Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian Diselamatkan Daripada Mamon
Berkenaan Persembahan Kewangan
Satu Perbuatan Yang Luhur (Bahagian 1/2)
Diselamatkan Daripada Mamon
2020-05-29 | 2 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (31)

Nota Editor:

“Individualisme menghalang manusia daripada melayan Tuhan, dan mamon juga menghalang manusia daripada melayan Tuhan. Apabila orang melayan mamon, bukan sahaja mereka tidak dapat melayan Tuhan secara korporat, malah dari segi individu, seseorang juga tidak dapat melayan Tuhan. Kita boleh mengatakan bahawa diselamatkan daripada mamon merupakan syarat yang pertama dan asas untuk melayan Tuhan. Jika seseorang tidak diselamatkan daripada mamon, dia tidak dapat melayan Tuhan.”

“Segala sesuatu dicipta Tuhan. Tuhan merupakan satu-satunya sumber, dan Dia berada di atas segala sesuatu (Kis. 17:24-25). Apabila manusia melihat segala sesuatu ini, mereka akan tergerak untuk menyembah Tuhan...Hari ini Syaitan meringkaskan semua ini dan menyeragamkan semuanya dalam bentuk wang. Oleh itu, wang digelar sebagai ‘barang umum’ dalam bahasa Cina.”

“Seseorang yang benar-benar melayan Tuhan mesti diselamatkan daripada wang. Sebaik sahaja fikiran seseorang berpaling kepada wang, dia tidak boleh melayan Tuhan. Adalah salah bagi manusia memandang segala sesuatu dari sudut wang; manusia seharusnya memandang segala sesuatu dari sudut Tuhan.”

DISELAMATKAN DARIPADA MAMON

Tarikh: 27 April 1948
Tempat: Jalan Hardoon, Shanghai 

(CWWN SET 3, JIL 57, BAB 21 (BHG A))

**Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Mat. 6:24 “Tidak ada seorang pun yang dapat melayan dua tuan, kerana sama ada dia akan membenci yang satu dan mengasihi yang lain, atau akan berpaut pada yang satu dan memandang rendah terhadap yang lain. Kamu tidak dapat melayan Tuhan dan mamon.”

1 Tim. 6:10 “Kerana cinta akan wang ialah akar segala kejahatan; disebabkan sesetengah orang memburu wang, mereka disesatkan daripada kepercayaan dan menusuk diri mereka dengan pelbagai kesakitan.”

DISELAMATKAN DARIPADA MAMON UNTUK MELAYAN TUHAN

Bible meletakkan mamon pada kedudukan yang agak tinggi. Mamon berdiri di kedudukan bertentangan dengan Tuhan. Hari ini lebih banyak orang di dunia yang diperoleh mamon daripada yang diperoleh Tuhan. Dalam seratus orang, kemungkinan lapan puluh orang yang diperoleh mamon. Daripada dua puluh orang yang selebihnya, kemungkinan lapan belas hingga sembilan belas orang yang melayan Tuhan dan juga melayan mamon. Amat sukar untuk mencari seseorang daripada seratus orang yang benar-benar melayan Tuhan. Mamon lebih banyak memperoleh jiwa manusia daripada Tuhan.

Diselamatkan daripada Mamon 
Merupakan Syarat Asas untuk Melayan Tuhan

Pada asalnya, kami tidak berniat untuk membicarakan hal mamon pada kali ini. Asalnya kita ingin melihat kehidupan Tubuh, tetapi kemudian persekutuan tentang kehidupan Tubuh ini membimbing kepada dua masalah. Masalah yang pertama ialah individualisme, dan masalah yang kedua ialah mamon. Individualisme menghalang manusia daripada melayan Tuhan, dan mamon juga menghalang manusia daripada melayan Tuhan. Apabila orang melayan mamon, bukan sahaja mereka tidak dapat melayan Tuhan secara korporat, malah dari segi individu, seseorang juga tidak dapat melayan Tuhan. Kita boleh mengatakan bahawa diselamatkan daripada mamon merupakan syarat yang pertama dan asas untuk melayan Tuhan. Jika seseorang tidak diselamatkan daripada mamon, dia tidak dapat melayan Tuhan.

