Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Hayat Pengetahuan & Pengalaman Hayat Kehidupan yang Cetek Tidak Berakar
Menjadi Pencinta Yesus yang Gila
Pohon Hayat—Menghasilkan Hayat yang Bergantung pada Tuhan
Kehidupan yang Cetek Tidak Berakar
2017-02-24 | 1 Komen
A- A+ Simpan

Matius 13:3-6
Lihatlah, penyemai keluar menyemai. Ketika dia menyemai, sesetengah benih…jatuh di tempat-tempat berbatu yang tidak banyak tanah, dan dengan segera benih-benih itu bercambah kerana tanahnya tidak dalam. Tetapi apabila terbitnya matahari, tunas-tunas itu lecuh, dan disebabkan tidak berakar, semuanya layu.

Matius 13:20-21
Yang disemai di tempat-tempat berbatu, inilah dia yang mendengar sabda dan segera menerimanya dengan riang, namun dia tidak berakar dalam dirinya, tetapi tahan sementara sahaja; apabila terjadinya kesengsaraan atau penindasan kerana sabda, dengan segera dia tersandung.

Dalam ayat-ayat di atas, tempat-tempat berbatu yang tidak banyak tanah melambangkan hati yang cetek semasa menerima sabda Tuhan. Jauh dalam hati sedemikian ialah batu-batan, iaitu dosa-dosa yang tersembunyi, hasrat peribadi, kepentingan diri, dan kasihan terhadap diri yang menghalang benih daripada berakar dalam lubuk hati.

Matahari dengan panas terik pula melambangkan kesengsaraan atau penindasan. Panas terik daripada matahari menyebabkan benih yang tidak berakar itu layu. Panas matahari adalah untuk pertumbuhan dan kematangan tanaman. Ini hanya boleh berlaku selepas benih itu berakar dengan dalam. Akan tetapi, disebabkan benih itu kurang berakar, maka panas matahari yang seharusnya membolehkan tanaman itu bertumbuh dan matang akhirnya menjadi pukulan maut kepada benih itu.

Sepohon pokok mempunyai bahagian yang dapat dilihat dan juga bahagian yang tersembunyi. Bahagian yang tampak ialah batangnya, manakala bahagian di bawah yang tidak tampak ialah akarnya. Bahagian yang kelihatan ialah dahan-dahan; bahagian yang tidak kelihatan ialah akar. Akar itu tersembunyi di dalam tanah. Maka akar merujuk kepada kehidupan yang tersembunyi. Seorang Kristian yang tidak mempunyai akar di hadapan Tuan tentunya mempunyai hayat yang kering. Sekiranya seseorang Kristian tidak mempunyai kehidupan yang tersembunyi tetapi melakukan segala-gala sekadar di hadapan orang, dan tidak mempunyai sesuatu yang istimewa di hadapan Tuan, maka dia pastinya tidak dapat menempuh salib.

Adakah kita mempunyai kehidupan yang tersembunyi di hadapan Tuan, di dalam bilik kita? Jika kita hanya berdoa dalam perhimpunan, jika kita hanya membicarakan Sabda Bible kepada orang, dan jika kita hanya bekerja di hadapan orang, ertinya kita tidak berakar. Akar ialah sesuatu yang tidak dilihat, tersembunyi, rahsia; yang terdedah itu bukannya akar. Sekiranya di hadapan Tuhan, kamu tidak mempunyai kehidupan, doa, pembacaan Bible, dan kepatuhan secara rahsia, ertinya kamu tidak berakar. Maka tidak hairanlah apabila salib menimpa, kamu tidak sanggup memikulnya.

Matius 6:6 berkata, “Tetapi kamu, ketika berdoa, masuklah ke dalam bilik peribadimu, tutup pintu dan berdoalah kepada Bapamu yang tersembunyi, dan Bapamu yang melihat secara tersembunyi akan membalas kamu.” “Tutup pintu” di sini merujuk kepada akar. Tuhan melihat kita. Biarpun kadang-kadang kita tidak mempunyai apa-apa untuk didoakan, namun sikap kita itu sungguh berharga. Ini kerana Tuhan sedang melihat kita, bukan mendengar kita. Sebanyak manakah kita dilihat oleh Tuhan dalam kehidupan? Berapa kerapkah kita hanya dilihat Tuhan tanpa dilihat manusia? Ataupun segala apanya kamu sekadar di hadapan manusia?

Hanya apabila apa yang dimiliki seseorang itu dicuba oleh salib dan dapat bertahan, maka barulah apa yang dimilikinya itu boleh disandari. Semasa kita melalui cubaan, menghadapi penderitaan dan penindasan, satu-satunya perlindungan kita ialah akar kita yang dalam dan kukuh. Sekiranya akar tidak dalam, kita pasti akan gagal. Jika kamu berharap agar tidak tersandung pada hari itu, maka pada hari-hari biasa kamu perlu berakar secara mendalam, iaitu kamu perlu menjalani kehidupan yang tersembunyi di hadapan Tuan dan memperoleh pengalaman yang tersembunyi.

Kidung #T63

Makin dalam, oleh salib Yesus,
Biar ku kian dalam;
Mati, hayat selalu bersama,
Perdalam sungai.
Kian dalam ku doa,
Tiap hari garaplah;
Agar seluruh ku
Dibarui dalam-Mu.

Menjadi Pencinta Yesus yang Gila
Pohon Hayat—Menghasilkan Hayat yang Bergantung pada Tuhan
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)
1 Komen / Perkongsian
Rut pada 2017-03-13
Amen. Kita perlu menjalani kehidupan yang tersembunyi di hadapan Tuan dan memperoleh pengalaman yang tersembunyi. Lebih banyak dilihat oleh Tuhan dalam kehidupan, berakar dalam-Nya.