Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian DALAM NAMA TUAN YESUS—AMANAT TUHAN (Bahagian 2/5)
DALAM NAMA TUAN YESUS—AMANAT TUHAN (Bahagian 1/5)
DALAM NAMA TUAN YESUS—AMANAT TUHAN (Bahagian 3/5)
DALAM NAMA TUAN YESUS—AMANAT TUHAN (Bahagian 2/5)
2020-08-09 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (103)

Nota Editor:

“Dalam Wasiat Baru, kita bukan sahaja melihat nama Yesus, kita juga melihat suatu ungkapan yang istimewa, iaitu ‘dalam nama Yesus’...Hal ini bukan sekadar soal nama Yesus Kristus, bahkan soal berada dalam nama Yesus Kristus. Jika kita membaca sabda Tuhan dengan teliti dan mempunyai pengejaran rohani, kita mungkin kerap kali mengatakan bahawa kita berbuat sesuatu dalam nama Tuan Yesus atau dalam nama Yesus Kristus, namun sebenarnya kita tidak mengetahui erti berada dalam nama ini. Jika kita tidak tahu bagaimana melakukan sesuatu dalam nama Tuan Yesus, kita bahkan tidak dapat menjadi seorang Kristian. Oleh itu, kita harus melihat makna berada dalam nama Tuan Yesus.”

“Berada dalam nama Tuan Yesus bererti berbahagian dalam nama Tuan Yesus, dan ertinya kita boleh menggunakan nama ini. Dikbang dan dikkak, kita harus sedar bahawa inilah amanat terbesar daripada Tuhan dan Tuan Yesus kepada kita...Tuhan tidak mengamanatkan kita untuk melakukan sesuatu kerja itu seorang diri, sebaliknya Tuhan mengamanatkan Anak-Nya kepada kita. Tuhan tidak mengarahkan kita pergi seorang diri, tetapi Dia mengarahkan kita membawa Anak-Nya bersama dengan kita. Inilah maksud berada dalam nama Tuan Yesus.”

“Nama Tuan Yesus ialah nama yang mengatasi setiap nama. Dia sanggup menyerahkan nama ini kepada kamu dan saya serta mengizinkan kita menggunakannya. Adakah kita melihat tanggungjawab yang dipikul-Nya semasa Dia mengamanatkan nama-Nya kepada kita? Tuhan percaya kepada kita dan mengamanatkan nama Tuan Yesus kepada kita. Bagi apa-apa jua yang kita lakukan dalam nama-Nya, Tuhan akan memikul tanggungjawab itu. Dikbang dan dikkak, betapa hebatnya! Tuhan akan bertanggungjawab terhadap apa-apa jua yang kita lakukan dalam nama Tuan Yesus!”

DALAM NAMA TUAN YESUS—AMANAT TUHAN
(Bahagian 2/5)

(Ministri Doa Gereja, Bab 3)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Yoh. 14:13-14 “Dan apa jua yang kamu minta dalam nama-Ku, Aku akan melakukannya, supaya Bapa dapat dimuliakan dalam Anak. Jika kamu meminta daripada Aku apa-apa dalam nama-Ku, Aku akan melakukannya.”

TIGA

Dalam Wasiat Baru, kita bukan sahaja melihat nama Yesus, kita juga melihat suatu ungkapan yang istimewa, iaitu “dalam nama Yesus”. Dikbang dan dikkak, adakah kita melihat hal ini? Hal ini bukan sekadar soal nama Yesus Kristus, bahkan soal berada dalam nama Yesus Kristus. Jika kita membaca sabda Tuhan dengan teliti dan mempunyai pengejaran rohani, kita mungkin kerap kali mengatakan bahawa kita berbuat sesuatu dalam nama Tuan Yesus atau dalam nama Yesus Kristus, namun sebenarnya kita tidak mengetahui erti berada dalam nama ini. Jika kita tidak tahu bagaimana melakukan sesuatu dalam nama Tuan Yesus, kita bahkan tidak dapat menjadi seorang Kristian. Oleh itu, kita harus melihat makna berada dalam nama Tuan Yesus. 

