Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian Merebut Peluang—Catatan Bicara Dengan Rakan Sekerja (Samb.)
Merebut Peluang—Catatan Bicara Dengan Rakan Sekerja
Kata-kata Persekutuan dalam Kasih dan Penting pada Saat-saat Genting
Merebut Peluang—Catatan Bicara Dengan Rakan Sekerja (Samb.)
2020-04-28 | 0 Komen
A- A+ Simpan

(Koleksi Watchman Nee, Set 3, Jil. 55: Ministri & Pintu Terbuka, 
Terbitan No. 21—15 September 1950)

MEREBUT PELUANG—
CATATAN BICARA DENGAN RAKAN SEKERJA (Samb.)

Perasaan saya ialah Tuan dapat melakukan kerja yang sepuluh kali lebih besar daripada yang ada dalam kalangan kita sekarang. Saya tidak mengatakan seribu atau sepuluh ribu kali lebih besar; saya hanya mengatakan sepuluh kali lebih besar. Namun kita tidak dapat melakukannya. Kita tidak merebut peluang. Kita sudah berpuas hati! Kita berfikir bahawa segala-galanya sudah beres untuk hidup kita yang selebihnya kerana dewan perhimpunan di Jalan Nanyang telah dibina, lalu kita berhenti di sini. Kita telah kehilangan dan mengebumikan peluang-peluang. Tidak lama lagi kita tidak akan mempunyai sebarang peluang lagi. Dikbang sekalian, kita harus bangun dari tidur. Kita tidak tahu sebesar mana peluang yang ada di hadapan kita. Mungkin sesuatu kerja itu akan berkembang sejajar dengan kehendak Tuhan. Kita harus membawa anak-anak Tuhan ke dalam jalan yang ditetapkan-Nya. Hari demi hari kita harus mengambil peluang untuk terus maju dan melakukan kerja di hadapan kita.

Saya berasa bahawa dikbang-dikbang yang bertanggungjawab harus sedar sepenuhnya tentang keperluan untuk merebut semua peluang. Kita harus dipenuhi dengan kesedaran bahawa kita perlu menggunakan segala peluang yang diberikan Tuhan. Setiap kali kita harus membuat keputusan yang tepat. Setiap kali kita membuat keputusan, kita tidak harus hanya melihat keadaan sekarang. Sebaliknya kita harus menyemak sama ada keputusan kita berpadanan dengan peluang yang diberikan Tuhan kepada kita atau tidak. Saya berasa jika perasaan kita cukup tajam, kita akan mengetahui hal-hal yang membuat kita menyesal dan hal-hal yang meriangkan kita. Berbuat hal-hal tertentu bererti melepaskan peluang. Mungkin saya sepatutnya melawat Dikbang Tang pada suatu kali, tetapi saya telah melawat Dikbang Chang. Mungkin saya sepatutnya menguruskan hal tertentu pada pukul lapan, tetapi saya lewat dan pergi pada pukul sembilan. Mungkin saya sepatutnya pergi ke utara pada hari tertentu, tetapi saya pergi ke selatan pula. Akibatnya, saya telah kehilangan banyak peluang dan tidak dapat berbuat apa-apa melainkan menyesal. Dari segi yang lain, dalam banyak hal saya bersyukur kepada Tuhan. Pada hari tertentu saya nyaris-nyaris membuat kesilapan tetapi Tuan telah memelihara saya agar tidak melakukan kesilapan itu. Pada hari itu saya sepatutnya melawat Dikbang Hsie tetapi saya hampir hendak melawat Dikbang Tu. Walau bagaimanapun, Tuan memelihara saya daripada membuat kesilapan itu, maka tidaklah saya kehilangan peluang itu. Pada hari tertentu, saya sepatutnya ke selatan tetapi saya nyaris pergi ke utara. Namun Tuan memelihara saya agar saya tidak menuju ke utara. Saya tidak menyedari betapa besar kesannya pada saya sewaktu saya berpaling sedikit kepada Tuan pada kali itu. Akan tetapi, saya tahu bahawa Tuhan telah memelihara saya supaya saya merebut peluang itu dan tidak melepaskannya.

