yang Hampir Mati- Disembuhkan Hayat
Mesej 18: Keperluan Orang Yang Tidak Bermoral- Dipuaskan Hayat (2)
2022-02-20 | 0 Komen
A- A+ Simpan

KEPERLUAN ORANG YANG TIDAK BERMORAL—DIPUASKAN HAYAT (2)

Ayat-ayat Bible: Yoh. 4:15-42 

Kajian-hayat: Mesej 12

Bacaan Bible: 

Yohanes 4:24 Tuhan ialah Roh, dan mereka yang menyembah-Nya harus menyembah dalam roh dan ketulusikhlasan. 

Petikan Bacaan:  

CARA MENGAMBIL AIR HIDUP

Yohanes bab empat adalah contoh yang baik bagi pemberitaan injil. Kita semua harus belajar bagaimana untuk berbicara dengan pendosa. 

Pendosa Meminta Air Hidup

    Perempuan Samaria itu tertawan dan dia meminta air hidup daripada Tuan. “Perempuan itu berkata kepada-Nya, Encik, berilah aku air ini agar aku tidak haus dan tidak datang ke sini untuk menimba air” (4:15). Tuan adalah penginjil yang hebat. Dia seolah-olah berkata, “Jika kamu tahu siapa Aku, jika kamu tahu akan berian Tuhan, dan jika kamu tahu akan air hidup yang Aku beri, kamu pasti akan memintannya.” Perempuan itu serta-merta memintanya. 

Penyelamat Memberitahu Dia Cara Mengambil Air Hidup 

Bertaubat dan Mengaku Dosa-dosanya—“Suami-suami”

    Apabila perempuan itu meminta air tersebut daripada Tuan, Dia tidak menegur perempuan itu dengan menyuruh dia bertaubat dan mengaku dosa-dosanya secara menyeluruh. Tidak, Tuan berkata kepadanya secara ramah dan lembut, “Pergilah, panggil suamimu dan datang ke sini” (4:16). Tuan seolah-olah berkata, “Aku mahu suamimu. Kamu meminta air hidup daripada-Ku, dan Aku meminta suamimu daripada kamu. Marilah kita membuat pertukaran. Kamu menukarkan suamimu dengan air hidup.” Kata-kata ini bertujuan untuk menyentuh zimahnya berhubung dengan sejarah hidupnya yang tidak bermoral supaya dia bertaubat atas dosa-dosanya. “Perempuan itu menjawab dan berkata, Aku tidak mempunyai suami. Yesus berkata kepadanya, Betul katamu, Aku tidak mempunyai suami. Kerana kamu pernah mempunyai lima orang suami, dan yang kamu ada sekarang bukanlah suamimu; apa yang kamu katakan ini benar.” Adakah perempuan itu berdusta atau bercakap benar? Kata-katanya memang benar, tetapi kata-kata itu juga adalah dusta. Dia berdusta dengan bercakap benar. Itu dusta yang benar. Namun begitu, Tuan berlembut terhadapnya dan tidak menegurnya. Malah Dia menghargainya dengan berkata, “Betul katamu, Aku tidak mempunyai suami. Kerana kamu pernah mempunyai lima orang suami, dan yang kamu ada sekarang bukanlah suamimu; apa yang kamu katakan ini benar” (4:17-18). Kata-kata Tuan menakutkan dia. Perempuan itu seolah-olah berkata, “Bukankah orang ini orang Yahudi? Dia tidak pernah tinggal di kota kami. Bagaimanakah dia tahu akan latar belakang saya? Siapakah yang memberitahu dia bahawa saya pernah mempunyai lima orang suami dan yang saya ada sekarang bukanlah suami saya?” Melalui kata-kata Tuan yang penuh kurnia dan kearifan, zimah perempuan itu tersentuh. Cara yang wajar untuk meministerkan injil ialah menyentuh zimah orang. 

    Oleh sebab kata-kata Tuan berkenaan suami-suaminya itu menyentuh zimahnya, dia segera menukar topik perbualan kepada hal penyembahan. Dia agak cerdik kerana berbuat demikian. Walaupun dia perempuan yang tidak bermoral, dia masih berbicara tentang penyembahan Tuhan. Ini membuktikan keadaan agama. Perempuan ini tidak mengaku dosa-dosanya tetapi menukar topik berkenaan suaminya kepada penyembahan Tuhan. Dia berkata, “Bapa-bapa leluhur kami menyembah di gunung ini, namun Engkau mengatakan bahawa di Yerusalemlah tempatnya orang harus menyembah.” Penukaran topik ini merupakan kelicikan perempuan Samaria itu. Apabila perempuan itu menukar topik berkenaan suaminya kepada penyembahan, Tuan Yesus mengambil peluang itu untuk mewahikan kepadanya cara yang wajar untuk menerima air hidup. 

