Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian MENJAGA KEHIDUPAN YANG JAYENG
PERSEMBAHAN DIRI (Bahagian 2/2)
GODAAN, KEGAGALAN, DAN KEMAJUAN DALAM KEHIDUPAN YANG JAYENG (Bahagian 1/2)
MENJAGA KEHIDUPAN YANG JAYENG
2020-07-01 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (64)

Nota Editor:

“Tuan ialah Dia yang dari permulaan hingga pengakhiran. Dialah permulaan segala-gala dan juga pengakhiran segala-gala. Dia ialah permulaan hayat yang jayeng, dan juga pelengkapan hayat yang jayeng. Oleh itu, hayat yang jayeng bertahan lama. Ada orang pernah bertanya, ‘Apa itu jayeng?’ Saya menjawab, ‘Jayeng bersamaan dengan Kristus.’...Semua pengalaman kita berpusat pada Kristus. Kita mengalami kemenangan menerusi iktikad dalam Kristus. Namun, iktikad ialah Kristus sendiri dan langsung tidak berkaitan dengan kita. Kita hanya perlu memuji dan bergirang. Asalkan Kristus yang memulakan kerja, Dia akan melengkapkannya.”

“Dalam Mazmur 17:8, pemazmur berdoa, ‘Jagalah aku seperti biji mata-Mu; / Dalam bayangan sayap-sayap-Mu, sembunyikanlah aku.’ Kita semua boleh mengungkapkan doa sebegini. Tuan berupaya dan Dia juga sudi menjaga kita seperti menjaga biji mata-Nya.”

“Kita harus percaya bahawa Dia sememangnya berupaya menjaga kita. Mata kita harus menatap Tuan, bukan melihat pengalaman sendiri. Yang boleh dipercayai ialah kudrat Tuan, sabda Tuan, dan kasih Tuan; pengalaman sendiri tidak boleh diyakini. ‘Kerana aku tahu siapa yang aku percayai, dan aku yakin bahawa Dia berupaya menjaga amanatku hingga hari itu’ (2 Tim. 1:12).”

MENJAGA KEHIDUPAN YANG JAYENG

Tarikh: 17 November 1935, malam
Tempat: Chuenchow

(CWWN, SET 2, JIL 21, BAB 14)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

2. Tim. 1:12 “Atas sebab ini juga aku menderitai hal-hal ini; tetapi aku tidak malu, kerana aku tahu siapa yang aku percayai, dan aku yakin bahawa Dia berupaya menjaga amanatku hingga hari itu.”

Flp. 1:6 “Aku yakin akan hal ini, bahawa Dia yang telah memulakan kerja baik dalam kamu, akan melengkapkannya hingga hari Kristus Yesus”

Mzm. 17:8 “Jagalah aku seperti biji mata-Mu; / Dalam bayangan sayap-sayap-Mu, sembunyikanlah aku”

Yud. 24-25 “Tetapi kepada Dia yang berupaya menjaga kamu daripada tersandung dan menempatkan kamu di hadapan kemuliaan-Nya tanpa cacat cela dalam sorak riang, Kepada satu-satunya Tuhan Penyelamat kita menerusi Yesus Kristus, Tuan kita, diberi kemuliaan, kemahabesaran, keperkasaan, dan kuasa sebelum segala zaman dan kini dan hingga segala keabadian. Amen.”

