Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian GODAAN, KEGAGALAN, DAN KEMAJUAN DALAM KEHIDUPAN YANG JAYENG (Bahagian 1/2)
MENJAGA KEHIDUPAN YANG JAYENG
GODAAN, KEGAGALAN, DAN KEMAJUAN DALAM KEHIDUPAN YANG JAYENG (Bahagian 2/2)
GODAAN, KEGAGALAN, DAN KEMAJUAN DALAM KEHIDUPAN YANG JAYENG (Bahagian 1/2)
2020-07-02 | 1 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (65)

Nota Editor:

“Untuk menjalani kehidupan yang jayeng, kita perlu memberi perhatian kepada sikap kita. Kita harus menyingkirkan segala ketakutan melalui iktikad dan membenarkan Tuan mengambil alih segala-galanya...Adakalanya semakin bersungguh-sungguhnya kita berdoa, semakin perbuatan itu menunjukkan bahawa kita tidak mempunyai iktikad. Iktikad bererti menaruh kepercayaan pada sabda Tuan...Seseorang yang mempunyai iktikad itu mempunyai damai sejahtera; dia mempunyai damai sejahtera di dalam dan di luar. Syaitan tidak dapat jayeng atas orang sedemikian. Oleh itu, kemenangan bererti percaya kepada sabda Tuhan dan kudrat-Nya. Sikap kehidupan yang jayeng ialah rehat sepenuhnya menerusi iktikad.”

Terdapat tiga perbezaan antara seseorang yang jayeng dengan seseorang yang belum jayeng dalam soal berbuat dosa. Pertama, sebelum seseorang itu jayeng, berbuat dosa ialah sesuatu yang wajib dan mesti. Seseorang itu tidak ada pilihan selain berbuat dosa. Terdapat satu kuasa dalam dia yang memaksa dia berbuat dosa. Selepas seseorang itu jayeng, situasi sama sekali berlainan. Berbuat dosa adalah secara tidak sengaja, disebabkan alpa atau cuai. Kedua, sebelum seseorang itu jayeng, dia berulang kali melakukan dosa yang sama. Dia mempunyai beberapa dosa peribadi yang khususnya untuk dia sendiri. Dia berulang kali melakukan dosa yang sama...Namun selepas dia jayeng, situasinya menjadi amat berlainan. Dia masih berbuat dosa, namun hanya sekali-sekala. Dosa yang kerap berlaku itu tidak lagi mengganggu dia; dosa-dosa itu hanya memerangkap dia sekali-sekala sahaja. Ketiga, sebelum seseorang itu jayeng, dia susah memulihkan persekutuan yang jelas dengan Tuan selepas berbuat dosa dan dia mengambil masa yang lama untuk memulihkan persekutuan itu. Akan tetapi, selepas dia jayeng, dia dapat memulihkan persekutuan dengan Tuan dengan cepat jika dia berbuat dosa lagi.”

GODAAN, KEGAGALAN, DAN KEMAJUAN DALAM KEHIDUPAN YANG JAYENG
(Bahagian 1/2)

Tarikh: 18 November, 1935, 9 pagi
Tempat: Chuenchow

(CWWN, SET 2, JIL 21, BAB 15)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Yoh. 1:16 “Daripada kepenuhan-Nya, kita semua telah menerima, dan kurnia atas kurnia.”

Ef. 6:16 “Selain semua ini, setelah mengangkat perisai iktikad yang dengannya kamu akan dapat memadamkan segala panah berapi daripada iblis.”

1 Yoh. 1:9 “Jika kita mengaku dosa-dosa kita, Dia adalah setia dan adilbenar untuk mengampunkan dosa-dosa kita dan membersihkan kita daripada segala ketidakadilbenaran.”

Terdapat dua perkara yang harus dilakukan oleh seseorang percayawan sebelum dia dapat jayeng: lepas tangan dan percaya. Terdapat juga dua perkara yang harus dilakukannya selepas jayeng: mengaku dosa dan mempersembahkan diri. Kemenangan ialah pintu dan juga laluan. Dua perkara yang pertama membolehkan seseorang itu melalui pintu, manakala dua perkara yang terakhir membolehkan seseorang itu meneruskan perjalanan. Bagaimanakah seseorang percayawan berperilaku setiap hari selepas dia melepasi halangan untuk jayeng? Apakah yang harus dilakukannya? Bagaimanakah kehidupan yang jayeng dapat terpelihara, dan bagaimanakah dia dapat mara secara jayeng? Kita perlu mempertimbangkan soalan-soalan ini satu demi satu.

