Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kajian Hayat Yohanes Mesej 12 & 13: Tujuan Hayat
Mesej 11: Prinsip Hayat
Mesej 14: Keperluan Orang yang Bermoral- Dilahirukan Hayat (1)
Mesej 12 & 13: Tujuan Hayat
2022-01-28 | 0 Komen
A- A+ Simpan

TUJUAN HAYAT

Ayat-ayat Bible: Yoh. 2:12-22

Kajian-hayat: Mesej 7

Bacaan Bible:

Yohanes 2:19 Yesus menjawab dan berkata kepada mereka, Binasakan bait ini, dan dalam tiga hari Aku akan mendirikannya. 

Petikan Bacaan: 

Dalam peristiwa menukar air menjadi wain, kita melihat prinsip hayat, iaitu menukar maut menjadi hayat. Sekarang, dalam peristiwa menanggulangi bait pula, kita akan melihat tujuan hayat, iaitu membina rumah Tuhan. 

Yesus Membersihkan Bait

Yohanes 2:12-22 menunjukkan kepada kita dua aspek penanggulangan bait yang dilakukan oleh Tuan: aspek pembersihan dan aspek pembinaan. Musuh Tuhan, Syaitan, selalu ingin memusnahkan atau membinasakan bait Tuhan. Dia cuba mencemari bait dengan banyak hal yang berdosa. Itulah sebabnya bait Tuhan perlu dibersihkan. 

Syaitan cuba sedaya upaya untuk mencemari dan mengotori kehidupan gereja dengan banyak perkara yang berdosa dan duniawi. Di mana sahaja adanya gereja lokal, perkara ini akan sentiasa berlaku. Biarlah saya memberi sepatah dua kata untuk melipurkan kamu. Jika gereja lokal tempat kamu berada itu telah dicemari, jangan putus asa. Kamu tidak harus putus asa. Kamu harus berkata, “Tuan, inilah masa Engkau. Tuan, masuklah. Pencemaran Syaitan hanya membawa pembersihan-Mu.”

Tubuh Yesus yang Merupakan Bait Dibinasakan dan Didirikan Semula dalam Kebangkitan

Syaitan bukan sahaja bertujuan hendak mencemari bait, malah dia mahu membinasakannya. Tujuannya yang muktamad ialah membinasakan rumah Tuhan. Sabda Tuan berkata, “Binasakan bait ini, dan dalam tiga hari Aku akan mendirikannya” (Yoh. 2:19). Dengan kata lain, musuh mungkin memusnahkan dan membinasakan gereja, iaitu rumah Tuhan, namun Tuan akan mendirikannya semula dalam kebangkitan dan menerusi kebangkitan. 

Dalam Wasiat Baru, terdapat dua bentuk catatan berkenaan kebangkitan Tuan: Tuhan membangkitkan-Nya, dan Tuan sendiri yang bangkit. Injil Lukas memperlihatkan Tuan Yesus sebagai Penyelamat yang berkorban untuk dosa-dosa kita. Justeru, kita dapat melihat bahawa Tuan memerlukan Tuhan untuk membangkitkan-Nya (Luk. 9:22). Namun dalam Injil Yohanes, keadaannya berbeza. Tuan bukan mati terkorban untuk dosa, tetapi menyerahkan nyawa-Nya sendiri. Tuan berkata, “Kerana Aku menyerahkan nyawa-Ku supaya Aku dapat mengambilnya semula. Tidak ada seorang pun yang mengambilnya daripada-Ku tetapi Aku sendiri yang menyerahkannya. Aku berkuasa menyerahkannya, dan Aku berkuasa mengambilnya semula” (Yoh. 10:17-18). 

1. Tubuh Fizikal Yesus Dibinasakan oleh Orang Yahudi di atas Salib

Tubuh fizikal Yesus dibinasakan oleh orang Yahudi di atas salib. Semasa Kristus berinkarnat, Dia mengenakan tubuh fizikal. Yohanes 1:14 dengan jelas mengatakan bahawa tubuh fizikal-Nya ialah tabernakal. Menurut Yohanes 2, tubuh fizikal-Nya juga merupakan bait. Saya ingin menunjukkan bahawa dalam seluruh Wasiat Baru bait Tuhan bukan merujuk kepada suatu tempat, tetapi satu Orang. Semasa Yesus berada dalam tubuh daging, tubuh-Nya ialah tabernakal Tuhan dan bait Tuhan. Kedua-dua tabernakal dan bait adalah tempat tinggal Tuhan. Syaitan mengetahui perkara ini. Disebabkan Syaitan mengetahui bahawa tubuh fizikal Yesus ialah tempat kediaman Tuhan di bumi, maka dia cuba sedaya upaya untuk membinasakan tubuh itu. Dan dia memang telah membinasakan tubuh Tuan di atas salib menerusi orang Yahudi. Dari satu segi, Syaitan membinasakan tubuh fizikal Tuan; dari segi yang lain, Tuan Yesus menyerahkan tubuh-Nya sehingga Dia mati. Tuan seakan-akan memberitahu Syaitan, “Syaitan, buatlah seberapa banyak yang engkau dapat. Biar Aku melihat apa yang dapat engkau lakukan, Apa sahaja yang engkau lakukan hanya memberi Aku peluang untuk bekerja dengan lebih lanjut.” 