Sebelum tibanya hari itu, saya berharap agar kita semua akan belajar menyerahkan diri kita ke dalam tangan Tuan supaya Dia dapat melatih perasaan rohani dan penglihatan rohani kita. Jika kita kekurangan dua perkara ini, kita tidak akan tahu bagaimana menghadapi situasi yang timbul. Kita harus menyerahkan diri kita kepada-Nya setiap hari. Situasi yang kita hadapi setiap hari tidak semestinya peluang. Peluang datang dan pergi mengikut hari; peluang tidaklah malar. Masa itu malar, tetapi peluang tidak. Peluang datang dalam masa. Masa itu berterusan, tetapi peluang datang dan pergi. Oleh itu, kita harus merebut peluang. Kita harus merasakan peluang setiap kali peluang datang dan menggunakannya sebaik mungkin.

Pada masa yang sama, kita harus mempunyai pandangan rohani. Dengan adanya pandangan rohani, kita akan mengesan peluang ketika peluang datang dan merebutnya. Kita haruslah cepat. Jika kita tidak melepaskan peluang setiap kali peluang lalu di hadapan kita satu demi satu, gereja akan mengalami perkembangan yang amat pesat. Perkembangan ini akan jauh melebihi jangkaan kita.

Masalahnya hari ini bukan Tuan tidak memberi kita peluang, tetapi kita melepaskan peluang. Kita semua harus bangkit. Dikbang-dikbang yang bertanggung-jawab dalam gereja harus bangkit. Kita tidak mahu membiarkan peluang daripada Tuhan berlalu begitu sahaja. Kita telah melihat bagaimana Tuhan memberkati kerja Dikbang Witness. Kelebihannya ialah dia tidak membenarkan apa-apa peluang terlepas. Memang sukar untuk mendapati dia melepaskan suatu peluang. Sebaik sahaja peluang timbul, dia mengambil kesempatan itu. Jika kita membiarkan peluang pergi, kerja Tuhan akan dihadkan kerana kita.

Sebahagian besar daripada kehendak Tuhan didapati dalam peluang-Nya. Suatu hari apabila kita berdiri di hadapan Tuhan, kita akan melihat bahawa sebahagian besar kehendak Tuhan terletak dalam peluang yang telah diberikan-Nya kepada kita. Jika kita dapat mengesan peluang-peluang itu, kita dapat mengetahui kehendak Tuhan. Perkara ini sangat serius. Daniel 11:32 berkata, “Umat yang mengenali Tuhan mereka akan...bertindak.” Ini bermakna umat Tuhan akan merintis kawasan baru. Semakin banyak kita mengetahui kehendak Tuhan, semakin banyak kita akan merebut peluang. Sesiapa yang teragak-agak akan hidup menurut tabiat. Hanya orang yang mengenali Tuhan tidak akan bertindak menurut tabiat.

Dikbang-dikbang dari Shanghai harus belajar merintis kawasan baru. Tidak baik untuk berhenti setakat ini. Berapakah orang dikbang yang kita perlukan sebelum kita dapat mengatakan bilangannya sudah cukup? Tidak akan cukup. Kita harus keluar secara berterusan dan tidak berhenti. Setiap kali kita keluar kita harus merasakan bahawa kita tidak melakukan kerja dengan secukupnya dan urusan kita belum lagi beres. Kita tidak dapat mengaturkan semuanya dengan cara sempurna sehinggakan tidak ada lagi yang boleh kita lakukan. Hal ehwal gereja tidak berkesudahan dan sentiasa timbul. Selalunya urusan pertama belum selesai tetapi urusan kedua sudah timbul. Perkara kedua juga belum disempurnakan tetapi perkara ketiga telah datang. Merasakan diri sudah baik merupakan prinsip Babylon. Nebukadnezar bermegah pada suatu hari: “Bukankah ini Babylon agung, yang aku bina sebagai kota diraja dengan keperkasaan kuasaku dan demi kemuliaan kemahabesaranku?” (Dan. 4:30). Dia berpuas hati dengan kerjanya sendiri—inilah prinsip Babylon. Dalam gereja, satu perkara sentiasa disusuli satu perkara lagi. Sebelum kita ada masa untuk menghabiskan satu kerja, kerja yang kedua sudah datang. Kerja itu terus berkembang dan mencapai bidang baru.