KEHIDUPAN YANG HARUS DIJALANI SESEORANG ITU SELEPAS MELEPASI HALANGAN UNTUK JAYENG

Selepas kita melepasi halangan untuk jayeng, kehidupan harian kita haruslah tidak ada perbezaan dengan hari pertama kita jayeng. Setiap pagi kita harus menyerahkan diri kita kepada Tuan dan membenarkan Dia menjaga, melindungi, dan menopang kita. Pada masa yang sama, kita harus penuh dengan kesyukuran dan pujian. Kita harus berkata kepada Tuhan, “O Tuhan, di mata-Mu aku masih lemah dan masih tidak dapat melakukan apa-apa. Aku tidak berubah. Namun aku bersyukur kepada-Mu Tuan kerana Engkau masih lagi hayatku hari ini. Engkau masih lagi kekudusanku hari ini, dan Engkau masih lagi kemenanganku hari ini. Saya percaya bahawa Engkau akan menghidup keluar hayat-Mu dalamku sepanjang hari. Tuhan, aku bersyukur dan memuji-Mu kerana segala-galanya berdasarkan kurnia-Mu; Anak-Mu telah menyempurnakan segala-galanya bagiku.” Tidak kira apa perasaan kita, kita harus percaya bahawa Tuan hidup dalam kita, dan kita harus berdiri di atas hakikat ini. Kita harus amat jelas bahawa Tuan berada dalam kita dan bahawa bukan lagi kita yang hidup, tetapi Tuan yang hidup dalam kita.

Selepas kita melepasi halangan untuk jayeng, kita harus mengekalkan kedudukan yang wajar. Setiap hari kita harus memberitahu Tuan bahawa tidak ada kebaikan dalam diri kita, bahawa kita masih lagi jahat seperti dahulu, dan bahawa kita penuh dengan dosa. Kita tidak berupaya melakukan apa-apa melalui diri kita; hanya Tuan yang berupaya. Bila-bila sahaja kita berfikir kita dapat melakukan sesuatu, Tuan tidak akan melakukan apa-apa untuk kita, dan kita akan jatuh segera. Kita akan jayeng hanya apabila kita tidak jayeng melalui diri kita. Ada satu baris dalam suatu kidung yang berbunyi, “Waktu hati mula bangga, Nyaris ku jatuh ke bah’ya” (Kidung, #423). Ini memang benar. Dikbang sekalian, kita harus sedar bahawa kita masih lagi sama; kita tidak berubah langsung. Satu-satunya kedudukan kita di hadapan Tuan ialah kita mengisytiharkan bahawa kita tidak dapat melakukan apa-apa. Dengan kata yang mudah, selepas melalui halangan untuk jayeng, kehidupan harian kita termasuklah (1) menyerahkan diri kita ke dalam tangan Tuan, (2) mengaku bahawa kita tidak dapat melakukannya, (3) percaya bahawa Tuan hidup dalam kita, dan (4) bersyukur dan memuji-Nya.

CARA JAYENG ATAS GODAAN

Hayat yang jayeng ialah hayat yang jayeng atas godaan. Selepas kita menerima hayat yang jayeng, kita masih mungkin menghadapi godaan. Tuan juga menghadapi godaan, tetapi Dia jayeng atas godaan. Begitu juga, kita tidak dapat mengelakkan godaan, tetapi kita dapat jayeng atas godaan. Kita menghadapi dua jenis godaan setiap hari. Jenis pertama ialah godaan yang datang secara tiba-tiba, yang tidak memberi kita peluang untuk berfikir. Sebelum kita dapat berfikir atau berdoa tentangnya, kita sudah berbuat dosa. Godaan-godaan ini tidak terhad kepada masa, dan berlaku secara sembarangan. Jenis kedua ialah godaan yang datang secara perlahan. Kita dapat mempertimbangkannya, dan godaan itu datang sebagai cadangan dan usul yang makin bertambah. Satu jenis godaan itu tidak memberi seseorang itu masa untuk berfikir, manakala satu jenis lagi memberi seseorang itu masa untuk berfikir. Kita mungkin beranggapan bahawa godaan yang memberi kita peluang berfikir itu mudah diatasi, dan bahawa godaan yang tidak memberi peluang untuk berfikir itu susah diatasi. Sebenarnya, kita dapat jayeng atas kedua-dua jenis godaan itu. Ada dua cara untuk menanggulangi dua jenis godaan ini.