Menghubungi Tuhan Roh 

    Dengarlah kata-kata Tuan berkenaan penyembahan. “Yesus berkata kepadanya, Perempuan, percayalah Aku, waktunya akan tiba apabila kamu akan menyembah Bapa, bukan di gunung ini dan bukan di Yerusalem. ... Tuhan ialah Roh, dan mereka yang menyembah-Nya harus menyembah dalam roh dan ketulusikhlasan” (4:21-24). Kata-kata ini diberi untuk mengajar dia tentang keperluannya melatih rohnya untuk menghubungi Tuhan Roh. Menghubungi Tuhan Roh dengan rohnya adalah minum air hidup, dan minum air hidup adalah penyembahan yang sebenar kepada Tuhan. 

    Apabila Dia berkata, “Waktunya akan tiba, dan sekaranglah masanya,” ertinya ialah zaman sudah berubah. Pada masa dahulu, menurut Hukum Musa, Tuhan menetapkan agar umat-Nya menyembah Dia di tempat tertentu, iaitu tempat Dia mendirikan kediaman-Nya dengan nama-Nya (Ul. 12:5). Semua penyembah Tuhan harus pergi ke tempat khusus itu. Ini merupakan suatu tamsil. Kini, zaman sudah berubah, dan tamsil sudah digenapi. Menurut makna tamsil, tempat penyembahan tidak seharusnya merupakan suatu tempat lagi, tetapi seharusnya merupakan roh manusia; di situ Tuhan akan mendirikan kediaman-Nya dengan nama-Nya. Di manakah tempat khusus bagi umat Tuhan menyembah Dia hari ini? Tempat itu ialah roh manusia kita. Menurut Efesus 2:22, kediaman Tuhan berada dalam roh kita. 

    Mengapakah pada zaman dahulu kala, Tuhan menetapkan umat-Nya agar menyembah Dia di satu tempat? Ini bertujuan untuk memelihara kesatuan. Tuhan sama sekali tidak akan membenarkan umat-Nya menyembah Dia di mana-mana tempat selain tempat yang dipilih-Nya. Jika sesiapa menyembah-Nya di tempat lain, kesatuan dalam kalangan umat-Nya akan terjejas. Pada hari ini, di manakah kita dapat memelihara kesatuan? Dalam roh manusia kita. Kita semua berbeza daripada satu sama lain dalam minda, pemahaman, ajaran, doktrin, dan konsep kita. Saya tidak percaya ada sepasang suami isteri yang mempunyai pemikiran yang seratus peratus sama. Semua orang mempunyai konsep yang berbeza. Kamu mempunyai konsep kamu dan saya mempunyai konsep saya. Bagaimanakah kita dapat menjadi satu berdasarkan konsep, cara, dan pandangan kita yang berbeza-beza? Kita harus melupakan semua ini dan berpaling kepada roh kita. Apabila kita berpaling kepada roh, kita menjadi satu. Roh kita ialah tempat untuk menyembah Tuhan, iaitu tempat untuk menghubungi-Nya. Setiap kali kita menyembah Tuhan dalam roh kita, ini bererti bahawa kita minum Tuhan yang merupakan air hidup. Apabila kamu memuji Tuhan menggunakan roh kamu, dengan serta-merta kamu minum. Jika kamu berkata dari roh kamu, “Puji Tuhan! O Bapa, aku menyembah-Mu,” kamu akan minum air hidup. 

    Tuan juga mengatakan bahawa sekaranglah masanya bagi penyembah-penyembah sejati menyembah Tuhan bukan sahaja dalam roh mereka tetapi juga dalam ketulusikhlasan. Hal ini sukar difahami oleh orang Kristian hari ini. Namun begitu, jika kita melihat tamsil, kita akan faham apa yang dimaksudkan oleh Tuan. Pada zaman dahulu kala, Tuhan menetapkan umat-Nya agar menyembah Dia di tempat yang ditentukan dengan membawa korban. Umat tidak boleh menyembah Tuhan di mana-mana tempat yang dipilih mereka dan mereka tidak boleh menyembah-Nya tanpa membawa korban. Mereka memerlukan korban kerana mereka berdosa. Apabila mereka datang untuk menghubungi Tuhan, mereka harus mempersembahkan banyak jenis korban—korban penebus pelanggaran, korban penebus dosa, korban damai, korban sajian, korban bakaran, korban ayunan, dan korban unjukan. Semua korban merupakan tamsil bagi aspek Kristus yang berlainan. Kristus ialah korban penebus pelanggaran kita yang sebenar. Dia juga korban penebus dosa, korban sajian, korban damai, dan korban bakaran kita yang sebenar. Pada hari ini, kita bukan menyembah Tuhan di tempat yang khusus, sebaliknya kita harus menyembah-Nya dalam roh kita. Bukan itu sahaja, kita tidak mempersembahkan korban, sebaliknya kita menyembah-Nya dengan Kristus sebagai realiti semua korban. 

Mesej 17: Keperluan Orang yang Tidak Bermoral- Dipuaskan Hayat (1)
Mesej 19: Keperluan Orang Yang Hampir Mati- Disembuhkan Hayat
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)