Kita bukan sahaja harus mencari peluang untuk mengasihi Tuan, kita harus juga mencari peluang untuk berbuat baik. Dikbang dan dikkak sekalian, apa yang kamu fikirkan tentang maksud berbuat baik? Apakah keihsanan dan kebaikan yang terbaik? Saya berfikir maksud yang terbaik terdapat dalam 1 Korintus 13:4-7. Ada satu Bible versi Inggeris yang menterjemahkan beberapa ayat ini dengan cara yang khusus dengan makna yang khusus. Hari ini biar saya membacakan terjemahan ini kepada kamu:
“Kasih itu amat bersabar, amat ihsan. Kasih tidak kenal cemburu; kasih tidak menunjuk-nunjuk, tidak membiarkan diri berlagak, tidak pernah biadab, tidak pernah menjaga kepentingan sendiri, tidak pernah diberangsangkan, tidak pernah berasa geram; kasih itu tidak pernah gembira kerana orang lain melakukan kesilapan, kasih itu digirangkan oleh kebaikan, tidak terburu-buru mendedahkan orang, sentiasa berharap untuk mempercayai yang terbaik, sentiasa menaruh harapan, sentiasa bersabar” (daripada Wasiat Baru, terjemahan baru oleh James Moffatt).
Petikan ini amat bermakna. Apabila melihat orang lain melakukan kesilapan, kita berasa gembira; itu memang kelemahan kita. “Menutupi” dalam “menutupi segala sesuatu” ialah perkataan yang sama bagi “bumbung” dalam Markus 2:4 dalam teks asal. Menutupi bermakna tidak mengopak bumbung orang lain. Mengopak bumbung bererti mendedahkan hal ehwal orang lain. Kasih bukan begitu. Kasih sentiasa mengharapkan kebaikan orang lain. Kasih sentiasa percaya kepada aspek-aspek baik orang lain. Kelemahan kita ialah berfikir bahawa orang lain tidak begitu baik. Bagaimanakah Paulus memuji Filemon? “Kerana mendengar tentang kasihmu dan iktikad yang kamu ada terhadap Tuan Yesus dan kepada semua pekudus” (Flm. 5). Filemon bukan sahaja mempunyai iktikad dalam Tuan; dia juga mempunyai iktikad dalam semua pekudus. Inilah apa yang kita perlukan. Kita harus dengan sungguh-sungguh percaya kepada kebaikan orang lain.
Kita telah membaca Galatia 6:10. Ayat ini memberitahu kita bahawa apabila kita ada peluang, hendaklah kita berbuat baik. Hari ini, apa yang dituntut Tuhan daripada kita ialah kita berbuat baik ketika ada peluang. Berkenaan berbuat baik, saya perlu menyebut beberapa butir.
Pertama, saya perlu berbicara tentang mengampuni orang lain. Kita harus sedar bahawa Tuhan memberi kita peluang untuk mengampuni orang lain. Peluang mengampuni orang lain ini akan berlalu. Mungkin dalam sekelip mata kamu akan mati atau dia akan mati. Dikbang dan dikkak sekalian, saya tidak tahu ada sesiapa dalam kalangan kita hari ini yang tidak rela mengampuni orang lain. Jika ada, ampunilah sekarang. Jika kamu menunggu lagi, peluang mungkin akan terlepas.
Ada sepasang suami isteri negara Barat yang bergaduh di rumah. Kemudian ketika suami itu melihat masa untuk pergi bekerja sudah tiba, maka dia memegang tangan isterinya untuk mengucapkan selamat tinggal kepadanya, mengucupnya, dan meminta ampun daripadanya sebelum beredar. Namun isterinya tidak mempedulikannya dan tidak rela mengampuninya. Pada waktu tengah hari, tiba-tiba polis membawa suaminya pulang; suaminya sudah mati berlumuran darah. Ketika isterinya melihat keadaan ini, dia berkata, “O Tuhan! Sekiranya aku tahu dia akan pulang dengan sebegini, aku pasti tidak akan membiarkan dia beredar seperti tadi! Oh, peluang sudah terlepas!” Dikbang dan dikkak sekalian, apabila kamu sedar bahawa peluang akan berlalu, sanggupkah kamu tidak mencari peluang untuk mengampuni orang lain? (The Collected Works of Watchman Nee, set 1, jil. 17: Notes on Scriptural Messages (1), No. Terbitan 13, Redeeming the Time)