Cara untuk Menanggulangi Godaan yang Datang Secara Tiba-tiba

Oleh sebab tidak ada masa persediaan untuk menghadapi godaan yang datang secara tiba-tiba dan serta-merta, maka kita tidak dapat menanggulanginya tanpa merancang. Oleh itu, sebelum godaan jenis ini datang, awal-awal lagi kita harus mengukuhkan pertahanan kita. Dalam peperangan antara dua negara, mereka tidak boleh bersedia hanya selepas musuh mula menyerang. Seseorang harus mendirikan barisan pertahanan dengan baik sebelum masa dan meminta Tuan menyelamatkannya sebelum masa. Setiap pagi, kita harus berdoa kepada Tuan dan meminta Dia menyelamatkan kita daripada godaan yang datang secara tiba-tiba. Kita harus meminta Dia menyelamatkan kita daripada godaan yang tidak memberi kita peluang untuk berfikir. Sering kali seseorang itu berbuat dosa disebabkan dia tidak bersedia terlebih dahulu. Sudah tentu adakalanya Tuan membenarkan godaan menimpa kita secara tiba-tiba. Apabila godaan sebegini menimpa, apakah yang harus kita lakukan? Kita harus ingat bahawa iktikad ialah perisai (Ef. 6:16), bukan playar. Banyak orang beranggapan bahawa iktikad ialah playar untuk menarik keluar anak panah yang telah dipanahkan ke dalam tubuh. Akan tetapi, iktikad bukan berfungsi seperti playar. Iktikad ialah perisai, iaitu sesuatu yang diletakkan di antara diri kita dengan Syaitan. Apabila anak panah datang, anak panah itu mengenai perisai dan jatuh. Kita bukan meletakkan perisai di belakang kita. Jika perisai berada di belakang, maka setelah kita dipanah, sukar untuk mengeluarkan anak panah itu.

Setiap pagi kamu harus mengangkat iktikad ini di hadapan Tuhan. Dengan demikian kamu akan berdiri menentang godaan bahkan tanpa disedari. Jarang-jarang ada orang Kristian yang mengetahui apa itu perisai iktikad. Kita memerlukan perisai iktikad bahkan sebelum godaan menimpa. Jika perkara pertama yang kamu lakukan pada waktu pagi ialah percaya, maka kamu sedang memegang perisai iktikad, dan anak panah daripada Syaitan akan ditangkis. Jika kamu mengangkat iktikad kamu dengan cara ini untuk berdiri menentang musuh hari demi hari, maka apabila tibanya hari itu, yakni hari yang mulia, kamu akan mengetahui bahawa banyak anak panah telah ditangkis.

Roma 1—3 berbicara tentang dosa manusia, manakala Roma 4—5:15 berbicara tentang penyelamatan Tuhan. Roma 5:12 memberitahu kita bahawa kita berbuat dosa kerana kita mempunyai hayat yang sama dengan Adam. Inilah sebabnya kita berbuat dosa tanpa sebarang usaha sendiri. Kita tidak perlu menggunakan sedikit tenaga pun untuk naik marah. Pada saat kita dirangsang, kita akan naik marah. Kita tidak perlu bertekad untuk berbuat dosa kerana kita mempunyai hayat yang sama berdosa seperti Adam. Roma 5:15 berkata, “Tetapi bukannya sebagaimana kesalahan, begitu juga dengan kurniaan; kerana jika melalui kesalahan satu orang, banyak telah mati, maka lebih-lebih lagi kurnia Tuhan dan berian percuma dalam kurnia daripada seorang manusia, Yesus Kristus, melimpah-ruah kepada banyak orang.” Pada masa lampau, manusia lama kita digabungkan kepada Adam, tetapi hari ini Tuan telah menjadikan kita satu dengan Kristus. Pada masa yang lampau, kita berbuat dosa tanpa disedari, tetapi hari ini kita dapat bersabar, rendah diri, dan mengasihi orang tanpa disedari. Ini membuktikan realiti penyatuan kita dengan Tuan. Sebagaimana kita berbuat dosa secara spontan semasa kita berada dalam Adam, begitu juga dengan mudah dan spontan kita dapat jayeng semasa kita berada dalam Kristus dan digabungkan kepada-Nya. Dengan cara ini, hayat Kristus dihidup keluar daripada kita. Kita akan tertakjub akan betapa melangkaunya dan betapa hebatnya hayat Tuan. Jika kita percaya, hayat Kristus akan dimanifestasikan dalam kita hari demi hari.

