Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian Merebut Peluang—Catatan Bicara Dengan Rakan Sekerja
Merebut Peluang—Catatan Bicara Dengan Rakan Sekerja (Samb.)
Merebut Peluang—Catatan Bicara Dengan Rakan Sekerja
2020-04-27 | 0 Komen
A- A+ Simpan

(Koleksi Watchman Nee, Set 3, Jil. 55: Ministri & Pintu Terbuka, 
Terbitan No. 21—15 September 1950)

MEREBUT PELUANG—
CATATAN BICARA DENGAN RAKAN SEKERJA

Semasa kita berhimpun hari ini, saya rasa saya mempunyai sesuatu untuk dikatakan. Mari kita mula-mula melihat dua ayat Bible. 

Kolose 4:5 berkata, “Tebuslah masa,” dan Efesus 5:16 berkata, “Tebuslah masa.” 

Saya ingin berbual dengan kamu berkenaan perkara ini beberapa hari yang lepas. Terdapat beberapa perkataan Yunani untuk perkataan masa, seperti yang diterjemahkan dalam dua ayat yang baru kita baca. Dalam kedua-dua ayat itu, perkataan Yunaninya bukan chronos, tetapi kairos. Perkataan ini bukan sahaja merujuk kepada masa. Terdapat beberapa ayat yang menggunakan perkataan Yunani ini bersama dengan perkataan yang lain, dan di semua tempat itu perkataan ini diterjemahkan sebagai peluang. Contohnya Galatia 6:10 berkata, “Oleh itu, apabila kita berpeluang, haruslah kita melakukan apa yang baik terhadap semua orang.” Ini bermakna bahawa kita harus merebut peluang untuk melakukan apa yang baik. Kata-kata daripada Bible menunjukkan kepada kita pemikiran Tuan berkenaan peluang. Tuan amat memandang penting perkara peluang ini. Kita dapat menterjemahkan perkataan masa dalam ayat-ayat daripada Kolose dan Efesus itu sebagai “tebuslah peluang”. Saya tidak tahu sejauh mana kamu memahami perkataan peluang. Saya selalu tertanya-tanya berapa banyak peluang yang telah saya lepaskan. Dalam banyak perkara, dari segi negatif, kita tidak tahu berapa banyak peluang yang telah kita lepaskan. Banyak hal yang dapat kita lakukan namun kita tidak melakukannya. Banyak orang yang dapat kita selamatkan namun kita tidak menyelamatkan mereka. Di sesetengah kota, kita dapat memulakan perhimpunan tetapi kita tidak memulakannya. Sesetengah dikbang dapat kita peroleh tetapi kita tidak memperoleh mereka. Kita telah kehilangan banyak peluang! Ketika kita berhadapan dengan Tuan pada masa hadapan, kita benar-benar akan menyesal! Kita keliru dan tidak jelas tentang segala-galanya, dan kita tidak tahu berapa banyaknya peluang yang telah kita lepaskan! 

Daripada segala hari yang ditetapkan Tuan untuk kita, mungkin semalam sepatutnya menjadi hari terbesar dalam hidup kita, tetapi kita mungkin melalui hari semalam dengan cara yang biasa sahaja. Inilah ertinya melepaskan peluang. Seseorang yang belajar untuk melayan tidak harus melakukan perkara yang sama seperti yang dilakukannya semalam. Jika dia adalah sama pada hari ini seperti semalam, dia telah membazirkan peluangnya. Jika kita tidak tahu apa yang dilakukan Tuan hari ini atau apa yang akan berlaku hari ini, kita sedang melepaskan peluang. 

Pada masa permulaan di Shanghai, dikbang-dikbang tidak memberi perhatian kepada keperluan untuk sebuah dewan perhimpunan. Akibatnya, kita tidak tahu berapa banyak jiwa yang telah kita hilangkan. Saya ingin berkata kepada dikbang yang ingin menjimatkan wang mereka, “Kamu sememangnya telah menjimatkan wang, tetapi kamu telah kehilangan jiwa manusia!” Kita sepatutnya dapat menyelamatkan lebih banyak jiwa, tetapi disebabkan tidak ada ruang yang cukup untuk mereka, sesetengah orang telah dilepaskan. Kehilangan satu jiwa bererti kehilangan satu peluang. Jiwa kehilangan tatkala kita ingin menjimatkan wang. Sekarang kita berfikir bahawa kita telah menghabiskan segala-gala kita dengan berpindah dari Jalan Hardoon ke Jalan Nanyang. Kita mungkin tidak terfikir bahawa jika kita tidak melepaskan sesetengah peluang di hadapan Tuan, jenis perhimpunan tertentu tidak akan terhasil. Oleh sebab kita telah melepaskan sesetengah peluang, akibatnya sesetengah perhimpunan terhasil. Memang mudah untuk kita bekerja di suatu tempat mengikut tabiat. Setiap Hari Tuan, kita memberitakan sabda; setiap minggu kita mengadakan perhimpunan didik-bina. Kita menyangka sudah cukup untuk kita memperoleh sepuluh atau dua puluh orang seminggu. Kita tidak tahu bahawa Tuan sebenarnya mahu kita memperoleh seribu orang dalam sehari. Disebabkan kelalaian kita, kita kehilangan sembilan ratus orang. Kita membuang dan melepaskan banyak peluang. 

