Kidung #290
Tuan Yesus, ku rindu hidup depan-Mu
Selepas kita diselamatkan, Tuan masuk ke dalam roh kita untuk bersama dengan kita. Akan tetapi, dalam pengalaman kita yang sebenar, seolah-olah kadang-kadang kita telah kehilangan hadirat Tuan. Banyak hal akan mengganggu kita, sehingga kita terputus persekutuan dengan Tuan. Oleh itu kita akan meluahkan keinginan kita dan berdoa, “Tuan Yesus, kurindu hidup depan-Mu, siang malam Kau saja alam nikmatku.” Hidup depan Tuan bukan hanya bermaksud membawa semua hal ke hadapan-Nya, tetapi juga bermaksud hidup mengikut maksud dan kehendak Tuan, iaitu menurut petunjuk mata dan air muka-Nya.
Jangan biar hati ku girang berlipur
Betapa senangnya kita diganggu oleh hal-hal di luar Tuan dan tersimpang daripada-Nya. Kita mungkin berusaha malah berjaya memperoleh banyak hal, misalnya harta kekayaan, kepuasan mental, dan keseronokan duniawi. Akan tetapi, jikalau kita tidak dipuaskan oleh Tuan, kita akan mengulangi pengalaman Raja Salomo, yang mengeluh, “Kesia-siaan atas segala kesia-siaan; segala-galanya ialah kesia-siaan” (Pengkhutbah 1:2). Semasa mencari perkenan Tuan dalam zaman ini, kita akan menderita sengsara; kita perlu menyangkal diri, memikul salib dan kehilangan hayat-sukma kita (Matius 16:24-25). Itulah sebabnya penulis kidung memohon Tuan agar menenangkan hatinya dan menyeka air matanya.
Di malam sunyi, menjelang tiap fajar
Selepas sibuk sehari suntuk, ketika kita bersendiri di malam sunyi sepi, yang kita hargai dan perlukan masihlah persona Tuan sendiri. Dialah yang paling tersayang antara segala. Begitu juga pada waktu pagi. Sebelum kita menghubungi siapa-siapa, menguruskan apa-apa hal, kita perlu memulakan satu hari yang baru dengan menghubungi Tuan. Tuan perlu menjadi permulaan dan pengakhiran kita setiap hari.
Tiap kali ku baca Sabda kudus-Mu
Bible, Sabda kudus, merupakan makanan rohani orang Kristian; ia dapat mengkhasiati kita dan memberi kita kekuatan untuk hidup. Doa penulis kidung di sini sangat bagus. Dia memohon untuk disinari, bukan kerana menghendaki pengetahuan Bible, tetapi ingin nampak Penyelamat agung. Semasa kita membaca Sabda Tuhan, kita datang dengan tujuan menghubungi Sabda yang hidup, iaitu Tuan Yesus sendiri.
Tiada sandar, depan takhta ku sujud
Selain membaca Bible, satu lagi amalan rohani yang sangat penting ialah datang ke depan takhta untuk berdoa. Berdoa adalah untuk menghubungi Tuhan, menyerap Tuhan, dan menikmati hadirat-Nya. Betapa manisnya di sini penulis kidung tidak begitu mementingkan doanya terjawab atau permohonan terkabul. “Jika ku salah, doa Kau tak makbul, janganlah menyimpan hadrat, wajah-Mu.” Yang paling penting ialah hadrat dan wajah Tuan!
Tatkala terkenang berkat syurgawi
Semua orang yang benar-benar merindukan hadirat Tuan, bukan sahaja menghasratkan persekutuan yang mesra dengan-Nya pada zaman ini, tetapi juga mengharapkan perkembalian-Nya supaya mereka dapat bersemuka dengan Tuan. Harapan kita adalah untuk diraptur ke dalam hadirat-Nya. Oleh itu hari ini, kita perlu diajar, dilatih, untuk hidup secara berterusan di hadapan Tuan, sehinggakan siang malam Dia sahaja menjadi alam nikmat kita.