Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian BAGAIMANA MENGALAMI HAYAT YANG JAYENG (1) (Bahagian 1/2)
CIRI-CIRI HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 3/3)
BAGAIMANA MENGALAMI HAYAT YANG JAYENG (1) (Bahagian 2/2)
BAGAIMANA MENGALAMI HAYAT YANG JAYENG (1) (Bahagian 1/2)
2020-06-12 | 1 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (45)

Nota Editor:

“Hayat yang jayeng ialah Kristus. Hayat yang jayeng ialah Kristus yang hidup dalam kita. Kemenangan bukan menerima sedikit bantuan untuk menjadi seperti Tuan Yesus. Kemenangan ialah Tuan hidup dalam manusia dan hidup untuk manusia. Kemenangan bukan beroleh sedikit kudrat untuk menjadi rendah diri atau bebas daripada kekhuatiran. Kemenangan bererti mempunyai Tuan dalam kita untuk menjadi kerendahan hati kita dan membebaskan kita daripada kekhuatiran.”

“Banyak orang telah jayeng atas banyak dosa selepas mereka diselamatkan. Namun terdapat satu atau dua dosa yang masih kekal yang tidak dapat diatasi mereka. Tuan mengizinkan satu atau dua perkara ini kekal untuk mengajar mereka bahawa mereka tidak dapat melakukannya.”

“Kita tahu bahawa Kristus ialah kemenangan kita, tetapi untuk mengalami Kristus sebagai kemenangan kita, kita perlu memenuhi satu syarat, iaitu kita harus terlebih dahulu melihat bahawa kita tidak dapat melakukannya. Jika kita terus berkata dalam hati kita bahawa kita dapat melakukannya, Kristus tidak akan dapat hidup untuk kita; Dia tidak akan dapat jayeng untuk kita, dan Dia tidak akan melakukannya untuk kita. Kemenangan adalah untuk orang yang gagal sepenuhnya.”

BAGAIMANA MENGALAMI HAYAT YANG JAYENG (1)
(Bahagian 1/2)

Tarikh: 20 Disember 1936, malam
Tempat: Foochow 

(CWWN SET 2, JIL 42, BAB 58)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Luk. 18:18-27 “Dan ada seorang pemimpin bertanya kepada-Nya dengan berkata, Guru yang baik, apakah yang harus kulakukan untuk mewarisi hayat abadi? Tetapi Yesus berkata kepadanya, Mengapa kamu memanggil Aku baik? Tidak ada sesiapa pun yang baik kecuali Satu—Tuhan. Kamu tahu akan perintah-perintah: ‘Jangan berzina, jangan membunuh orang, jangan mencuri, jangan membuat kesaksian palsu, hormatilah bapa dan ibumu.’ Dia berkata, Semua ini telah kupatuhi sejak kecil. Setelah mendengar kata ini, Yesus berkata kepadanya, Kamu masih kurang seperkara lagi: Segala yang kamu miliki, jual dan agihkan kepada yang miskin, dan kamu akan mempunyai harta di syurga-syurga, kemudian marilah ikut Aku. Tetapi mendengar hal-hal ini, dia menjadi sedih sekali, kerana dia teramat kaya. Dan Yesus, apabila melihat dia menjadi sedih sekali, berkata, Alangkah sukarnya bagi mereka yang mempunyai kekayaan masuk ke dalam kingdom Tuhan. Kerana lebih mudah bagi seekor unta masuk menerusi lubang jarum daripada orang kaya masuk ke dalam kingdom Tuhan. Maka berkatalah mereka yang mendengar, Jika demikian, siapa yang dapat diselamatkan? Tetapi Dia berkata, Apa yang tidak mungkin bagi manusia adalah mungkin bagi Tuhan.”