2. Yesus Membangkitkan Tubuh Fizikal-Nya

Setelah Syaitan membinasakan tubuh fizikal Tuan Yesus di atas salib, tubuh-Nya diletakkan di dalam kubur dan dibiarkan berehat di situ. Kemudian, Tuan Yesus masuk ke dalam maut, mengunjungi Rumah Hitam, lalu keluar dalam kebangkitan. Semasa Yesus bangkit, Dia membuat tubuh-Nya yang mati dan dikuburkan itu bangkit. Selepas kebangkitan Tuan, Syaitan terpaksa berkata, “Aku kalah. Bodohnya aku. Aku tidak patut membinasakan-Nya.” Namun, kekesalan Syaitan sudah terlewat.

Setelah sesuatu gereja lokal dirosakkan atau dibinasakan, percayalah bahawa dalam kebangkitan, gereja itu akan menjadi lebih besar daripada keadaan sebelumnya. Tuan Yesus sentiasa menang atas musuh. Jangan takut akan kerja Syaitan. Kebanyakan masa kita, tidak perlu berdoa dengan begitu terdesak. Kita hanya perlu berkata, “Syaitan, cubalah sedapat yang mungkin. Apa sahaja yang engkau lakukan hanya memberi Tuan Yesus kita peluang untuk mengatasi engkau.” Apabila Tuan Yesus mengetahui bahawa orang Yahudi ingin menghapuskan-Nya, Dia tidak berdoa sebegini, “O Bapa, bunuhlah semua orang Yahudi ini. Bapa, selamatkan Aku, lindungilah Aku.” Dia tidak berdoa sedemikian. Sebaliknya, Dia seakan-akan memberitahu mereka, “Cubalah sedaya upaya untuk membunuh Aku. Percayalah bahawa selepas kamu membunuh Aku, Aku akan mendapat peluang untuk berkembang luas.” Tidak ada seorang pun yang dapat menghalang tujuan Tuan. Semakin musuh cuba menghalang, semakin dia membuka peluang kepada Tuan untuk melakukan sesuatu dengan lebih banyak lagi. Apa yang dilakukan Tuan selalunya berada dalam kebangkitan. Tuan mendirikan bait “dalam tiga hari”; ini bererti bahawa Dia membinanya dalam kebangkitan.

3. Rumah Tuhan Masih Berkembang Luas dalam Kebangkitan Bersama dengan Tubuh Kristus 

Sejak hari kebangkitan tubuh fizikal-Nya, Tuan Yesus terus menerus memperbesar Tubuh-Nya. Betapa besarnya Tubuh Kristus hari ini dalam kebangkitan-Nya! Dapatkah kamu mengukur saiz Tubuh Kristus? Sungguhpun pada suatu ketika, tubuh fizikal Tuan dapat diukur saiznya, namun mustahil kamu dapat mengukur kemahaluasan Tubuh Kristus. Tuan tidak berhenti-henti membina Tubuh-Nya dalam kebangkitan, dan Syaitan terus-menerus membantu-Nya dalam hal ini.

Segala pembinasaan musuh terhadap gereja hanya memberi Tuan peluang untuk memperbesar Tubuh-Nya dalam kebangkitan.  Biarlah musuh melakukan apa yang dapat dilakukannya, kerana kerjanya hanya membuka peluang kepada Tuan untuk melakukan kerja pengembangluasan dalam kebangkitan. Musuh sama sekali tidak dapat mengalahkan Tuan Yesus. Pintu-pintu Hades sama sekali tidak akan mengatasi gereja yang terbina (Mat. 16:18), Gereja masih melangkah maju dan masih bertumbuh. Haleluya! Biarpun musuh cuba sedaya upaya untuk membinasa, namun kita akan melihat kemenangan Tuan. Kita akan melihat bahawa bukan sahaja Tuan Yesus sendiri menang, tetapi gereja juga menang. Semakin banyak kata buruk berkenaan pemulihan Tuan, semakin pemulihan-Nya menang. 

Mesej 11: Prinsip Hayat
Mesej 14: Keperluan Orang yang Bermoral- Dilahirukan Hayat (1)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)