Kali pertama Tuan Yesus menyebut tentang berada dalam nama-Nya adalah dalam Yohanes 14 — 16. Setelah Tuan Yesus membasuh kaki disipal, Dia berbicara kepada disipal-Nya. Dalam tiga bab ini, Tuan Yesus secara khususnya mengatakan apa yang dapat kita lakukan sekiranya kita melakukan hal dalam nama-Nya. Dia berkata, “Apa jua yang kamu minta dalam nama-Ku, Aku akan melakukannya...Jika kamu meminta daripada Aku apa-apa dalam nama-Ku, Aku akan melakukannya” (14:13-14). Dari bab 14 hingga 16, Tuan berulang kali memberitahu disipal agar memohon “dalam nama-Ku”. Hal ini menunjukkan kepada kita bahawa bukan sahaja Dia akan memperoleh nama yang mengatasi setiap nama pada suatu hari, bahkan nama Dia ini boleh digunakan oleh disipal. Kamu dan saya boleh menggunakan nama ini. Nama ini ialah nama yang dianugerahkan Tuhan kepada Anak-Nya Yesus, kemudian Anak-Nya Yesus Kristus menyerahkannya ke dalam tangan kita. Sekarang nama ini berada dalam tangan saya dan tangan kamu. Kamu dan saya serta semua orang yang lain boleh menggunakan nama ini. Sehubungan itu, Bible bukan sahaja mengatakan bahawa Tuan Yesus memiliki nama yang mengatasi setiap nama, bahkan mengatakan tentang pengalaman berada dalam nama Yesus Kristus. Bukan sahaja ada nama-Nya, tetapi juga wujud soal berada dalam nama-Nya. Nama Yesus Kristus diperoleh-Nya di hadapan Tuhan. Berada dalam nama Yesus Kristus bererti anak-anak Tuhan berbahagian dalam nama ini. Oleh itu, berada dalam nama Tuan Yesus bererti berbahagian dalam nama Tuan Yesus, dan ertinya kita boleh menggunakan nama ini. Dikbang dan dikkak, kita harus sedar bahawa inilah amanat terbesar daripada Tuhan dan Tuan Yesus kepada kita.

Mengapakah kita mengatakan bahawa Tuhan telah mengamanatkan nama Yesus kepada kita? Apakah maksud mengamanatkan? Tuhan mengamanatkan kita untuk memberitakan injil, melakukan kerja, pergi ke suatu tempat untuk berbicara — semua ini amanat Tuhan. Namun berada dalam nama Yesus bukan merujuk kepada amanat sebegini. Berada dalam nama Yesus bererti Tuhan telah mengamanatkan Anak-Nya kepada kita. Tuhan tidak mengamanatkan kita untuk melakukan sesuatu kerja itu seorang diri, sebaliknya Tuhan mengamanatkan Anak-Nya kepada kita. Tuhan tidak mengarahkan kita pergi seorang diri, tetapi Dia mengarahkan kita membawa Anak-Nya bersama dengan kita. Inilah maksud berada dalam nama Tuan Yesus. 

Berada dalam nama Tuan Yesus bermaksud Tuhan mengamanatkan Anak-Nya kepada kita. Andaikan kamu mempunyai sejumlah wang simpanan di dalam bank. Untuk mengeluarkan wang simpanan itu, kamu perlu menggunakan cap kamu. Suatu hari kamu meminta seorang kawan untuk mengeluarkan wang simpanan itu bagi pihak kamu dan kamu menyerahkan cap itu kepadanya. Dengan itu, senang bagi dia mengeluarkan wang itu kerana dia ada cap dalam tangannya. Dia pergi ke bank, menulis sepuluh dolar pada cek, dan membubuh cap pada cek itu, lalu dia menunaikan sepuluh dolar. Berada dalam nama Tuan Yesus ibarat Tuan Yesus memberi kita cap-Nya. Dikbang dan dikkak, simpanan wang kita terhad dan amaun yang boleh kita keluarkan juga terhad. Namun jika kita ada cap Tuan Yesus, itulah perkara yang amat hebat sekali. Jika di dalam bank saya tersimpan sejumlah wang yang besar dan saya menyerahkan buku cek berserta cap kepada seseorang, saya harus sedia mempercayai orang itu sepenuhnya. Jika saya tidak percaya kepadanya, saya akan sangsi kalau-kalau dia akan menggunakan cap saya untuk mengeluarkan wang. Bagaimanakah saya pasti bahawa dia tidak akan menunaikan cek dengan cap saya? Bagaimanakah saya pasti bahawa dia tidak akan menggunakan cap saya untuk menanda-