Semalam kita telah melihat apa itu hayat yang jayeng. Hayat yang jayeng ialah Kristus. Hayat yang jayeng ialah Kristus yang hidup dalam kita. Kemenangan bukan menerima sedikit bantuan untuk menjadi seperti Tuan Yesus. Kemenangan ialah Tuan hidup dalam manusia dan hidup untuk manusia. Kemenangan bukan beroleh sedikit kudrat untuk menjadi rendah diri atau bebas daripada kekhuatiran. Kemenangan bererti mempunyai Tuan dalam kita untuk menjadi kerendahan hati kita dan membebaskan kita daripada kekhuatiran.

Akan tetapi, mengapakah begitu banyak orang Kristian masih tidak memperoleh semua perbekalan Tuhan ini? Sebenarnya, mereka telah menerima keberkesanan daripada darah, salib, dan daging Kristus pada masa mereka percaya. Namun dari segi pengalaman, mereka mungkin belum memasuki kesedaran penuh terhadap semua hal ini. Hal ini sama seperti seseorang yang telah membeli dua bungkusan tetapi hanya membuka satu bungkusan sahaja. Selepas tiga atau lima tahun, barulah dia membuka bungkusan yang satu lagi. Demikianlah sikap kebanyakan orang terhadap penyelamatan Tuhan; keadaan ini sungguh menyedihkan. Malam ini saya meminjam dua petikan Bible ini. Meskipun dua petikan ini tidak berkaitan secara langsung dengan subjek kita, namun saya akan memetiknya untuk menunjukkan bagaimana seseorang itu dapat mengalami hayat yang jayeng.

APA YANG TIDAK MUNGKIN BAGI MANUSIA 
ADALAH MUNGKIN BAGI TUHAN

Lukas 18:26 bertanya, “Jika demikian, siapa yang dapat diselamatkan?” Namun Lukas 19:9 berkata, “Hari ini penyelamatan sudah sampai ke rumah ini.” Dalam bab lapan belas terdapat seorang pemimpin muda. Dia datang bertanya kepada Tuan apa yang harus dilakukannya untuk mewarisi hayat abadi. Tuan menyuruh dia mematuhi perintah-perintah, iaitu jangan berzina, jangan membunuh orang, jangan mencuri, jangan membuat kesaksian palsu, dan hormatilah ibu bapanya. Orang muda itu berkata, “Semua ini telah kupatuhi sejak kecil” (ay. 21). Setelah Tuan mendengar kata ini, Dia berkata, “Kamu masih kurang seperkara lagi: Segala yang kamu miliki, jual dan agihkan kepada yang miskin” (ay. 22). Apabila pemimpin muda itu mendengar kata ini, dia beredar dengan sedih sekali. Kemudian Tuan berkata, “Alangkah sukarnya bagi mereka yang mempunyai kekayaan masuk ke dalam kingdom Tuhan. Kerana lebih mudah bagi seekor unta masuk menerusi lubang jarum daripada orang kaya masuk ke dalam kingdom Tuhan” (ay. 24-25). Apabila para disipal mendengar kata ini, mereka bertanya, “Jika demikian, siapa yang dapat diselamatkan?” (ay. 26). Tuan menjawab, “Apa yang tidak mungkin bagi manusia adalah mungkin bagi Tuhan” (ay. 27).

Orang kaya dalam bab sembilan belas berbeza daripada orang kaya dalam bab lapan belas. Orang kaya dalam bab sembilan belas ialah pemungut cukai, manakala orang kaya dalam bab lapan belas ialah orang muda yang mewarisi kekayaan daripada orang lain. Biasanya orang tua seperti yang dalam bab sembilan belas adalah lebih kedekut, manakala orang muda seperti yang dalam bab lapan belas adalah lebih murah hati kerana orang muda kekurangan pengalaman hidup, tidak seperti orang tua yang mengetahui kegunaan duit. Namun Zakheus dalam bab sembilan belas telah melakukan sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh orang muda itu dalam bab lapan belas. Mengapakah demikian? Dari aspek kemanusiaan, orang muda biasanya lebih murah hati dan tidak begitu mata duitan. Namun orang muda ini berlainan. Dia tidak dapat melepaskan wangnya. Sebenarnya bukan sahaja orang muda tidak sanggup melepaskan wangnya, bahkan Zakheus yang berusia juga tidak sanggup melepaskan wangnya; cuma Zakheus telah mengalami kerja Tuan. Oleh itu, 19:9 berkata, “Hari ini penyelamatan sudah sampai ke rumah ini.” Hal ini bermaksud bahawa Tuhanlah yang membolehkan Zakheus jayeng atas wangnya. Penyelamatan Tuhan sampai kepadanya. Berikutan ini Tuan berkata, “Kerana dia juga seorang anak Abraham.“ Frasa “anak Abraham” menunjukkan iktikad. Zakheus menjadi apanya dia melalui iktikad, bukan melalui kerjanya sendiri.

