Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian CARA MAKAN—MENYERU NAMA TUAN
ORGAN UNTUK MENERIMA MAKANAN—ROH
MEMUPUK KEHIDUPAN YANG MENYERU NAMA TUAN (Bahagian 1/2)
CARA MAKAN—MENYERU NAMA TUAN
2020-07-25 | 1 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (88)

Nota Editor:

“Tuhan memanggil kita supaya kita dapat berbahagian dalam kenikmatan terhadap Kristus, dan cara untuk menikmati Kristus ialah menyeru nama Tuan.”

“Terdapat suatu perkara yang amat penting, namun banyak orang Kristian tidak jelas tentangnya. Perkara itu ialah nama Tuan dan Roh Tuan. Nama Tuan ialah Yesus dan Roh Tuan ialah Tuan sendiri, yakni persona Tuan...Bible bukan sahaja menyuruh kita berdoa, Bible juga menyuruh kita menyeru. Apabila kamu berkata, ‘Tuan Yesus,’ Roh Kudus berada di sini. Roh Kudus ialah Yesus yang hidup; Roh Kudus ialah Yesus yang termanifes; Roh Kudus ialah Yesus yang datang kepada kamu.”

“Seruan kita di hadapan Tuan ialah nafas rohani, bahkan nafas panjang...Apabila kita menarik nafas panjang dalam roh kita, kita akan menjadi kuat, membara­-bara, dan lupa diri kerana menikmati Tuan.”

“Haleluya! Tuan telah memberi kita satu jalan yang mudah dan singkat, iaitu menyeru nama Tuan dan mendoa-baca sabda Tuan. Dengan demikian, kita dapat menikmati segala apanya Tuan. Semoga kita semua mengamalkan latihan ini secara praktikal.”

CARA MAKAN—MENYERU NAMA TUAN

(Pemulihan Tuan—Makan, Bab 3)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

1 Kor. 12:3b “Tidak ada yang dapat berkata, Yesus ialah Tuan! melainkan dalam Roh Kudus.”

Roma 10:12 “Kerana tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang Yunani, oleh sebab Tuan yang sama ialah Tuan kepada semua dan kaya kepada semua yang menyeru-Nya.” 

Rat. 3:55-56 “Aku menyeru nama-Mu, O Yehova, dari lubang yang paling dalam. Engkau telah mendengar suaraku; jangan tutup telinga-Mu terhadap nafasku, terhadap seruanku.”

I. MENYERU NAMA TUAN UNTUK MENIKMATI KRISTUS

Satu Korintus 1:2 memberitahu kita bahawa pekudus yang dipanggil ialah orang yang menyeru nama Tuan; orang yang menyeru nama Tuan ialah pekudus. Totaliti pekudus-pekudus ini ialah gereja. Oleh itu, status kita dan kedudukan kita ialah pekudus yang dipanggil, iaitu orang yang menyeru nama Tuan. Paulus mengatakan bahawa Kristus “milik mereka dan milik kita”. Ayat ini bermaksud bahawa Kristus ialah bahagian peruntukan bagi semua orang yang menyeru nama-Nya. Kemudian dalam ayat 9, Paulus mengatakan bahawa Tuhan memanggil kita ke dalam persekutuan Anak-Nya, Yesus Kristus, iaitu Dia memanggil kita ke dalam kenikmatan terhadap Kristus. Tuhan memanggil kita supaya kita dapat berbahagian dalam kenikmatan terhadap Kristus, dan cara untuk menikmati Kristus ialah menyeru nama Tuan. 

Saya mengulang sekali lagi bahawa masalah yang kita hadapi semasa membaca Bible ialah kita sering membacakan konsep kita ke dalam Bible. Oleh itu, sukar bagi kita untuk membaca dan menerima wahi Tuhan. Contohnya, kita sudah biasa dengan konsep kasih. Oleh itu, apabila kita membaca 1 Korintus 13, kita mudah menanggap-faham apa itu kasih. Akan tetapi, semasa kita membaca 1 Korintus 1, amat sukar bagi kita untuk melihat bahawa kita ialah pekudus yang dipanggil dan juga orang yang menyeru nama Tuan, dan kita dipanggil untuk menyeru nama Tuan. Selain itu, kita juga menghadapi kesukaran untuk melihat bahawa Kristus adalah milik mereka dan milik kita. Amatlah sukar juga bagi kita melihat bahawa Tuhan memanggil kita bukan untuk kita pergi ke syurga, tetapi untuk kita berbahagian dalam persekutuan Anak Tuhan.