TUAN YANG TELAH MEMULAKAN KERJA BAIK AKAN MELENGKAPKANNYA

Kerja yang jayeng dimulakan oleh Tuan (Flp. 1:6). Sebenarnya, permulaan, penerusan, dan pelengkapan hayat yang jayeng dilakukan oleh Tuan sendiri. Kamu dan saya tidak ada kena-mengena dengannya. Nama Tuan ialah Alfa dan Omega (Wahi 1:8). Alfa merujuk kepada permulaan, manakala Omega merujuk kepada pengakhiran. Tuan ialah Dia yang dari permulaan hingga pengakhiran. Dialah permulaan segala-gala dan juga pengakhiran segala-gala. Dia ialah permulaan hayat yang jayeng, dan juga pelengkapan hayat yang jayeng. Oleh itu, hayat yang jayeng bertahan lama. Ada orang pernah bertanya, “Apa itu jayeng?” Saya menjawab, “Jayeng bersamaan dengan Kristus.” Biar saya bertanya, “Adakah Kristus bertahan lama? Sudah tentu Kristus bertahan lama. Dia ialah Yang kekal sama dari permulaan hingga pengakhiran. Segala-galanya akan berlalu, tetapi Tuan akan kekal selama-lamanya. Petang ini kita harus mengisytiharkan bahawa pengalaman kita ialah Kristus sendiri. Dia telah menyempurnakan segala-galanya. Semua pengalaman kita berpusat pada Kristus. Kita mengalami kemenangan menerusi iktikad dalam Kristus. Namun, iktikad ialah Kristus sendiri dan langsung tidak berkaitan dengan kita. Kita hanya perlu memuji dan bergirang. Asalkan Kristus yang memulakan kerja, Dia akan melengkapkannya.

TUHAN BERUPAYA MENJAGA KITA DARIPADA TERSANDUNG

Yudas 24 berbicara tentang Tuhan berupaya menjaga kita daripada tersandung. Bagaimanakah Dia menjaga kita? Yudas bukan berkata bahawa Tuhan menjaga kita dengan membangunkan kita semula selepas kita jatuh. Ia juga tidak berkata bahawa Tuhan menjaga kita agar tidak jatuh buat selama-lamanya. Sabda itu mengatakan bahawa Tuhan menjaga kita daripada tersandung. Jatuh dan tersandung berbeza; jatuh bermaksud tergelincir. Jika seorang Kristian dapat bergerak-hidup di jalan lurus selama tiga tahun tanpa tergelincir, dia orang Kristian yang cemerlang. Akan tetapi, ayat ini mengatakan bahawa kita malah tidak akan tersandung. Tuan akan menjaga kita daripada tersandung, bukan sekadar tiga atau lima tahun, bahkan buat selama-lamanya. Tuan akan menjaga kita agar kita tidak tersandung buat selama-lamanya. Namun begitu kita tidak boleh mempercayai atau melihat diri sendiri. Jika kita melihat diri, kita akan jatuh pada keesokan hari. Mata kita harus menatap Tuan dan melihat-Nya semata-mata, serta mempercayai bahawa Dia berupaya menjaga kita daripada tersandung. 

TUAN MENJAGA KITA SEPERTI BIJI MATA-NYA

Bagaimanakah Tuan menjaga kita? Bahagian luaran tubuh manusia yang paling lemah ialah biji mata. Bagaimanakah kelopak mata melindungi biji mata? Apabila ada benda mendekati mata, kamu tidak perlu mengarahkan kelopak mata, kelopak mata akan pejam dengan sendiri. Apabila debu ditiup ke mata, dengan serta-merta kelopak mata mengatup untuk menghalang debu masuk ke dalam biji mata. Satu Korintus 15:52 berkata “dalam sekelip mata”; beginilah jagaan Tuhan. Perlindungan-Nya berlaku dalam sesaat, dalam sekelip mata, bahkan pada bila-bila masa, sebagaimana manusia menjaga biji matanya. Sebelum Tuan disalibkan, Petrus berkata kepada-Nya, “Tuan, selamatkan aku!” (Mat. 14:30); tetapi selepas Tuan disalibkan, dia tidak lagi berseru kepada Tuan untuk menyelamatkannya kerana selepas mati dan bangkit, Tuan tinggal dalam Petrus. Sebaik sahaja godaan datang, Tuan sedia memeliharanya.

Dalam Mazmur 17:8, pemazmur berdoa, “Jagalah aku seperti biji mata-Mu; / Dalam bayangan sayap-sayap-Mu, sembunyikanlah aku.” Kita semua boleh mengungkapkan doa sebegini. Tuan berupaya dan Dia juga sudi menjaga kita seperti menjaga biji mata-Nya. Banyak orang salah sangka bahawa kemenangan ialah kurnia Tuan manakala memelihara kemenangan ialah kerja kita sendiri. Sila ingat: Sebagaimana kemenangan ialah hal Tuan dan bukan hal kita, begitu juga menjaga kemenangan ialah hal Tuan dan bukan hal kita. 