Semasa saya mempertimbangkan seluruh perkara ini, saya berfikir bahawa barangkali Tuan ingin mendapatkan lebih banyak orang di Yangshupu daripada di Jalan Nanyang. Akan tetapi, dapatkah kita merebut peluang? Mungkin Tuan mahu memperoleh lebih banyak orang di Jalan Szechuan Utara daripada di Jalan Nanyang. Dapatkah kita merebut peluang? Mungkin Tuan ingin memperoleh lebih banyak orang di Nanshi daripada di Jalan Nanyang. Dapatkah kita merebut peluang? Seseorang pekerja atau hamba Tuan tidak harus berasa puas hati dengan apa yang dilakukannya setakat ini. Semua yang berpuas hati dengan keadaan sekarang telah melepaskan peluang. Kita tidak tahu hal besar apa yang ingin dilakukan Tuan. Antara 470 juta orang di negara China, hanya terdapat beberapa ratus ribu orang Kristian. Kita tidak sedar berapa banyak peluang yang telah kita lepaskan! Saya percaya bahawa Tuhan telah memberikan peluang yang jauh lebih banyak daripada apa yang boleh kita bayangkan. Jika kita merebut setiap peluang yang diberikan Tuhan kepada kita, perkembangan kerja akan berkadar dengan jangkaan Tuhan. Kerja tidak berkembang sebagaimana yang diingini Tuhan kerana kita telah mengehadkannya. Kita berharap pengehadan ini akan berakhir di sini pada hari ini juga. 

Apabila kita tampil di hadapan Tuan suatu hari nanti, saya berharap agar semua dikbang yang muda akan bersama-sama menyemak kalendar tahun 1930, 1935, atau 1949. Katakan kita akan menjadi orang yang serba tahu seperti Tuan, kita akan melihat bahawa pada 1 Januari 1930, Tuan telah menentukan satu peluang untuk kita pergi ke Jalan Szechuan Utara untuk menyelamatkan dua puluh jiwa. Akan tetapi kita tidak pergi pada hari itu. Sebaliknya kita pergi ke Jalan Nanyang dan melepaskan peluang itu. Kita kehilangan dua puluh jiwa. Mungkin kita akan menyemak 2 Januari. Mungkin pada hari itu Tuan mengingini saya mengadakan perhimpunan injil di Pudong. Dia mungkin hendak memperoleh lima ratus orang dalam enam bulan. Akan tetapi pada hari itu, saya tidak pergi. Saya telah melepaskan peluang itu, dan lima ratus jiwa telah hilang. Pada 3 Januari, Tuan mungkin meletakkan fikiran dalam saya agar saya pergi mencari orang tertentu. Orang itu akan menjadi wadah yang penting di tangan Tuan dalam lima tahun akan datang. Mungkin Tuan ingin menggunakan orang itu untuk menyelamatkan puluhan ribu jiwa, tetapi pada hari itu saya tidak pergi kerana saya takut akan cuaca panas dan saya malas. Saya kehilangan satu peluang dan mengetepikan seorang yang berpotensi untuk menjadi amat berguna bagi Tuan. Hari demi hari, Tuan memberi kita peluang yang tidak terkira dalam kehidupan kita, dan kita telah melepaskan semuanya! 

Mengapakah Bible menterjemahkan masa sebagai peluang? Hal ini kerana “peluang” ialah sesuatu yang hanya ditemui dalam masa. Setiap hari Tuan memberi kita peluang. Hari ini kita dapat menunduk kepala dan berkata kepada Tuan, “Aku tidak tahu peluang apa yang Engkau berikan kepadaku hari ini. Tidak ada sehari yang tidak ada pengaturan-Mu. Setiap hari Engkau telah menentukan sesuatu yang akan berlaku kepadaku.” Orang yang dapat digunakan Tuhan tidak pernah melepaskan peluang yang diberikan-Nya. Tuan mungkin menentukan bahawa kita harus menyewa tempat tertentu pada hari esok. Kita harus menyewa tempat itu. Atau Dia mungkin menentukan bahawa kita membantu seseorang untuk mengatasi masalah tertentu. Kita harus berbuat demikian. Semasa kita habis melakukan satu perkara, satu perkara lagi akan datang. Apabila perkara kedua selesai, perkara ketiga, keempat akan datang. Hal-hal berlaku secara berterusan, dan kita tidak tahu betapa besarnya sesuatu hal itu akan menjadi. Kita boleh menyamakannya dengan membuang batu ke dalam air; riak air terus berkembang dalam bulatan sampai menyentuh tebing. Jika kita setia untuk mengikuti setiap peristiwa, kita tidak akan melepaskan apa-apa peluang, dan kita akan menuai manfaat yang besar. Namun begitu, jika kita melepaskan apa-apa peluang, riak air itu mungkin akan berhenti berkembang disebabkan kita.