Tuhan telah memanggil kita ke dalam persekutuan Anak-Nya. Hal ini bersamaan dengan Matius 22, yang mengatakan bahawa Tuhan memanggil kita ke jamuan untuk menikmati Anak-Nya. Kristus ini ialah kearifan Tuhan dan kudrat Tuhan. Tuhan menjadikan Kristus ini keadilbenaran kita untuk masa lampau kita, pengudusan kita untuk masa kini kita, dan penebusan kita untuk masa hadapan kita. Pada masa lampau, kita penuh dengan ketidakadilbenaran dan berada dalam keadaan kucar-kacir, tetapi Kristus menjadi keadilbenaran kita dan menanggulangi masa lampau kita. Dia mati di atas salib dan memenuhi keadilbenaran Tuhan, dengan itu menyelesaikan masalah kita pada masa lampau. Pada masa kini, kita lemah dan selalu gagal, tetapi Kristuslah pengudusan kita. Pada masa hadapan, Dia akan mentransfigur tubuh jasmani kita agar kita beroleh penebusan. Dengan kata lain, Dia telah masuk ke dalam roh kita; Dia sedang mentransform sukma kita, dan Dia akan mentransfigur tubuh kita pada masa kelak. Dia akan bertanggungjawab ke atas ketiga-tiga bahagian kita—roh, sukma, dan tubuh. Kristus sedemikian ialah kenikmatan kita; Tuhan memanggil kita agar kita dapat menikmati Kristus sedemikian. 

II. DIBAPTIS KE DALAM ROH UNTUK MINUM ROH

Setakat ini, apa yang kita bicarakan hanyalah doktrin. Hal ini sama seperti saya menceritakan kepada kamu betapa kaya dan sedapnya jamuan di sini. Akan tetapi, sungguhpun saya telah bercerita panjang lebar, kamu masih belum mengecapnya. Oleh itu, dalam 1 Korintus, selepas doktrin objektif diperkatakan dalam bab satu dan dua, bab dua belas memberitahu kita cara untuk mengalami Kristus ini. Pertama-tama, bab dua belas mengatakan bahawa sesiapa yang percaya kepada Tuan, baik orang Yahudi mahupun orang Yunani, telah dibaptis ke dalam Roh. Hari ini, Kristus yang kaya ini ialah Roh. Roh adalah seperti elektrik yang sukar dihuraikan. Oleh itu, Tuhan menggunakan air untuk melambangkan Roh. Ketika kita dibaptis, kita dibaptis ke dalam air; hal ini melambangkan bahawa kita dibaptis ke dalam Roh. Kristus ialah Roh; kita dibaptis ke dalam Kristus bererti kita dibaptis ke dalam Roh. Selepas dibaptis ke dalam Roh, kita beroleh kedudukan untuk minum Roh ini. Dalam bahasa asal, ayat ini bermaksud bahawa kita diletakkan di kedudukan yang membolehkan kita minum Roh ini. Bagaimanakah kita minum Roh ini? Ayat 3 dalam bab yang sama berkata, “Tidak ada yang dapat berkata, Yesus ialah Tuan! melainkan dalam Roh Kudus.” Dengan kata lain, sebaik sahaja kamu berkata, “Tuan Yesus!”, dengan serta-merta kamu berada dalam Roh Kudus, dan kamu sedang minum Roh itu.