Menanggulangi Godaan yang Bertambah Secara Beransur-ansur

Godaan jenis kedua adalah secara beransur-ansur dan semakin bertambah. Syaitan memberi kita cadangan secara beransur-ansur dan sedikit demi sedikit. Godaan ini semakin bertambah. Kamu tidak perlu meminta kekuatan daripada Tuan untuk jayeng atas godaan jenis ini. Cara terbaik untuk menanggulanginya ialah berdiri di atas kedudukan seorang pendosa apabila godaan ini datang. Kita harus mengambil kedudukan seorang pesakit yang berjumpa dengan doktor dan menaruh seluruh keyakinannya pada doktor. Kita harus berbicara kepada Tuan seperti seorang pesakit: “Minda dan fikiranku cenderung kepada dosa. Aku mudah naik marah. Aku tidak dapat bertahan dengan apa-apa pun. Aku tidak ada harapan. Aku meminta Engkau menentang untukku.” Kita harus mengambil pendirian bahawa kita telah mati bersama dengan Tuan. Syaitan mungkin datang membawa berbagai-bagai jenis godaan, tetapi prinsipnya adalah sama. Syaitan tidak berniat agar kita berbuat dosa secara langsung. Matlamat godaannya ialah menghasut kita untuk bertindak sendiri. Kedudukan kita adalah dalam Kristus; inilah satu-satunya tempat yang selamat. Jika kita kekal dalam kedudukan ini dan membenarkan Tuan melakukan segala-galanya, Syaitan tidak akan berupaya melakukan apa-apa kepada kita. Namun sebaik sahaja kita bergerak, bahkan dalam hal seperti berdoa meminta Tuan menguatkan kita untuk menentang godaan, atau bertekad untuk tidak berbuat dosa, kita akan mendapati Syaitan mengatasi kita dan menewaskan kita kerana kita telah terkeluar dari zon keselamatan.

SIKAP KEHIDUPAN YANG JAYENG

Bahagian di atas meliputi langkah-langkah yang harus diambil untuk menjalani kehidupan selepas melepasi halangan untuk jayeng. Sekarang kita perlu mengenali sikap yang harus diambil seseorang untuk memelihara kehidupan yang jayeng. Banyak orang telah melakukan hal-hal yang kita sebut di atas, namun mereka sentiasa takut bahawa Tuan tidak akan datang kepada mereka pada masanya, dan mereka risau bahawa mereka akan gagal jika Dia tidak datang-datang. Untuk menjalani kehidupan yang jayeng, kita perlu memberi perhatian kepada sikap kita. Kita harus menyingkirkan segala ketakutan melalui iktikad dan membenarkan Tuan mengambil alih segala-galanya. Apabila Tuan bersama dengan para disipal di tepi laut, Dia menyuruh para disipal pergi ke seberang (Mrk. 4:35). Dia bukan menyuruh mereka turun ke dasar laut, tetapi ke seberang laut. Namun para disipal tidak percaya kepada kata-kata-Nya. Apabila ribut mengganas, mereka lupa diri dan menjadi teramat takut. Mereka tidak mempunyai iktikad, dan mereka meminta Tuan membuat sesuatu. Sering kali semakin kuat kita berdoa, semakin kurang iktikad dalam doa kita. Adakalanya semakin bersungguh-sungguhnya kita berdoa, semakin perbuatan itu menunjukkan bahawa kita tidak mempunyai iktikad. Iktikad bererti menaruh kepercayaan pada sabda Tuan. Tuan mengatakan bahawa para disipal akan pergi ke seberang, bukan turun ke dasar laut. Jika mereka mempunyai iktikad, mereka semua tentu pergi tidur. Mempunyai iktikad bererti tidur bersama dengan Tuan. Jika seseorang itu tidak mempunyai iktikad, dia tidak dapat tidur bersama dengan Tuan. Jika seseorang mempunyai iktikad, sekalipun dia tidak tidur, dia masih dapat pergi ke buritan perahu dan berbicara kepada ombak. Bahkan dia dapat mencemuh ombak dengan berkata, “Kamu tidak cukup kuat. Kamu tidak cukup ganas.” Seseorang yang mempunyai iktikad itu mempunyai damai sejahtera; dia mempunyai damai sejahtera di dalam dan di luar. Syaitan tidak dapat jayeng atas orang sedemikian. Oleh itu, kemenangan bererti percaya kepada sabda Tuhan dan kudrat-Nya. Sikap kehidupan yang jayeng ialah rehat sepenuhnya menerusi iktikad.