Siapakah yang akan sangka bahawa seorang tukang kasut yang tidak berpelajaran akan menjadi Moody pada suatu hari? Jika seseorang telah melepaskan peluang untuk menginjil kepadanya, dunia tidak akan mempunyai Moody. Siapakah yang akan meneka bahawa Filipus akan bertemu dengan sida-sida pada hari dia pergi ke gurun tandus (Kis. 8:26-39)? Seluruh gereja di Afrika bermula disebabkan hari itu. Gereja di Afrika bermula lebih awal daripada gereja di Eropah!

Kita tidak tahu berapa banyak peluang yang telah kita lepaskan. Apabila kita bangun awal pagi, kadang-kadang kita berasa seolah-olah semuanya cahaya (mungkin kerana cahaya matahari). Pada masa lain kita mungkin berasa seolah-olah semuanya gelap (mungkin kerana memikirkan masa depan kita). Kita tidak tahu apa yang akan berlaku kepada kita. Saya meminta kamu agar meneroka setiap peluang yang diberikan Tuhan kepada kamu setiap hari. Kita berharap kita dapat meneroka peluang-peluang hari ini dan bukannya diperingatkan tentangnya pada masa hadapan. Hari ini ialah 19 Julai 1950. Hari ini Tuan telah meletakkan peluang tertentu di hadapan saya, dan saya dapat melihat semuanya hari ini. Menebus masa bererti melihat apa yang diaturkan Tuan untuk kita. Jika kita tidak melepaskan peluang, Tuan akan mendapat keuntungan yang besar, dan kerja akan bertambah maju.

Jika kita tidak mahu melepaskan peluang, kita memerlukan latihan rohani. Kita juga memerlukan kepekaan rohani. Jika kita peka dari segi rohani, kita akan mengesan peluang. Dengan latihan rohani, kita dapat mengecam peluang ketika ia datang. Kita tidak boleh membenarkan peluang berlalu begitu sahaja. Kita tidak harus buta terhadap apa-apa arahan daripada Kepala. Kita tidak harus kebas sedangkan Kepala mempunyai perasaan. Kita harus bersikap terdesak untuk ini. Kita harus merebut apa-apa sahaja peluang yang kita ada. Jika kita tidak mempunyai latihan dan perasaan sebegini, kita akan melepaskan peluang-peluang yang diaturkan Tuan. Hari demi hari, kita akan menjadi orang yang melepaskan peluang.

Pada suatu hari, kita akan berhadapan dengan Tuan. Mungkin kita akan menyesali hal-hal dalam kehidupan kita yang memberi kita kepuasan buat masa sekarang. Kita telah terbelakang daripada kehendak Tuhan. Kita tidaklah setia. Kita telah bertindak secara bodoh. Tuan mungkin meletakkan sepuluh peluang di hadapan kita, tetapi kita tidak menyentuh bahkan satu pun. Celakalah kita apabila kita berdiri di hadapan tempat penghakiman nanti! Kita tidak sedar berapa banyak peluang yang telah kita lepaskan. Celakalah kita kerana kita telah bertindak menurut tabiat dan telah melepaskan banyak peluang yang diberikan Tuhan kepada kita!

Kita membuat kesilapan yang teruk dan mendatangkan kerugian besar kepada gereja jika kita mengebumikan orang yang bertalenta satu kerana berfikir bahawa mereka tidak berguna dan tidak layak melayan, serta tidak memberi mereka peluang untuk berhasil. Kita harus mengeluarkan modal sebelum kita berpeluang untuk mengaut keuntungan. Jika kita mengebumikan orang yang bertalenta satu, kita tidak memberi peluang untuk berian-berian rohani digunakan dan kita memberhentikan fungsi mereka. Kita tidak akan dapat merebut peluang. Inilah yang dipanggil menggali lubang untuk mengebumikan emas kita. Tindakan ini kebodohan. Saya tidak tahu berapa banyak peluang yang telah kita lepaskan disebabkan ini.

(...bersambung)

Merebut Peluang—Catatan Bicara Dengan Rakan Sekerja (Samb.)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)