III. NAMA TUAN DAN ROH TUAN

Terdapat suatu perkara yang amat penting, namun banyak orang Kristian tidak jelas tentangnya. Perkara itu ialah nama Tuan dan Roh Tuan. Nama Tuan ialah Yesus dan Roh Tuan ialah Tuan sendiri, yakni persona Tuan. Kita semua mempunyai nama, dan setiap nama menandakan seorang persona, iaitu diri kita sendiri. Jika ada nama sahaja tetapi orang itu tidak wujud, maka nama itu tidak membawa apa-apa makna. Yesus ialah nama Tuan dan Roh ialah persona Tuan. Apabila saya menyeru nama Tuan, Roh Kudus datang. Dikbang dan dikkak, adakah kamu menyangka bahawa Tuan Yesus cumalah nama sia-sia? Tuan Yesus adalah benar; oleh itu, sebaik sahaja kamu menyeru nama-Nya, Dia datang, dan Dia yang datang ini ialah Roh Kudus. Jangan fikir bahawa menyeru nama Tuan adalah perkara remeh; mustahil tidak ada apa-apa yang akan berlaku jika kamu menyeru Tuan Yesus. Apabila kamu menyeru, “O Tuan Yesus!”, Dia pun datang. 

Bible bukan sahaja menyuruh kita berdoa, Bible juga menyuruh kita menyeru. Apabila kamu berkata, “Tuan Yesus,” Roh Kudus berada di sini. Roh Kudus ialah Yesus yang hidup; Roh Kudus ialah Yesus yang termanifes; Roh Kudus ialah Yesus yang datang kepada kamu. Apabila kamu menyeru nama berhala, tidak ada apa-apa yang akan berlaku kerana berhala adalah nama yang kosong. Tidak kira berapa banyak kali kamu menyeru Buddha, Buddha tidak akan datang. Namun begitu, Tuan Yesus kita ialah Tuhan yang benar dan hidup; Dia ialah Roh yang benar dan hidup. Kristus sebagai Roh sedemikian juga merupakan Roh almuhit. Adakah kamu memerlukan penebusan? Penebusan berada dalam-Nya. Adakah kamu memerlukan kudrat? Kudrat berada dalam-Nya. Adakah kamu memerlukan hayat? Hayat juga berada dalam-Nya. Adakah kamu memerlukan pengudusan dan kesabaran? Semua ini berada dalam-Nya. Dia dapat membekali kamu apa sahaja yang kamu perlukan.

IV. PERCAYAWAN ZAMAN AWAL MERUPAKAN ORANG YANG MENYERU NAMA TUAN

Kita melihat bahawa pada masa Pentakosta, semua pekudus menyeru nama Tuan. Kamu ingat bahawa sebelum Paulus diselamatkan, dia pergi ke Damsyik untuk menangkap disipal-disipal Tuan. Kemudian Tuan muncul kepada Ananias. Semasa Ananias berbicara dengan Tuan, dia bukan mengatakan bahawa Saulus memperoleh kuasa untuk mengikat semua yang percaya kepada Tuan; sebaliknya dia mengatakan bahawa Saulus memperoleh kuasa untuk mengikat semua yang menyeru nama Tuan. Hal ini memberitahu kita bahawa para percayawan pada abad pertama mempunyai suatu ciri istimewa, iaitu mereka semua menyeru nama Tuan. Mereka adalah orang yang menyeru nama Tuan. Orang Kristian yang sejati tidak perlu memakai tanda. Asalkan kita orang yang menyeru nama Tuan, jiran dan rakan sekerja kita akan tahu bahawa kita percayawan. Oleh itu, apabila Saulus pergi ke Damsyik, dia tidak perlu menyiasat dari rumah ke rumah kerana semua orang Kristian menyeru nama Yesus, dan mereka dikenali umum sebagai orang sedemikian. Jika kamu tinggal di suatu tempat dan kamu belum lagi menyeru nama Tuan sehinggakan semua jiran tahu bahawa kamu seorang yang percaya kepada Yesus, maka kamu orang Kristian yang gagal. 

Menurut Roma 10:12, kepada siapakah Tuan itu kaya? Tuan adalah kaya kepada semua yang menyeru nama-Nya. Apabila kamu menyeru nama-Nya, kamu menikmati kekayaan-Nya. Mengapa? Hal ini kerana ketika kamu menyeru Tuan, Roh Kudus datang; Roh Kudus adalah kaya dan limpah lengkap. Kamu dapat menikmati kekayaan-Nya selagi kamu berada dalam roh. 

