Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kidung Menyanyi Kidung
Menghayati Kidung 311 & 77
Menyanyi Kidung
2016-08-17 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Bible: Mzm. 104:33; Ef. 5:19, Mat. 26:30; Kis. 16:25

Selepas seseorang percaya kepada Tuan, dia harus belajar menyanyi kidung. Ini kerana menyanyi kidung ialah sifat yang menonjol bagi seorang Kristian. Kita sebagai orang Kristian ialah orang yang menyanyi. Efesus 5:19 berkata, “Berbicara kepada satu sama lain dengan mazmur, kidung, dan nyanyian rohani, bernyanyi dan bermazmur dengan hatimu kepada Tuan.” Apabila kita dipenuhi Tuhan dalam roh, secara spontan kita bernyanyi dan bermazmur dengan hati kita, berbicara kepada satu sama lain dan memuji Tuan.

Kidung merupakan luahan perasaan manusia yang paling halus. Sentimen doa seseorang di hadapan Tuhan tidak sehalus dan selembut sentimen nyanyian kidungnya di hadapan Tuhan. Tuhan menghendaki kita mempunyai perasaan yang halus dan lembut. Oleh itu, Tuhan memberi kita pelbagai jenis mazmur dalam Bible. Selain daripada buku Mazmur, Kidung Agung, dan Ratapan, terdapat juga mazmur dalam sejarah dan perintah (Kel. 15:1-18, Ul. 32:1-43). Malah dalam surat-surat Paulus juga terselit mazmur dalam ajaran-ajarannya (Roma 11:33-36, 1 Tim. 3:16). Contoh-contoh ini menunjukkan kepada kita bahawa Tuhan mengingini umat-Nya mempunyai perasaan yang halus dan lembut.

Tuhan ingin memimpin anak-anak-Nya menjalani kehidupan yang mempunyai perasaan yang semakin lama semakin halus, lembut, dan menyerupai kidung. Semakin banyak seseorang itu belajar di hadapan Tuhan, semakin perasaannya menjadi halus, lembut, dan menyerupai kidung. Semakin kurang seseorang itu belajar di hadapan Tuhan, semakin perasaannya menjadi kasar dan tidak menyerupai kidung. Jika seorang Kristian berjalan secara kasar dalam perhimpunan dan tidak mengendahkan perasaan orang lain, maka dia tidak seperti seorang Kristian yang sudi belajar di hadapan Tuhan. Walaupun dia menyanyi kidung dalam perhimpunan, tetapi suaranya tidak menyerupai kidung. Jika seseorang berjalan masuk ke dalam perhimpunan dan melanggar orang lain di setiap tempat, malah menjatuhkan kerusi, maka dia tidak seperti seorang yang menyanyi kidung. Kita harus menyedari bahawa sejak kita diselamatkan, Tuhan ingin melatih perasaan kita hari demi hari sehingga menjadi halus dan lembut. Untuk menjadi seorang Kristian yang baik, seseorang perlu mempunyai perasaan yang halus dan lembut. Perasaan paling dalam yang mengalir dari batin manusia di hadapan Tuhan adalah perasaan yang diluahkan dalam kidung. Tuhan menuntut anak-anak-Nya supaya mempunyai perasaan yang halus dan lembut. Kita tidak mahu perasaan yang kasar. Perasaan kasar bukanlah kidung; perasaan kasar bukan kepunyaan orang Kristian.

Sekarang mari kita lihat kidung berikut:

Kidung, #110

  1. Dengar! Ribuan suara puji
        Domba Tuhan sehati;
    Laksaan seg’ra membalas,
        Memuji-Nya bersama.
  2. S’mua di syurga himpun sama,
        Puji Domba sesuara;
    Ribuan mulut kuat memuji,
        Nyanyi lagu abadi.
  3. Wangi syukur bak ukupan,
        Naik takhta Tuhan Bapa;
    Ribuan lutut sembah Yesus,
        S’mua di syurga seminda.
  4. S’mua hikmat Bapa isytihar
        Anak sama dijunjung;
    Segala semarak Anak
        Nyatakan mulia Bapa.
  5. Roh Kudus tembus segala,
        Kaum syurga tak terbilang,
    Kelilingi Domba mulia,
        Memuji Dia “AKULAH”.
  6. Ciptaan baru nan puas,
        Damai, riang, teguh, bebas;
    Dek berkat penyelamatan,
        Ku kekal bebas, riang.
  7. Dengar! Syurga riuh kembali!
        Kidung puji menggema;
    Alam s’mesta penuh “Amen”!
        “Amen” ker’na kurnia-Nya.

Kidung ini ditulis oleh J. N. Darby. Kidung ini kelihatan seperti dinyanyikan kepada orang, tetapi sebenarnya dinyanyikan kepada Tuhan. Apabila kita menyanyikannya, secara spontan kita berasa bahawa kidung ini seolah-olah menyebut tentang suasana dalam Wahi 4 dan 5, iaitu pemandangan dalam alam semesta selepas kenaikan Tuan ke syurga. Di sini terdapat Golgota, kebangkitan, dan kenaikan ke syurga. Syurga dipenuhi dengan kemuliaan, dan demi nama Yesus, ribuan mulut mula memuji dan ribuan lutut mula sembah sujud. Di syurga, di bumi, dan di bawah bumi, pujian berkumandang dari semua arah. Seluruh alam semesta menyanyikan pujian kepada-Nya. Sungguh megah dan agung hingga tidak terkata!

Kidung memupuk perasaan rohani yang halus dan lembut dalam seorang Kristian. Diharapkan agar kita dapat datang ke hadapan Tuhan dengan cara yang lembut dan halus, supaya kita mempunyai persekutuan yang lebih intim dengan Tuhan. Kita bersyukur kepada Tuhan bahawa dalam keabadian semua perasaan kita akan menjadi halus dan lembut. Kita mengetahui bahawa pujian di syurga lebih banyak daripada doa di bumi. Doa akan berlalu, tetapi pujian akan memenuhi alam semesta dalam keabadian. Pada hari itu, semua perasaan kita akan menjadi halus dan lembut. Hari itu adalah hari yang paling manis dan gembira.

Menghayati Kidung 311 & 77
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)