MENYEDARI BAHAWA MANUSIA TIDAK DAPAT MELAKUKANNYA

Tuan Yesus menyuruh pemuda itu menjual segala-galanya dan mengagihkan wang itu kepada orang miskin. Namun pemuda itu tidak dapat melakukannya. Tuan tidak menyuruh Zakheus yang tua mengeluarkan wangnya, tetapi dia sekali gus mengeluarkan sejumlah besar wangnya. Mengapakah terdapatnya perbezaan sebegini? Perbezaannya terletak pada frasa “apa yang tidak mungkin bagi manusia adalah mungkin bagi Tuhan”. Pemuda itu ialah gambaran yang terbaik bagi bahagian pertama ayat itu—“tidak mungkin bagi manusia”, manakala Zakheus ialah gambaran terbaik bagi bahagian kedua ayat itu—“mungkin bagi Tuhan”. Oleh itu, rahsia pertama kemenangan terletak pada bahagian pertama 18:27—“tidak mungkin bagi manusia”. Kamu harus sedar dan mengambil iktibar bahawa bagi manusia, adalah tidak mungkin.

Tujuan Tuan bukan hendak pemuda itu menjual segala miliknya untuk diselamatkan. Tujuan-Nya ialah menunjukkan kepadanya maksud “tidak mungkin bagi manusia”. Pemuda itu amat baik. Dia mematuhi kesemua Sepuluh Perintah, dan dia juga berfikir bahawa dia agak baik. Atas sebab inilah Tuan sengaja menunjukkan kepadanya bahawa dia masih kekurangan seperkara. Banyak orang telah jayeng atas banyak dosa selepas mereka diselamatkan. Namun terdapat satu atau dua dosa yang masih kekal yang tidak dapat diatasi mereka. Tuan mengizinkan satu atau dua perkara ini kekal untuk mengajar mereka bahawa mereka tidak dapat melakukannya. Ini sama seperti perlumbaan lompat pagar; semua peserta mungkin gagal melepasi satu atau dua halangan. Johan mungkin gagal melepasi satu halangan, dan naib johan, tempat ketiga, dan tempat terakhir mungkin gagal melepasi lebih daripada satu halangan. Tuhan mengetahui bahawa kamu tidak dapat melakukannya, tetapi kamu tidak tahu bahawa kamu tidak dapat melakukannya. Jika kamu mematuhi kesemua Sepuluh Perintah, Tuan akan menunjukkan kepada kamu bahawa terdapat perintah kesebelas yang tidak dapat kamu patuhi.

