Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Hayat Amalan Hayat Menyeru Nama Tuan Menyeru Nama Tuan (1)
Menyeru Nama Tuan – Rahsia Kenikmatan Kita terhadap Tuan
Menyeru Nama Tuan (1)
2016-08-17 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Dalam Roma 10:8-10, 12-13 Paulus berkata, “…‘Sabda itu dekat denganmu, dalam mulutmu dan dalam hatimu,’…jika kamu mengaku dengan mulutmu Yesus sebagai Tuan dan percaya dalam hatimu…kamu akan diselamatkan;…Tuan…kaya kepada semua yang menyeru-Nya; kerana ‘barang siapa yang menyeru nama Tuan akan diselamatkan’.” Di manakah Kristus sekarang? Kristus tidak jauh daripada kamu. Paulus mengatakan bahawa Dia berada dalam mulut kamu (ay. 8). Banyak orang mengatakan bahawa kita perlu percaya kepada Tuan Yesus dalam hati kita. Ini memang benar tetapi kita juga perlu menggunakan mulut kita. Roma 10 mengatakan bahawa kamu perlu mengaku, “Tuan Yesus,” dengan mulut kamu (ay. 9). Kamu tidak harus hanya menggunakan hati kamu; kamu juga perlu menggunakan mulut kamu.

Kebanyakan daripada kamu tidak pernah menggunakan mulut kamu. Kamu mungkin mengatakan bahawa kamu telah banyak berdoa, tetapi pernahkah kamu melaung, menyeru Yesus dengan mulut kamu? Gunakan mulut kamu, bukan sekadar berdoa kepada Tuan Yesus, tetapi juga mengaku Tuan Yesus, yakni menyeru nama-Nya. Kamu perlu menggunakan mulut kamu untuk menyeru nama Tuan Yesus. Roma 10 bukan mengatakan bahawa Tuan kaya kepada semua yang percaya kepada-Nya, menyembah-Nya, merenungi-Nya, atau berdoa kepada-Nya. Ayat ini mengatakan bahawa Tuan kaya kepada semua yang menyeru-Nya (ay. 12). Pernahkah kamu menyeru Tuan? Apa yang saya kongsi dengan kamu ini ialah sesuatu yang telah hilang dalam Kristianiti. Banyak orang akan memberitahu kamu bahawa kamu perlu percaya kepada Tuan Yesus. Kemudian kamu perlu mengaku kegagalan dan dosa-dosa kamu kepada Tuan dan banyak berdoa. Akan tetapi, dalam Kristianiti hari ini, perkara menyeru nama Tuan telah diabaikan dan masih diabaikan.

Saya ingin menggambarkan perbezaan antara berseru dengan berdoa. Jika rumah saya terbakar, saya mungkin datang kepada seseorang dan berkata, “Encik, rumah saya sedang terbakar, tetapi kami kekurangan air. Sila datang untuk tolong kami.” Inilah gambaran bagi doa yang berkata, “Tuan Yesus, aku seorang pendosa. Engkau Penebus aku. Aku memerlukan-Mu.” Akan tetapi, orang yang rumahnya terbakar juga mungkin menjerit, “Kebakaran! Kebakaran!” Inilah maksud menyeru nama Tuan—“O Tuan Yesus! Tuan Yesus!”

Jika kita berseru kepada seorang yang benar, nyata, dan hidup, dia akan datang kepada kita. Hari ini, adakah Yesus benar? Adakah Yesus hidup? Sudah pasti ya. Apabila kita menyeru, “O Tuan Yesus,” Dia masuk ke dalam kita dengan membawa bersama segala kekayaan-Nya. Tuan itu kaya kepada semua yang menyeru-Nya. Sesiapa yang menyeru nama-Nya akan diselamatkan (Roma 10:12-13). Jangan beranggapan bahawa diselamatkan ialah perkara yang sebegitu mudah. Apabila kita percaya kepada Tuan Yesus, kita telah diselamatkan; namun sepanjang kehidupan Kristian, kita juga perlu diselamatkan. Diselamatkan bukan sekadar diselamatkan daripada neraka, daripada penghakiman kekal Tuhan. Itu terlalu negatif. Diselamatkan bererti menikmati segala kekayaan Kristus. Kristus begitu kaya. Dia ialah segala-gala kepada kita. Kita dapat menikmati segala kekayaan Kristus dengan menyeru nama-Nya—“O Tuan Yesus.” Jika kamu membuka mulut dan menyeru, “Tuan Yesus,” Dia akan masuk ke dalam kamu.

Cara menerima Tuan masuk ialah menyeru nama-Nya. Jangan beranggapan bahawa perkara ini perkara yang kecil atau sesuatu yang kita reka. Perkara ini ialah perkara kuno yang telah hilang dan diabaikan oleh Kristianiti hari ini. Melalui rahmat Tuan, Dia telah memulihkan hal ini pada kita.

Kidung #T16

Dengan girang timbalah air
Di sumur penyelamatan
Hari itu katalah,
Puji Tuan.

(Ulang empat baris di atas)
Seru nama-Nya, b’ritakan kerja-Nya pada bangsa,
Junjungi dan masyhurkan nama-Nya.
Sorak-sorai! Wahai penduduk di Zion:
Ker’na agungnya Sang Kudus Israel di kalangan mu.

Menyeru Nama Tuan – Rahsia Kenikmatan Kita terhadap Tuan
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)