Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Hayat Pengetahuan & Pengalaman Hayat Apakah Itu Hayat (1)
Orang yang Berhati Murni
Apakah Itu Hayat (1)
2016-08-10 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Bible: Ef. 4:18; Roma 8:2; Yoh. 10:10; 6:35, 55, 57; 6:63; Kej. 1:26-27; 2:7; Wahi 2:7; 22:2

Hanya Hayat Abadi Tuhan ialah Hayat

Di alam semesta ini, tidak ada apa-apa yang lebih penting daripada hayat. Oleh itu, kita perlu melihat apakah itu hayat? Atau siapakah itu hayat? Menurut ayat-ayat Bible, di seluruh alam semesta, hanya ada satu hayat. Semua hayat yang lain boleh dianggap sebagai “bukan hayat” kerana semuanya merupakan hayat yang sementara. Terdapat pelbagai jenis hayat, seperti hayat nyamuk, anai-anai, semut, serigala, anjing, dan harimau. Terdapat juga kategori hayat yang lain, seperti hayat sayur-sayuran dan hayat binatang. Daripada semua hayat yang tercipta, hayat yang tertinggi ialah hayat manusia. Namun begitu, semua hayat ini, termasuk hayat manusia, adalah sementara.

Hanya satu hayat yang wujud tanpa permulaan dan tanpa pengakhiran. Hanya satu hayat ialah sumber hayat, substan hayat, elemen hayat, dan faktor hayat. Hayat ini dipanggil sebagai hayat abadi. Hayat ini abadi bukan sahaja dari segi masa, tetapi juga dari segi sumber, substan, elemen, dan faktor. Abadi bermaksud tidak terhad dan tidak terbatas. Hayat abadi ini tidak terikat, dihadkan, atau dibatasi dari segi masa, sumber, substan, elemen, atau faktor. Dalam setiap aspek dan dari setiap segi, hayat ini tidak terhad dan tidak terbatas. Hayat ini adalah abadi dari setiap segi. Bible memberitahu kita bahawa apabila kita percaya ke dalam Tuan Yesus, kita menerima hayat abadi sedemikian (Yoh. 3:16).

Kebanyakan orang Kristian tidak memahami istilah hayat abadi. Pernahkah kamu dengar bahawa hayat abadi ini adalah abadi bukan sahaja dari segi masa tetapi juga dari segi kualiti, substan, elemen, faktor, bahkan sumbernya? Pada semua hayat yang lain, yakni hayat yang tercipta, wujudnya batasan tertentu. Misalnya, kita mempunyai kekuatan, namun kekuatan kita terhad. Kita mempunyai keperkasaan, kuasa, dan keupayaan, tetapi kita terhad dalam setiap perkara ini. Kita sangat terhad dalam keperkasaan, kuasa, dan kekuatan kita. Sebagai manusia, kita mempunyai kekuatan, kuasa, dan keupayaan yang lebih banyak daripada hayat ciptaan yang lain, namun keperkasaan, kuasa, dan keupayaan kita semuanya mempunyai batasan dan had tertentu. Kita mungkin dapat bersabar tahan, tetapi tidak kira berapa lama kita dapat bersabar tahan, kesabartahanan kita adalah terhad. Akan tetapi, kesabartahanan Tuhan adalah tidak terhad. Hanya satu hayat, iaitu hayat abadi, tidak terhad dari setiap segi. Hayat abadi ini bukan hanya daripada Tuhan tetapi ialah Tuhan sendiri.

Tuhan, Kristus, Roh Itu, dan Sabda ialah Hayat

Dalam seluruh Wasiat Baru, istilah hayat Tuhan hanya disebut sekali, dalam Efesus 4:18. Istilah hayat Tuhan menunjukkan bahawa Tuhan ialah hayat; ini sama seperti frasa kasih Tuhan (1 Yoh. 4:9; 2 Kor. 13:14) dan cahaya Tuan (Yes. 2:5), yang masing-masingnya menunjukkan bahawa Tuhan ialah kasih (1 Yoh. 4:8, 16) dan Tuhan ialah cahaya (1 Yoh. 1:5). Frasa-frasa ini bersinonim. Semuanya adalah dalam bentuk aposisi. Dalam frasa hayat Tuhan, hayat dan Tuhan juga adalah aposisi. Tuhan ialah hayat, Tuhan ialah kasih, dan Tuhan ialah cahaya.

Hayat abadi, hayat divin, ialah Tuhan sendiri yang merupakan hayat, dan yang merupakan Roh. Hayat ialah Tuhan sendiri, Tuhan ialah Roh (Yoh. 4:24), dan Roh ialah hayat (Roma 8:2). Oleh itu, hayat abadi, hayat divin, juga ialah Roh hayat. Tuhan yang merupakan Roh telah terjasad dalam Kristus (Yoh. 4:24; 1:1, 14). Hayat Tuhan, Tuhan sendiri, juga merupakan hayat Kristus, Kristus sendiri. Sebenarnya dalam Wasiat Baru, istilah hayat Kristus tidak wujud. Wasiat Baru hanya menyatakan bahawa Kristus ialah hayat (Yoh. 14:6; 11:25).

Hayat adalah abadi. Hayat adalah divin. Hayat ialah Kristus. Kristus ialah Tuhan, dan Kristus ialah Roh itu. Hayat yang abadi dan divin, yang merupakan Tuhan, Roh itu, dan Kristus telah terjasad dalam sabda. Wasiat Baru mengatakan bahawa sabda itu ialah hayat (Yoh. 6:63; 1 Yoh. 1:1). Hayat ini bukan hanya terjasad dalam sabda yang dibicarakan oleh Tuhan, tetapi juga terjasad dalam sabda-Nya yang kita bicarakan. Kisah 5:20 mewahikan bahawa sabda yang dibicarakan daripada mulut Petrus ialah sabda hayat ini. Pembicaraan Petrus bukan sekadar sabda Tuhan, tetapi juga merupakan kata-kata kesaksiannya. Kerja dan kehidupan Petrus menjadikan hayat divin begitu benar serta hadir dalam situasinya; oleh itu, ia merupakan kata-kata kesaksiannya.

Seluruh isi kandungan Bible, terutamanya Wasiat Baru, ialah hayat. Hayat ialah pusat, substan, elemen, dan faktor bagi seluruh Wasiat Baru. Wasiat Baru merupakan buku “hayat ini” (Kis. 5:20), hayat abadi.

Orang yang Berhati Murni
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)