APA YANG HARUS DILAKUKAN SEKIRANYA GAGAL

Selepas seseorang percayawan jayeng, dia tidak sepatutnya berbuat dosa lagi dari segi kerja Tuhan, perbekalan Tuhan, dan perintah Tuhan. Akan tetapi, mereka yang telah melepasi halangan untuk jayeng mungkin akan terkejut kerana mendapati bahawa mereka berbuat dosa lagi. Mereka berfikir bahawa mereka berbuat dosa pada masa yang lepas, dan mereka tertanya-tanya mengapa mereka berbuat dosa lagi selepas mereka melepasi halangan untuk jayeng. Sesetengah orang mungkin bertanya, “Jika seseorang yang telah jayeng itu masih berbuat dosa, maka apa bezanya kemenangan ini dalamnya?” Terdapat perbezaan yang besar. Terdapat tiga perbezaan antara seseorang yang jayeng dengan seseorang yang belum jayeng dalam soal berbuat dosa. Pertama, sebelum seseorang itu jayeng, berbuat dosa ialah sesuatu yang wajib dan mesti. Seseorang itu tidak ada pilihan selain berbuat dosa. Terdapat satu kuasa dalam dia yang memaksa dia berbuat dosa. Selepas seseorang itu jayeng, situasi sama sekali berlainan. Berbuat dosa adalah secara tidak sengaja, disebabkan alpa atau cuai. Kedua, sebelum seseorang itu jayeng, dia berulang kali melakukan dosa yang sama. Dia mempunyai beberapa dosa peribadi yang khususnya untuk dia sendiri. Dia berulang kali melakukan dosa yang sama. Setiap orang hanya mempunyai tiga atau lima jenis dosa yang berulangan. Beberapa dosa ini sentiasa membelit dia. Namun selepas dia jayeng, situasinya menjadi amat berlainan. Dia masih berbuat dosa, namun hanya sekali-sekala. Dosa yang kerap berlaku itu tidak lagi mengganggu dia; dosa-dosa itu hanya memerangkap dia sekali-sekala sahaja. Ketiga, sebelum seseorang itu jayeng, dia susah memulihkan persekutuan yang jelas dengan Tuan selepas berbuat dosa dan dia mengambil masa yang lama untuk memulihkan persekutuan itu. Akan tetapi, selepas dia jayeng, dia dapat memulihkan persekutuan dengan Tuan dengan cepat jika dia berbuat dosa lagi. Hal ini demikian kerana dia mempunyai iktikad, dan dia percaya bahawa darah Tuan dapat membersihkan dia daripada segala dosanya (1 Yoh. 1:9). Mereka yang telah melepasi halangan untuk jayeng harus mengaku dosa kepada Tuan dengan segera selepas mereka berbuat dosa secara tidak sengaja, dan mereka harus percaya bahawa Tuan dapat membasuh mereka dengan darah adi-Nya. Selepas itu, mereka harus segera memuji dan bersyukur kepada Tuan, dan menerapkan hayat-Nya yang jayeng secara berterusan. Jika kita berbuat dosa secara tidak sengaja, kita tidak harus menangguhkan pengakuan dosa kita selama tiga atau lima hari lagi. Jika kita menangguh, kita akan melakukan lebih banyak dosa lagi. (bersambung...)

MENJAGA KEHIDUPAN YANG JAYENG
GODAAN, KEGAGALAN, DAN KEMAJUAN DALAM KEHIDUPAN YANG JAYENG (Bahagian 2/2)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)
1 Komen / Perkongsian
Sing yuan pada 2020-07-02
Seseorang yang mempunyai iktikad itu mempunyai damai sejahtera; dia mempunyai damai sejahtera di dalam dan di luar. Kemenangan bererti percaya kepada sabda Tuhan dan kudrat-Nya.