Saya tidak mempunyai niat lain; saya hanya berharap agar dikbang dan dikkak jangan lepaskan peluang istimewa ini. Tidak ada peluang yang sebegitu ajaib dan banyak seperti yang kita hadapi hari ini. Kalaulah kita hanya membuka mata kita sedikit, kita akan melihat peluang-peluang ini. Biar saya mengulang: Kita tidak harus melepaskan peluang. Jika kita merebut setiap peluang, kita akan menghentikan banyak hal daripada berlaku. Jika kita merebut setiap peluang, masalah tidak akan menular di kawasan tertentu. Keadaan yang tersimpang itu menular di sesetengah kawasan kerana dikbang-dikbang adalah malas dan miskin. Dikbang-dikbang haruslah kuat untuk bertindak. Sebaik sahaja Tuhan bergerak, kita harus bergerak. Kita tidak harus melepaskan apa-apa peluang.

Saya berasa gembira kerana Tuhan memberi kita peluang. Apabila peluang datang, wang juga datang; apabila peluang datang, jiwa-jiwa diselamatkan; apabila peluang datang, kerja berkembang. Jika kita hanya memberikan sedikit bukaan kepada peluang-peluang ini, semuanya akan meluru masuk. Namun begitu, masalahnya ialah peluang tidak akan menunggu kita. Apabila Tuhan membuka jalan untuk kita melakukan sesuatu, kita harus melakukannya. Sebaik sahaja masa berlalu, peluang itu juga hilang. Jika kita menunggu hingga esok untuk membuat sesuatu, kita akan kehilangan peluang. Hari ini berkata dengan dikbang tertentu mungkin berguna. Namun jika kita menunggu sampai esok, ia mungkin tidak lagi berguna kerana peluangnya sudah hilang. Kita harus mempunyai pandangan rohani, dan kita harus mempunyai perasaan rohani. Kita harus memohon kepada Tuhan untuk memelihara setiap peluang yang diberikan-Nya kepada kita.

Baru-baru ini, saya mengalami perubahan besar dalam perasaan saya. Saya percaya bahawa Tuan mengingini kita lebih peka dalam perasaan kita. Jika kita silap sekarang, kita akan kehilangan peluang yang diberikan Tuhan, dan sebaik sahaja peluang ini hilang, kita mungkin perlu menunggu beberapa puluh tahun sebelum peluang itu datang lagi. Mungkin saya akan mengakhiri kata-kata saya di sini. Namun saya masih ingin menyebut beberapa perkara praktikal. Sebaik sahaja perhimpunan didik-bina untuk percayawan baru telah menjadi kukuh, saya percaya bahawa kita harus mencari jalan untuk menghubungi kumpulan-kumpulan yang mengasihi Tuan dan tidak menentang kita. Kita harus bersekutu dengan mereka dan membawa mereka ke dalam gereja. Pada masa lalu, penekanan kita adalah untuk memperoleh pendosa daripada kalangan “bangsa Asing”. Bagi percayawan, kita hanya membiarkan mereka datang ke kalangan kita secara individu. Kita takut bahawa orang akan mengatakan kita mencuri domba, maka kita teragak-agak untuk mendampingi mereka. Inilah sikap kita pada masa lalu. Bahkan sampai hari ini, kita telah mengambil jalan ini. Inilah apa yang dikehendaki Tuan untuk kita lakukan pada masa lalu.