Kita semua biasanya mempunyai satu atau dua dosa yang tidak dapat kita atasi. Dosa-dosa ini ialah dosa khusus kita. Semasa saya berada di Shanghai, pernah sekali saya keluar membeli barang dan terserempak dengan seorang dikbang. Saya mengangguk kepadanya. Selepas saya melintasi jalan, saya terserempak dengan dia lagi, dan saya mengangguk lagi kepadanya. Apabila saya berdiri di depan sebuah kedai, dia berada di situ juga, dan saya mengangguk kepadanya lagi. Setelah saya keluar dari kedai itu, dia masih di situ, dan kami saling mengangguk lagi. Dalam masa sejam, saya telah mengangguk kepada dikbang itu lebih sepuluh kali. Inilah pengalaman kita terhadap dosa-dosa tertentu—kita bertemu dengannya berulang kali. Hari ini kita bertemu dengan dosa tertentu, esok kita bertemu dengan dosa yang sama, dan lusa kita bertemu dengan dosa yang sama lagi. Kita amat biasa dengan dosa-dosa ini; kita sering melakukannya. Dosa-dosa yang kita lakukan tidaklah serba merangkumi, tetapi amat khusus. Orang yang degil sentiasa tersangkut dengan kedegilan. Orang yang runsing sering tersangkut dengan kerunsingan. Orang yang sombong sentiasa tersangkut dengan kesombongan. Orang yang khuatir sentiasa tersangkut dengan kekhuatiran. Orang yang berprasangka sentiasa tersangkut dengan prasangka. Orang yang tergopoh-gapah sentiasa tersangkut dengan kegopohan. Setiap orang mempunyai “seperkara”. Setidak-tidaknya dia mempunyai “seperkara”. Tuhan hendak menunjukkan kepada kita menerusi perkara sedemikian bahawa manusia tidak dapat melakukannya.

Tahun lepas di Chefoo ada seorang isteri kepada seorang doktor yang mencari pengalaman jayeng. Kebanyakan orang di sana telah melepasi halangan untuk jayeng, tetapi dia sahaja yang belum melaluinya. Selama sebulan dia berdoa setiap hari. Banyak daripada dosanya telah ditanggulangi dalam tiga minggu yang pertama. Namun terdapat satu dosa yang tidak dapat diatasinya. Pada suatu tengah hari, setiap orang pergi ke restoran untuk makan, dan isteri itu sedang bermain piano. Selepas seketika dia berhenti dan mula menangis. Saya bertanya kepada dia, “Apa masalahnya?” Dia menjawab, “Saya tidak dapat melakukannya. Ada seperkara yang tidak dapat saya atasi. Sepanjang beberapa minggu yang lalu, saya menanggulangi dosa-dosa saya setiap hari. Saya telah jayeng atas banyak dosa. Namun saya tidak dapat jayeng atas tabiat makan makanan ringan. Saya seorang penginjil Presbyterian, tetapi saya tidak berani memberitahu sesiapa pun dosa saya.” Sedang dia berbicara, dia menangis. Apabila saya mendengar katanya, saya berasa gembira lalu ketawa. Dia bertanya, “Mengapakah kamu ketawa?” Selepas seketika saya berkata kepadanya, “Saya amat gembira hari ini. Sampai hari ini baru kamu sedar bahawa kamu tidak mampu melakukannya? Dua puluh lebih hari sudah berlalu, tetapi syukur kepada Tuhan kerana kamu akhirnya telah sedar bahawa kamu tidak mampu melakukannya. Kamu harus sedar bahawa Tuan membenarkan sisa dosa ini kekal pada kamu, iaitu hal yang tidak dapat kamu atasi ini, untuk menguji ketulenan kemenangan kamu. Tuan hanya mahu menunjukkan kepada kamu bahawa kamu tidak dapat melakukannya. Sebaik sahaja kamu melihat bahawa kamu tidak dapat melakukannya, Tuhan akan ada jalan.” Seluruh prinsip kerja Tuhan ialah menunjukkan kepada kamu bahawa kamu tidak dapat melakukannya, dan bahawa Tuhan sahaja yang dapat melakukannya.

Ada seorang dikkak yang merupakan seorang ibu dan dia seorang yang baik. Satu-satu masalahnya ialah dia sentiasa risau tentang anak-anaknya siang dan malam. Dia tidak sedar bahawa kerisauannya itu merupakan dosa. Pada suatu hari, dia melihat perkara ini dan dia tidak dapat melepaskan perkara ini. Sebelum ini dia tidak mengenali diri dengan secukupnya. Namun pada hari itu dia mula mempunyai pengetahuan yang lebih dalam terhadap dirinya, dan dia berasa bahawa dia tidak boleh terus begini. Banyak orang hanya mengenali doktrin kemenangan; mereka tidak mempunyai pengetahuan kemenangan yang sebenar. Satu sebabnya ialah mereka tidak mengenali diri sendiri dengan secukupnya.