Wang Merupakan Sarana yang Digunakan Syaitan 
untuk Menyeragamkan Segala Sesuatu

Segala sesuatu dicipta Tuhan. Tuhan merupakan satu-satunya sumber, dan Dia berada di atas segala sesuatu (Kis. 17:24-25). Apabila manusia melihat segala sesuatu ini, mereka akan tergerak untuk menyembah Tuhan. Hari ini pemikiran manusia telah mencipta ateisme (fahaman atau kepercayaan yang tidak mengakui kewujudan Tuhan). Ini merupakan satu kesilapan. Segala-gala di langit mendorong manusia untuk mengenali Tuhan (Roma 1:20). Segala sesuatu ini beraneka jenis dan rumit, namun Syaitan berikhtiar untuk menyeragamkan segala sesuatu. Kita tidak dapat menambahkan segala sesuatu bersama-sama. Sebagai contoh, sebuah meja dan sebuah kerusi tidak dapat ditambahkan bersama-sama menjadi satu unit. Apabila seorang dewasa tambah seorang budak tambah sebuah beg tambah sebongkah jongkong emas dan tambah lagi sebidang tanah, apakah ini? Semua ini tidak dapat ditambahkan menjadi satu unit. Akan tetapi, jika kita menukar semua ini ke dalam bentuk wang, kita dapat mengira jumlahnya. Sekiranya segala benda tidak dapat diseragamkan, bagaimanakah dikbang dan dikkak yang berniaga dapat membuat kira-kira mereka? Bagaimana kita membuat penilaian bagi begitu banyak barangan yang berbeza-beza unitnya? Hanya wang yang dapat mengira segala benda. Dengan adanya wang, tanah bukan lagi tanah tetapi wang, dan beras juga bukan lagi beras tetapi wang. Apabila semua benda ditambah bersama, kita mendapat jumlah wang tertentu. Wahi 18 memberitahu kita bahkan sukma manusia juga dapat dikira dengan wang (ay. 13). Apabila seseorang menjual masa kepada orang lain, dia sedang menjual sukmanya. Sebagai contoh, apabila saya mengupah seorang pekerja, saya akan membuat perjanjian terlebih dahulu tentang jumlah wang yang akan saya bayar kepadanya untuk kerjanya selama lapan jam. Inilah membeli sukma manusia. Wang boleh membeli sukma manusia, dan wang juga boleh membeli segala sesuatu. Tuhan mencipta bumi, tetapi manusia mengerat-ngerat bumi kepada banyak bahagian dan menetapkan harga setiap bahagian dengan mata wang. Andai kata manusia dapat menduduki tanah di bulan, dia juga akan menjualnya dengan wang. Malahan kapal terbang yang terbang melintasi ruang udara di atas tanah milik orang juga perlu dikenakan bayaran. Orang mungkin menganggap perkara ini amat biasa, tetapi menurut pandangan kita dan menurut pandangan Bible, hal ini amat pelik. Tuhan mencipta segala sesuatu dari hari pertama hingga hari keenam. Dapatkah kita mengira berapa nilainya segala sesuatu ini? Segala sesuatu ini beraneka ragam dan pelbagai jenis. Hari ini Syaitan meringkaskan semua ini dan menyeragamkan semuanya dalam bentuk wang. Oleh itu, wang digelar sebagai “barang umum” dalam bahasa Cina.

Syaitan Merampas Penyembahan Manusia Menerusi Wang

Dari segi yang lain, wang juga memegang segala sesuatu. Pada satu penghujung, Tuhan menghasilkan segala sesuatu melalui penciptaan. Pada penghujung yang satu lagi, Syaitan menyeragamkan segala sesuatu dengan menukar semuanya ke dalam bentuk wang. Asalkan ada duit, manusia dapat membeli apa-apa sahaja. Dia boleh membeli emas. Dia malah boleh membeli seluruh kota Shanghai atau seluruh negara China. Tidak ada satu perkara yang tidak dapat dibeli oleh wang. Mamon bertentangan dengan Tuhan. Inilah sebabnya Bible bukan sahaja mengatakan bahawa cinta akan wang ialah akar segala kejahatan (1 Tim. 6:10), tetapi juga meletakkan ketamakan bersama dengan penyembahan berhala (Ef. 5:5; Kol. 3:5). Ketamakan akan wang merupakan satu-satunya berhala, kerana apabila seseorang memuja wang, dia bukan memuja wang itu sendiri, tetapi memuja segala ciptaan Tuhan yang berada di sebalik wang. Disebabkan manusia ingin mendapatkan barangan, dia perlu menggunakan “barang umum”, yakni wang, untuk membeli barangan. Ini menunjukkan bahawa manusia mengingini benda-benda Tuhan, tetapi tidak mengingini Tuhan sendiri. Inilah sebabnya manusia hanya boleh melayan Tuhan ataupun melayan mamon (Mat. 6:24). Sesiapa yang hatinya mengasihi mamon sama sekali tidak dapat mengasihi Tuhan (Mat. 6:24).

Melainkan Manusia Terlepas daripada Belenggu Wang, 
Dia Tidak Dapat Melayan Tuhan

Benda-benda Tuhan datang daripada Tuhan; ini merupakan kurnia. Semua benda yang berasal daripada Tuhan tidak boleh dijual. Cahaya matahari tidak boleh diukur, dan juga tidak perlu kita bayar, sedangkan cahaya elektrik perlu dibayar. Jika manusia ingin mendapatkan sesuatu daripada Syaitan, dia harus membeli untuk mendapatkannya. Bahkan lenggai karob yang dimakan anak yang memboros itu juga perlu dibeli dengan harga (Luk. 15:15-16). Seseorang yang benar-benar melayan Tuhan mesti diselamatkan daripada wang. Sebaik sahaja fikiran seseorang berpaling kepada wang, dia tidak boleh melayan Tuhan. Adalah salah bagi manusia memandang segala sesuatu dari sudut wang; manusia seharusnya memandang segala sesuatu dari sudut Tuhan.

Berkenaan Persembahan Kewangan
Satu Perbuatan Yang Luhur (Bahagian 1/2)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)
2 Komen / Perkongsian
Kong pada 2020-05-30
Seseorang yang benar-benar melayan Tuhan mesti diselamatkan daripada wang. O Tuan, selamatkan setiap percayawan-mu agar kami tidak melayan Engkau dan Mamon. Tetapi melayan Engkau sahaja.
Sing yuan pada 2020-05-30
Seseorang yang benar-benar melayan Tuhan mesti diselamatkan daripada wang. Sebaik sahaja fikiran seseorang berpaling kepada wang, dia tidak boleh melayan Tuhan. Adalah salah bagi manusia memandang segala sesuatu dari sudut wang; manusia seharusnya memandang segala sesuatu dari sudut Tuhan.