Setelah persidangan Kuling yang kedua, perasaan saya mula berubah. Perubahan ini bukan perubahan dari aspek doktrin. Dalam tiga bulan yang lepas, perasaan dalaman ini bertambah kuat. Hari ini saya berasa bahawa kita bukan hanya harus memperoleh orang yang mengasihi Tuan secara individu tetapi juga memperoleh kumpulan demi kumpulan orang yang mengasihi Tuan. Katakan terdapat sekumpulan orang yang mengasihi Tuan dengan cara yang murni, yang bukan denominasi campuran. Katakan lagi orang di sana tidak mengenali gereja dan tidak mengambil jalan yang sama dengan kita. Setelah perhimpunan didik-bina untuk percayawan baru telah dikukuhkan (jika perhimpunan didik-bina untuk percayawan baru tidak kuat, kita tidak dapat berdiri teguh), saya berasa Tuan menghendaki kita bersekutu dengan kumpulan rohani sedemikian. Semua dikbang harus bergerak untuk keluar dan menghubungi kumpulan orang ini. Kita tidak melakukan perkara ini pada masa dahulu; kita harus melakukannya sekarang. Kita harus banyak berdoa. Setiap orang harus membuat pertimbangan di hadapan Tuan untuk melihat sama ada perasaan ini akan bertambah kuat dalam kamu atau tidak. Dari satu segi, kita harus menekankan injil. Dari segi yang lain, kita harus memberi perhatian kepada kumpulan rohani. Kita bukan ingin memperoleh individu tetapi seluruh kumpulan. Dikbang-dikbang yang bertanggungjawab di setiap lokaliti harus melihat jika inilah yang diingini Tuan untuk kita lakukan hari ini.

Sebagai contoh, terdapat Gereja “Keluarga Yesus”. Mungkin sudah sampai masanya kita memperoleh mereka. Kita dapat mempelajari sesuatu daripada mereka. Dalam hal menjadikan harta benda milik bersama dan menjalani kehidupan komunal, mereka mengetahui lebih banyak daripada kita dan lebih maju daripada kita. Mereka dapat membantu kita. Barangkali kita dapat membantu mereka berkenaan kebenaran gereja. Ini mungkin merupakan pergerakan Tuhan yang besar di China. Semoga Tuhan memimpin kita. Jika inilah peluang-Nya, saya berharap kita tidak akan melepaskannya.

Jika matlamat kita adalah untuk membawa semua kumpulan yang mengasihi Tuan ke dalam jalan yang sama, terdapat banyak lagi kumpulan rohani yang lain selain Keluarga Yesus. Semua dikbang dan dikkak harus bangkit melakukan perkara ini. Kita mahu memalingkan mereka sebagai satu kumpulan. Saya mempersembahkan perkara ini di hadapan dikbang dan dikkak hari ini secara ringkas. Saya berharap kamu akan meluangkan masa bersendirian untuk merenungi dan mengikuti peluang-peluang yang diberikan Tuhan. Inilah peluang segala peluang. Kita tidak mahu melepaskannya; kita mahu mengambil kesempatan ini. Kita harus bertaubat dan mengaku dosa-dosa kita kerana telah melepaskan begitu banyak peluang! Kita telah membuang peluang yang diberikan Tuhan kepada kita secara berterusan. Jika kita tidak kehilangan begitu banyak peluang, hari ini kita akan mempunyai lebih daripada satu dewan perhimpunan dan satu tempat latihan. Akan ada lebih daripada satu ladang. Saya berharap mulai sekarang, tidak ada satu peluang yang akan terlepas daripada perasaan kita dan mata kita. Jika kita mengambil jalan peluang, kita mungkin akan berupaya maju beberapa langkah lagi.

Watchman Nee
Shanghai,

19 Julai 1950

Merebut Peluang—Catatan Bicara Dengan Rakan Sekerja
Kata-kata Persekutuan dalam Kasih dan Penting pada Saat-saat Genting
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)