SYARAT UNTUK MENERIMA JAGAAN TUAN

Menyerahkan Diri

Apakah syarat untuk kita menerima jagaan Tuan? Terdapat dua syarat. Pertama, kita harus menyerahkan diri ke dalam tangan Tuan. Dua Timotius 1:12 berkata, Tuan “berupaya menjaga amanatku hingga hari itu”. Tuan ingin menjaga kita, namun kita harus menyerahkan diri ke dalam tangan-Nya. Setakat mana kita menyerah, setakat itulah Dia menjaga; jika kita tidak menyerah ke dalam tangan-Nya, nescaya Dia tidak dapat menjaga kita. Banyak orang yang membaca Bible mengetahui Tuan mempunyai kurnia jagaan, namun mereka tidak dapat menerapkan janji ini. Hal ini kerana mereka belum menyerahkan diri kepada Tuan. Banyak orang telah lama mengetahui Yudas 24-25 dan Filipi 1:6, namun mereka tidak mempercayai bahawa kata-kata ini adalah benar. Mereka menganggap sudah cukup baik selagi mampu bangkit semula selepas jatuh. Mereka belum menyerahkan diri ke dalam tangan Tuan agar Tuan menjaga mereka daripada tersandung. Dengan demikian, mereka tidak dapat mengalami jagaan Tuan. Untuk mengalami jagaan Tuan, kita harus berkata kepada-Nya, “O Tuan, aku menyerahkan diriku ke dalam jagaan-Mu. Aku mempercayai kudrat jagaan-Mu.” Pernah sekali seorang dikkak meminta bantuan saya untuk menyewa sebuah peti simpanan di bank dengan bayaran enam dolar. Namun jagaan Tuan tidak mengenakan sebarang bayaran. Kita hanya perlu menyerahkan diri kepada-Nya.

Percaya

Kedua, kita harus percaya kepada kudrat jagaan Tuan. Satu Petrus 1:5 berkata, kita dilindungi oleh kudrat Tuhan “menerusi iktikad”. Untuk dilindungi Tuan, selain menyerahkan diri kepada-Nya, kita juga harus mempercayai kudrat jagaan Tuhan. Andaikan saya mengamanatkan Dikbang Luk untuk membawa wang kepada seseorang. Saya harus percaya bahawa Dikbang Luk mempunyai keupayaan untuk menjaga wang yang saya serahkan kepadanya. Jika saya benar-benar mempercayainya dan menyerahkan wang kepadanya, saya tidak perlu kerap kali bertanya kepadanya, “Adakah wang saya masih ada? Adakah wang saya masih di tangan kamu?” Selepas kita menyerahkan kepada Tuhan, kita tidak harus menyoal-Nya secara berulang kali apa yang akan dilakukan-Nya. Masakan Tuhan yang mencipta langit dan bumi tidak berupaya melindungi kita? Sabda Tuhan berupaya mendukung segala sesuatu, masakan Tuhan tidak mampu mendukung kita? Adakah Tuhan melindungi kita seperti dua tangan yang melindungi sekeping kertas buruk? Tidak! Dia mengawal kita seperti biji mata-Nya (Ul. 32:10). Sebagaimana jari tangan digabungkan kepada tubuh, Tuhan juga menggabungkan kita kepada-Nya, bahkan mengkonstitusikan kita menjadi anggota-anggota Kristus melalui hayat-Nya. Kita harus percaya bahawa Dia sememangnya berupaya menjaga kita. Mata kita harus menatap Tuan, bukan melihat pengalaman sendiri. Yang boleh dipercayai ialah kudrat Tuan, sabda Tuan, dan kasih Tuan; pengalaman sendiri tidak boleh diyakini. “Kerana aku tahu siapa yang aku percayai, dan aku yakin bahawa Dia berupaya menjaga amanatku hingga hari itu” (2 Tim. 1:12).

PERSEMBAHAN DIRI (Bahagian 2/2)
GODAAN, KEGAGALAN, DAN KEMAJUAN DALAM KEHIDUPAN YANG JAYENG (Bahagian 1/2)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)