tangani kontrak? Jika saya tidak mempercayai orang ini, saya tidak boleh menyerahkan cap saya ke dalam tangannya. Saya menyerahkan cap kepadanya bererti saya mengiktiraf apa-apa sahaja yang dilakukannya. Inilah maksudnya berada dalam nama Tuan Yesus — Tuan Yesus sanggup menyerahkan nama-Nya ke dalam tangan kita dan membenarkan kita menggunakannya. Tuan mempercayai kita sampai Dia berani menyerahkan nama-Nya ke dalam tangan kita dan membenarkan kita menggunakannya. Inilah maksud berada dalam nama Tuan Yesus. Berada dalam nama Yesus bermaksud Tuan Yesus telah memberi diri-Nya kepada kita dan bahawa Dia sanggup mengiktiraf segala hasil daripada kita menggunakan nama-Nya. Dia sanggup menanggung segala natijah daripada apa-apa yang kita lakukan dalam nama-Nya.

Adakalanya kita berkata kepada seseorang, “Kamu pergi beritahu dikbang tertentu apa yang patut dilakukan. Jika dia bertanyakan siapa yang berkata begitu, kamu cakap sahaja saya yang beritahu.” Inilah maksudnya berada dalam nama seseorang. Berada dalam nama seseorang bererti menggunakan nama itu. Jika kamu mengamanatkan nama kamu kepada seseorang dan dia menggunakan nama kamu, kamu harus bertanggungjawab atas penggunaan nama itu. Inilah maksudnya berada dalam nama seseorang.

Pada malam terakhir Tuan Yesus berada di bumi, Dia berkata kepada disipal-Nya, “Apa jua yang kamu minta dalam nama-Ku, Aku akan melakukannya, supaya Bapa dapat dimuliakan dalam Anak. Jika kamu meminta daripada Aku apa-apa dalam nama-Ku, Aku akan melakukannya” (Yoh. 14:13-14). Ini bermakna Tuan Yesus telah mengamanatkan suatu perkara yang agung kepada disipal-Nya. Dia menyerahkan nama-Nya kepada disipal. Nama-Nya bersamaan dengan kuasa. Tidak ada apa-apa yang lebih agung daripada perkara ini. Bayangkan setelah Tuan Yesus menyerahkan nama-Nya ke dalam tangan kita, apakah yang akan terjadi jika kita menggunakan nama-Nya dengan sewenang-wenangnya? Misalnya di sini ada seorang yang amat berkuasa. Apabila dia memberi perintah, dia hanya perlu membubuh capnya, dengan serta-merta perintah itu berkuat kuasa. Jika dia menyerahkan capnya kepada seseorang, dia harus bertanggungjawab setiap kali orang itu menggunakan cap itu untuk mengeluarkan perintah. Cuba fikirkan: Bolehkah dia menyerahkan capnya kepada sesiapa sahaja? Tidak boleh. Akan tetapi, Tuan Yesus telah menyerahkan nama-Nya kepada kita. Nama Tuan Yesus ialah nama yang mengatasi setiap nama. Dia sanggup menyerahkan nama ini kepada kamu dan saya serta mengizinkan kita menggunakannya. Adakah kita melihat tanggungjawab yang dipikul-Nya semasa Dia mengamanatkan nama-Nya kepada kita? Tuhan percaya kepada kita dan mengamanatkan nama Tuan Yesus kepada kita. Bagi apa-apa jua yang kita lakukan dalam nama-Nya, Tuhan akan memikul tanggungjawab itu. Dikbang dan dikkak, betapa hebatnya! Tuhan akan bertanggungjawab terhadap apa-apa jua yang kita lakukan dalam nama Tuan Yesus! (bersambung...)

DALAM NAMA TUAN YESUS—AMANAT TUHAN (Bahagian 1/5)
DALAM NAMA TUAN YESUS—AMANAT TUHAN (Bahagian 3/5)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)