V. MENYERU NAMA TUAN, DAN MENDOA-BACA SABDA TUAN

Yesaya 55:1 berkata, “Datanglah kepada air” (Ibr.). Air itu ialah Tuan sendiri; Tuan ialah air hidup. Semua orang yang dahaga bolehlah datang untuk minum tanpa wang dan tanpa harga. Kemudian Yesaya berkata lagi, “Carilah Yehova semasa Dia boleh ditemui; / Serulah Dia sementara Dia dekat” (ay. 6). Bagaimanakah kita mencari Tuan? Dengan menyeru-Nya. Bukan itu sahaja, semasa kamu menyeru, kamu bukan sahaja menggunakan kata-kata sendiri, kamu juga perlu menggunakan sabda Tuhan. Lantaran itu, bab ini berkata lagi, “Dengarlah kata-kata Aku dengan penuh perhatian, dan makanlah apa yang baik, / Dan biarlah sukmamu girang kerana menikmati kesuburan” (ay. 2b). Oleh yang demikian, selain menyeru nama Tuan, kamu juga perlu mendoa-baca sabda Tuan. Tuan sendiri berada dalam sabda-Nya, dan sabda-Nya ialah hujan dan salji yang tidak kembali ke langit dengan sia-sia, tetapi hujan dan salji mengairi bumi, supaya benih diberikan kepada penyemai dan roti kepada orang yang makan. Kita mempunyai benih untuk disemai dan roti untuk dibekalkan kepada diri kita dan orang lain. Semua ini merupakan hasil kita makan Tuan. 

VI. MENYERU NAMA TUAN BERERTI MENGHIRUP TUAN

Kata-kata Yeremia dalam Ratapan 3 juga amat berharga. Dia berkata, “Aku menyeru nama-Mu, O Yehova, / Dari lubang yang paling dalam” (ay. 55). Semasa dia berada di lubang yang dalam, semasa dia berada dalam keadaan yang hina, semasa dia berada dalam kesusahan, semasa dia menghadapi tekanan, dia menyeru nama Tuan. Ayat yang seterusnya berkata, “Jangan tutup / Telinga-Mu terhadap nafasku” (ay. 56). Seruan kita di hadapan Tuan ialah nafas rohani, bahkan nafas panjang. Seorang doktor perubatan di Tentera Udara Amerika Syarikat pernah menjalankan uji kaji dan mendapati bahawa latihan yang paling memanfaatkan kesihatan manusia ialah menarik nafas panjang. Jika kita berlatih menarik nafas panjang tiap-tiap hari, nescaya tubuh jasmani kita akan sihat. Begitu juga keadaannya dengan hal rohani. Apabila kita menarik nafas panjang dalam roh kita, kita akan menjadi kuat, membara­-bara, dan lupa diri kerana menikmati Tuan. 

Kita menyeru Tuan bererti kita menghirup Tuan. Walau bagaimanapun, semasa kita menghirup, kita juga minum, dan semasa kita minum, kita turut makan. Semasa kamu menyeru Tuan, mula-mulanya kamu berasa seperti kamu sedang menghirup. Selepas kamu menghirup seketika, kamu merasakan air hidup mengalir di batin. Dengan itu, kamu telah minum air hidup. Apabila kamu terus menyeru, kamu juga makan dan dipuaskan. 

Haleluya! Tuan telah memberi kita satu jalan yang mudah dan singkat, iaitu menyeru nama Tuan dan mendoa-baca sabda Tuan. Dengan demikian, kita dapat menikmati segala apanya Tuan. Semoga kita semua mengamalkan latihan ini secara praktikal.

ORGAN UNTUK MENERIMA MAKANAN—ROH
MEMUPUK KEHIDUPAN YANG MENYERU NAMA TUAN (Bahagian 1/2)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)
1 Komen / Perkongsian
Sing yuan pada 2020-07-27
Puji Tuan, Tuan adalah kaya kepada semua yang menyeru nama-Nya.