TIDAK CUBA MELAKUKANNYA

Kita tahu bahawa Kristus ialah kemenangan kita, tetapi untuk mengalami Kristus sebagai kemenangan kita, kita perlu memenuhi satu syarat, iaitu kita harus terlebih dahulu melihat bahawa kita tidak dapat melakukannya. Jika kita terus berkata dalam hati kita bahawa kita dapat melakukannya, Kristus tidak akan dapat hidup untuk kita; Dia tidak akan dapat jayeng untuk kita, dan Dia tidak akan melakukannya untuk kita. Kemenangan adalah untuk orang yang gagal sepenuhnya. Akan tetapi, di sini terdapat satu masalah: Berkata bahawa kita tidak dapat melakukannya ialah satu perkara, sedangkan berkata bahawa kita tidak lagi cuba melakukannya ialah perkara yang lain. Bilakah pesakit kusta dalam Imamat 13 dan 14 ditahirkan? Mereka diisytiharkan tahir oleh hentar ketika penyakit kusta mereka merebak dari kepala sampai kaki. Tuan membangkitkan orang yang mati sahaja; Dia tidak membangkitkan orang yang separuh hidup dan separuh mati. Kita harus melihat bahawa di luar daripada Tuan, kita tidak dapat berbuat apa-apa. Syarat untuk menang ialah: (1) melihat bahawa kita tidak dapat melakukannya dan (2) tidak cuba melakukannya. Tidak dapat melakukannya dan lepas tangan untuk cuba melakukannya ialah dua perkara yang sama sekali berlainan. Sesetengah orang memang tahu bahawa mereka tidak dapat melakukannya, namun mereka masih cuba melakukannya. Contohnya, satu barang mempunyai berat seratus kati, dan kamu hanya dapat mengangkat lima puluh kati. Kamu memang tahu bahawa kamu tidak dapat mengangkat seratus kati, tetapi kamu cuba melakukannya juga. Sikap ini memang jahil. Tuhan tahu bahawa kita sama sekali korup dan bahawa tidak ada jalan lain untuk kita melainkan penyaliban. Akan tetapi, masalah manusia ialah dia masih cuba melakukannya. Akibatnya, dia mencari segala jenis kaedah dan bergelut dalam banyak cara. Seseorang yang bergelut dengan cara ini pasti tidak akan diselamatkan. Tidak cuba melakukannya bermaksud bahawa kita hanya mengaku bahawa kita tidak dapat melakukannya, bahkan kita juga tidak akan berusaha melakukannya. Kita tahu bahawa Tuan Yesus hidup dalam kita, dan bahawa Dia menyempurnakan apa yang tidak mungkin bagi kita. Kudrat-Nya bukan untuk memenuhi kekurangan dalam kerja kita, dan hayat-Nya bukan untuk memenuhi kekurangan dalam hayat kita. Dia hidup dalam kita dengan menggantikan kita. Bila-bila masa kita menggunakan kekuatan kita sendiri, kita tidak akan mengalami Dia hidup dalam kita. Oleh itu, kita bukan sahaja harus melihat bahawa kita tidak dapat melakukannya, malah kita harus lepas tangan untuk cuba melakukannya. (bersambung...)

CIRI-CIRI HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 3/3)
BAGAIMANA MENGALAMI HAYAT YANG JAYENG (1) (Bahagian 2/2)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)
1 Komen / Perkongsian
Sing yuan pada 2020-06-16
Kemenangan bukan menerima sedikit bantuan untuk menjadi seperti Tuan Yesus. Kemenangan ialah Tuan hidup dalam manusia dan hidup untuk manusia.